Wednesday 11 July 2018

KAMPUNG KITA TANGGUNGJAWAB KITA

Aktiviti kemasyarakatan di peringkat kampung dan taman perumahan dapat dilakukan dengan lebih teratur jika ada pertubuhan, persatuan atau kelab ditubuhkan. Melalui penubuhan organisasi perlaksanaan aktiviti melibatkan kepentingan bersama dapat dilaksanakan secara satu organisasi khusus dan tentunya secara tersusun, berkesan dan mencapai matlamatnya.

Melalui organisasi khusus, aktiviti dapat dilakukukan lebih teratur di samping mudah untuk mendapat nasihat dan kerjasama dari agensi kerajaan. Ahli jawatankuasa yang dilantik juga dapat menjalankan fungsi masing-masing untuk merangka aktiviti atau perlaksanaan tugas.

Semangat kejiranan dan kerjasama dalam melakukan aktiviti melahirkan masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai murni seperti saling menghormati, kerjasama, menjaga kepentingan bersama, hubungan erat dan perpaduan.

Penubuhan sebarang organisasi meningkatkan kesedaran untuk memperkasakan kembali amalan murni yang diamalkan dalam masyarakat Melayu dulu. Pihak kerajaan menggalakkan agar setiap kampung atau penempatan menubuh organisasi peringkat kampung masing-masing.

Antara organisasi tersusun dan mendapat bantuan langsung dari kerajaan ialah Kawasan Rukun Tetangga (KRT). Penubuhan KRT mampu melahirkan ahli masyarakat yang mempunyai semangat perpaduan untuk menjaga kepentingan dan keselamatan bersama.

Penduduk terdedah kepada 'ancaman' seperti kecurian, pecah rumah, ragut, penagihan dadah dan masalah sosial yang memerlukan tindakan semua penduduk untuk mencegahnya daripada berleluasa.

Melalui KRT boleh dilakukan Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang mana setiap penduduk mempunyai tanggungjawab terlibat sama untuk mencegah perkara buruk daripada berlaku.

SRS bukan saja dapat mencegah, bahkan satu langkah mempamerkan 'amaran' agar mereka yang mempunyai niat untuk melakukan sesuatu yang menyalahi norma kehidupan, agama dan undang-undang negara akan membatalkan hasrat itu.  

Mungkin sebelum ini penduduk hanya berdiam diri walaupun mengetahui ada perkara tidak baik berlaku disebabkan tidak mempunyai 'kekuatan' dan 'kuasa' untuk bertindak mencegahnya. Tetapi, dengan adanya SRS sebagai satu badan rasmi di peringkat kampung yang diberi kuasa tertentu dalam membanteras perkara tidak baik, penduduk dapat menjalankan peranan masing-masing ke arah kebaikan.

Setiap keluarga tidak saja menjaga kepentingan ahli keluarga masing-masing saja, bahkan seluruh ahli masyarakat.

Mengambil berat soal kejiranan bukan bertujuan menjaga urusan dalaman keluarga lain atau menjaga tepi kain orang. Tetapi apa tersirat sebenarnya adalah sebagai usaha mencipta kebaikan dan mencegah kemungkaran. 

No comments:

Post a Comment