Monday 9 July 2018

DERA ISTERI TINDAKAN TIDAK PERIKEMANUSIAAN

Tiada ada alasan mengharuskan suami mendera isteri. Sekiranya ada kesilapan dilakukan isteri, Islam telah menetapkan beberapa langkah perlu dilakukan suami. Cara ini sesuai dengan kedudukan suami bertindak sebagai pemimpin dan pelindung isteri. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Lelaki adalah pemimpin bagi perempuan oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan), dan kerana lelaki telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.” - (Surah an-Nisa, ayat 34)

Selisih faham dan berbeza pendapat antara suami isteri adalah suatu yang lumrah kerana tidak ada manusia sentiasa sama dalam semua perkara. Perbezaan sepatutnya menjadi asam garam kehidupan untuk menjadi lebih mesra, matang dan saling memerlukan antara suami isteri. Suami isteri perlu menerima pasangan seadanya dan berusaha membaiki apa yang kurang.  

Mana-mana isteri yang tidak patuh kepada suami tanpa alasan munasabah dipanggil nusyuz. Perlakuan itu sama ada berkaitan zahir mahupun batin. Isteri perlu taat dan melakukan apa yang disukai suami. Ketaatan terhadap suami satu perkara penting yang diperintahkan agama agar dilakukan oleh setiap isteri.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Jika aku mahu menyuruh seseorang sujud kepada seseorang yang lain, nescaya aku terlebih dahulu menyuruh seorang isteri sujud kepada suaminya." (Hadis riwayat Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah).

Kedudukan istimewa suami bukan satu pasport untuk mendera isteri. Sebaliknya, ia satu amanah besar untuk menjaga keselamatan, kebajikan dan menyediakan keperluan hidup untuk isteri dan anak. Jadi, ditegah suami mendera isteri dengan apa cara sekalipun.

Sekiranya isteri melakukan nusyuz, langkah pertama dilakukan suami adalah menyatakan bahawa perbuatan itu tidak disukainya dan menasihat agar tidak mengulanginya lagi. Suami perlu menjelaskan apa yang disukai dan tidak disukainya. Mungkin isteri tidak mengetahui perbuatan itu tidak disukai suami dan menyalahi tuntutan agama.

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka." - (Surah an-Nisa, ayat 34).

Sambungan ayat tersebut menjelaskan langkah seterusnya perlu dilakukan suami jika isteri masih ingkar iaitu meninggalkan tempat tidur. Jika masih tidak berubah, langkah disarankan agama ialah memukulnya dengan ringan bertujuan untuk memberi peringatan dan pengajaran. 

Keizinan memukul isteri sebenarnya hanya tahap tidak mencederakan fizikal yang sekadar menunjukkan ketegasan suami agar isteri tidak lagi berani melakukan perkara tidak diingini. Bahan untuk memukul itu biasanya berupa kain atau sifatnya tidak mendatangkan kecederaan atau luka.

Tentunya dalam kes penderaan terhadap isteri yang dilaporkan di media bukan bertujuan mengajar apabila sehingga menyebabkan kecederaan serius melibatkan penggunaan objek keras dan tajam. Jika menggunakan lesung batu dan pisau, layaknya perbuatan itu dipanggil cubaan membunuh.

Rasulullah SAW memberi ingatan dengan sabda bermaksud: “Mengapa ada lelaki di kalangan kamu yang suka memukul isterinya seperti memukul seorang hamba, padahal dia akan menyetubuhi isterinya itu pada hari yang lain.” - (Hadis riwayat Ahmad).

Selain penderaan secara fizikal, satu lagi bentuk penderaan ialah melibatkan berbentuk mental dan emosi yang boleh berlaku apabila suami melayan isteri dengan buruk, memanggilnya dengan panggilan menghina dan menjatuhkan maruahnya di hadapan orang.  

Isteri yang tidak tahan didera oleh suami wajar membawa perkara itu ke mahkamah syariah. Mengikut kaedah fiqh 'kemudaratan hendaklah dihilangkan' agar tidak berterusan. Pihak mahkamah syariah melalui bidang kuasa boleh memanggil suami dan memberi nasihat. Pendekatan menggunakan hakam (jurupendamai) juga dicadangkan untuk mengatasi masalah rumahtangga.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan jika kamu khuatir ada persengketaan antara keduanya, kirimkan seorang hakam dari keluarga lelaki dan seorang hakam dari keluarga wanita.  Jika  kedua-dua hakam itu bermaksud mengadakan perdamaian, nescaya Allah memberi petunjuk kepada suami isteri itu.  Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali.” - (Surah an-Nisa, ayat 35).
  
Jika sikap suami masih tidak berubah, isteri mempunyai pilihan untuk membubarkan perkahwinan atau bercerai melalui khulu atau tebus talak. Isteri juga boleh menfailkan permohonan perceraian melalui fasakh dan taklik. 

Ketiga-tiga kaedah perceraian itu dapat mengelak kemudaratan yang lebih besar jika diteruskan perkahwinan itu. Isteri perlu mengetahui hak-hak mereka dalam perkahwinan agar tidak terus menjadi mangsa perbuatan tidak bertanggungjawab suami.

No comments:

Post a Comment