Sunday 11 June 2023

Dapat satu A SPM sudah dikira hebat

 
Melihat kepada gambar di atas, tentu ada yang menganggap “apa barang” dapat 1A pun dapat anugerah. Tetapi, itulah hakikat yang menjadi kebanggaan kepada pelajar berkenaan dan seluruh guru. Turut di dalam gambar tersebut adalah pengetua dan pentadbiran sekolah yang turut berbangga dengan kejayaan itu.
 
Mereka adalah senarai pelajar mendapat keputusan terbaik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panggung Jaya SPM 2022. Mereka antara pelajar yang bersemangat untuk berjaya dalam pelajaran ketika kebanyakan rakan yang lain tidak mahu meneruskan persekolahan. 
 
SMK Panggung Jaya yang terletak di Kampung Panggung Lalat adalah sekolah penampatan khas untuk anak Orang Asli di Kelantan. 
 
Pembinaan sekolah ini bermula pada Oktober 2016 dan siap 2020, terletak di laluan utama Gua Musang – Lojing di Kampung Panggung Lalat, Mukim Batu Papan, daerah Galas, berhampiran Kampung Kuala Betis. 
 
Sekolah yang mempunyak 24 bilik darjah in mampu memuatkan sehingga 700 pelajar dan kemudahan 400 pelajar di asrama, asalnya dibina atas nama Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Betis, kemudiannya ditukar nama secara rasmi kepada SMK Panggung Jaya. 
 
Nama ‘Panggung Jaya’ adalah dari nama Kampung Panggung Lalat yang hanya mengambil perkataan ‘panggung’ dan ditambah perkataan ‘jaya’ yang menjadikan nama ‘panggung jaya’. 
 
Pembinaan sekolah yang menelan kos sehingga RM50 juta dapat menyelesaikan masalah penempatan pelajar Orang Asli dari kampung pedalaman. Sekolah "moden" itu setaraf dengan sekolah-sekolah yang baharu dibina di tempat-tempat lain. 
 
Sebelum ini anak-anak Orang Asli di kawasan pedalaman terpaksa dipecahkan kepada beberapa sekolah menengah lain iaitu SMK Tengku Indera Petra 1, SMK Tengku Indera Petra 2, SMK Seri Wangi, SMK Tengku Bendahara, SMK Bandar Chiku dan SMK Chiku 2. 
 
Pembinaan SMK Panggung Jaya adalah langkah penyelesaian kerajaan dalam memastikan anak-anak Orang Asli dapat memberikan tumpuan penuh kepada pelajaran tanpa memikirkan jarak jauh dari keluarga. 
 
Kebanyakan mereka tinggal di kampung sekitar Pos Tohoi, Simpor, Belatim, Bihai, Gob, Brooke, Hendrop, Pasik, Pulat, Hau, Blau dan Kuala Betis. 
 
Kewujudan SMK Panggung Jaya mampu mengelakkan masalah pelajar kaum berkenaan tercicir pelajaran.
 
Tahniah kepada anak-anak Orang Asli yang belajar di SMK Panggung Jaya. Anda hebat biarpun apapun keputusan yang diperoleh. Terus belajar untuk merubah nasib keluarga.

SMK Panggung Jaya Sekolah Orang Asli Pertama di Kelantan
https://bicaramentari.blogspot.com/2021/11/swd.html  

Pelajar SMK Panggung Jaya cipta sensasi

SMK Panggung Jaya unggul

No comments:

Post a Comment