Saturday 7 July 2018

TOLERANSI WUJUDKAN HUBUNGAN BAIK

Islam mengamalkan toleransi untuk mewujudkan hubungan baik dengan pihak lain. Toleransi berasal dari bahasa Inggeris “tolerance” (to endure without protest) maknanya: menahan perasaan tanpa bantahan. Amalan toleransi bertepatan konsep utama Islam ialah tidak ada paksaan dalam beragama. Tiada siapa boleh dipaksa menerima Islam. Hubungan dengan penganut agama lain disandarkan kepada hubungan yang baik dan membuktikan kepada penganut agama lain tentang kebenaran ajaran Islam.

Firman Allah SWT bermaksud: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya sudah nyata kebenaran (Islam).”  (Surah al-Baqarah, ayat 256).

Perlu difahami, toleransi ini tidak bermakna berdiam diri dalam perkara yang menyentuh sensitiviti agama, maruah diri dan keselamatan. Kita tidak boleh berlembut atau menyokong perbuatan yang membawa kepada dosa dan memesongkan akidah.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu bertolong menolong dalam berbuat dosa dan pemusuhan dan bertakwalah kepada Allah sesungguhnya Allah Maha Keras dalam menjatuhkan hukuman.”

Mentafsir ayat ini, Ibnu Katsir menjelaskan bahawa Allah SWT memerintahkan orang beriman untuk tolong menolong dalam kebaikan dan meninggalkan kemungkaran dan melarangnya untuk saling bantu menbantu dalam kebatilan dan dosa. Meniru atau terikut-ikut cara  ibadat bukan Islam adalah batil dan dosa, hukumnya adalah haram.

Sikap toleransi sehingga menerima fahaman pluralisme agama yang menyamaratakan semua agama perlu ditolak. Fahaman ini turut didukung oleh sekelompok umat Islam yang dikenali sebagai penganut ‘Islam Liberal’. Aliran atau  manhaj Islam Liberal menekankan ciri keterbukaan dan kebebasan dengan mengutamakan akal logik dalam mentafsir ajaran Islam. Aliran ini berusaha untuk keluar daripada kaedah pentafsiran ilmu tradisi serta apa yang sedia ada dalam syariat Islam yang asli dan tulen.

 Allah SWT berfirman dalam surah al- Baqarah ayat 42 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu campur-adukkan yang hak dengan yang batil dan janganlah kamu sembunyikan yang hak itu, sedangkan kamu mengetahui.”

Sedangkan dalam aktiviti kehidupan seharian, Islam mewajibkan umatnya untuk berbuat baik kepada bukan Islam apalagi kepada sesama Islam. Ketika ada yang memerlukan bantuan, haruslah dibantu dengan termampu. Jika ada pihak lain membuat ancaman, maka hendaklah membantu mempertahankan hak yang sepatutnya dirasai. Itulah adab umat Islam dalam membangun tolerannya.

Rasulullah SAW  malah mengancam umat Islam yang berbuat zalim kepada zimmi dengan ancaman tidak masuk syurga. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “ Barangsiapa yang membunuh bukan Islam yang terikat perjanjian dengan umat Islam, maka ia tidak akan mencium keharuman syurga, meskipun keharumannya itu dapat dicium dari jarak empat puluh tahun perjalanan.” (Hadis riwayat Bukhari)

Jika toleransi dituntut dalam ajaran Islam, maka perbuatan ekstrem yang berlawanan dengan toleransi sudah tentu amat ditegah atau dibenci. Sesungguhnya, Islam tidak pernah meletakkan tindakan ekstrem sebagai cara untuk mencapai apa-apa maksud atau tujuan.

Ajaran Islam tidak membenarkan umatnya mengamalkan perbuatan ekstrem, bahkan tidak menyokong sebarang bentuk penindasan dan ketidakadilan. Umat Islam ditegah mendatangkan sebarang bencana atau kesusahan kepada pihak lain. Mana-mana individu Islam yang melakukan perbuatan ekstrem tidak patut mengaku melakukan perbuatan itu atas dasar memperjuangkan Islam.

Justeru itu, sebaranga tuduhan yang dilemparkan kepada umat Islam sebagai pengganas, ekstrem, militan, radikal dan kejam adalah dakyah yang dilakukan oleh pihak berniat jahat terhadap umat Islam. Mereka sebenarnya tidak mengetahui mengenai ajaran Islam yang sebenar. 

Media Barat sentiasa melancarkan propaganda untuk menggambarkan Islam sebagai paksi segala kejahatan. Berita yang melibatkan umat Islam yang digambarkan sebagai pengganas mendapat ruang utama di media massa Barat. Malah berita itu diperbesar-besarkan dengan penambahan yang sengaja direka-reka.

Sedangkan hakikat sebenarnya, keganasan berlaku di serata dunia yang dilakukan dalam mana-mana masyarakat dan agama. Penganut agama lain juga melakukan perbuatan ekstrem yang ditujukan kepada penganut Islam. 

Namun, perbuatan ekstrem penganut agama lain cuba disembunyikan seperti tidak berlaku langsung. Sebaliknya, orang Islam sahaja yang digambarkan melakukan perbuatan ekstrem. Mereka mengaitkan bahawa ajaran Islam mengajar umatnya melakukan keganasan.

Antara fakta salah yang digunakan untuk menyokong dakwan mereka ialah sejarah pengembangan agama Islam pada masa lalu yang dilakukan secara peperangan. Mereka menyembunyikan fakta sebenar dan hanya menilai secara luaran sahaja.

Gambaran itu menjadikan seluruh masyarakat dunia menjadi fobia terhadap umat Islam. Sedangkan hakikat sebenarnya Islam amat benci sebarang bentuk keganasan. Islam amat mencintai keamanan dan kesejahteraan untuk dinikmati seluruh penghuni dunia ini.

Prinsip toleransi dan menolak sikap melampau menjadi tulang belakang kepada penerimaan Islam dalam masyarakat Arab ketika Islam mula disebarkan oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW tidak melakukan paksaan kepada mana-mana individu atau kaum untuk menerima Islam. Agama Islam digambarkan mudah dan indah tanpa amalan yang membebankan umatnya.

No comments:

Post a Comment