Sunday 17 December 2017

BUAH NAM NAM DIGUNA RAWATAN TRADISIONAL

Buah nam nam, juga dikenali buah katak puru, buah kopi anjing, buah hima, buah namau-namu, amphawa dan nang-ai. Khasiat buah ini mampu merawat penyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.  

Buah ini dulunya terkenal dan diminati ramai kerana kelainan rasanya yang unik serta menyelerakan untuk dimakan.  

Walaupun bentuk luarannya tidak secantik buah-buahan yang lain, namun bagi mereka yang biasa merasai buah ini tentu membuatkan air liur terasa kecur.

Pokok nam nam termasuk dalam kategori tumbuhan liar atau hutan. Ia mudah ditanam atau dibiarkan melalui biji. Jadi ia mudah tersebar apabila bijinya dicampak atau dibuang selepas isinya dimakan.  

Sebab itu, pokok nam nam banyak terdapat di tepi rumah yang sebenarnya tidak ditanam, tetapi tumbuh setelah bijinya dibuang di situ.

Nama botani pokok nam nam ialah cynometra cauliflora.  

Memandangkan pokok ini mudah ditanam dan tidak begitu besar, pokok nam nam sering dijadikan hiasan laman rumah, selain dapat menikmati buahnya. Warna daun muda yang berwarna pink menambahkan kecantikan pokok itu. 

Biarpun pokok ini mudah tumbuh, ia sesuai ditanam di kawasan tanah lembab bersaliran baik dengan sinaran matahari yang cukup untuk tumbuh subur.

Buah nam nam bersaiz di antara lima hingga enam sentimeter (cm). Buah yang masak dikenali dengan warnanya berubah seakan kuning dan buahnya 'kembang penuh'. Bijinya pula berbentuk leper boleh dibelah dua.  

Buah nam nam keluar di bahagian batang, termasuk di pangkal pokok. Ada yang keluar betul-betul di atas tanah. Buahnya akan keluar di tempat sama dengan yang sebelumnya. Sebab itu, di bahagian itu akan terbentuk macam bonggol tempat keluar buah.  

Bagi pokok yang subur, buahnya keluar hingga ke dahan bahan atas, tetapi jumlahnya tidak banyak. Jadi, tidak timbul istilah panjat pokok nam nam untuk mengambil buahnya, melainkan pokok itu betul-betul tinggi. 

Buah nam nam sedap kalau makan dicicih dengan kicap dicampur dengan gula dan garam.  Elok juga dimasukkan belacan dan lada cili api.  

Kicap juga boleh diganti dengan cuka. Tidak kisahlah cuka tiruan, cuka nipah atau cuka kelapa. Kalau tidak ada semu itu, boleh dimakan dengan garam atau makan kosong aje.

Ada juga yang membuat sambal ikan dengan menumbuk ikan dan cili bersama-sama buah nam nam. 

Buah nam nam boleh juga dicampur dengan buah-buah lain untuk dijadikan rojak. Memang terangkat. 

Malah, bukan itu sahaja, buah yang kaya dengan vitamin C ini juga boleh dijadikan jus. 

Kajian khasiat buah nam nam belum tersebar, biarpun dikatakan telah ada pakar pemakanan telah membuat kajian mengenainya.

Namun, di kalangan masyarakat Melayu, antara khasiat buah nam nam dikatakan mampu untuk merawat kencing manis, darah tinggi dan penyakit buah pinggang. 

Selain buahnya, pucuk dan daun nam nam juga boleh dimanfaatkan untuk tujuan kesihatan. 

Pucuk nam nam boleh dijadikan ulam dimakan bersama nasi. Rasanya agak kelat yang menyebabkan ia sesuai untuk mengubat kencing manis dan darah tinggi.  

Daun tua pula boleh dikeringkan dan dijadikan ramuan teh. Ia dipercayai dapat merawat batu karang.

Elok kita perbanyakkan menanam pokok nam nam sama ada sebagai pokok hiasan atau untuk mendapatkan buahnya.  

Pokok nam nam kini dikategorikan sebagai pokok nadir kerana jumlahnya semakin berkurangan.  

2 comments: