Saturday, 9 December 2017

TEPAK SIRIH CERANA TANDA ADAT




Cerana atau tepak sirih biasanya diperbuat daripada tembaga berbentuk segi empat tepat dan ada yang berbentuk seperti biduk atau perahu. Ada juga cerana dalam bentuk bulat seakan-akan pinggan. Cerana ada yang berkaki dan tidak berkaki.

Tepak sirih digunakan untuk diletakkan bekas kecil yang mengandungi kapur, gambir dan buah pinang. Di ruang tepak sirih juga muat untuk meletakkan kacip pinang, gobek dan sireh.

Cerana menjadi sebahagian peralatan istiadat yang digunakan dalam majlis penting yang mana tetamu akan terebih dahulu berbual sambil makan sireh sebelum memulakan sesuatu perbincangan, termasuklah dalam soal peminangan dan perkahwinan.

Aturcara majlis menjadi lebih teratur dan tenang apabila masing-masing terlebih dulu makan sirih biarpun sekadar sepiak sireh (jumlah yang amat kecil) meraikan tetamu.

Kedudukan tepak sirih menjadi 'tanda' kepada sesuatu adat. Sesuatu majlis tidak dimulakan selagi kedudukan tepak sirih diletakkan dengan betul atau mengikut tanda yang biasa sebelum memulakan majlis. 

Sebab itu, cerana atau tepak sirih diletakkan di tengah-tengah dalam majlis agar masing-masing (biasanya ketua rombongan) dapat merasakan sepiak sirih yang diletakkan di dalam cerana. 

No comments:

Post a Comment