Dalam sukan terjun air ada beberapa
kategori yang dipertandingkan. Kategori dipertandingkan berdasarkan kepada
perbezaan jenis tempat terjun, ketinggian, jantina dan bilangan peserta.
- Jenis tempat terjun ada dua kategori
iaitu papan anjal dan platform.
Papan anjal adalah papan yang melentik ke
bawah dan melenting ke atas. Ia bergerak ke bawah apabila penerjun melompat ke
atas permukannya di bahagian hujung dan kemudian melenting ke atas yang turut
memberi tujahan ke atas penerjun untuk melayang lebih tinggi.
Platform atau papan tinggi adalah lantai
simen yang berada statik atau pegun tidak bergerak.
- Ketinggian adalah jarak papan anjal dan platform
dari permukaan air. Ketinggian untuk papan anjal ialah 1 meter dan 3 meter.
Manakala ketinggian platform ialah 3 meter, 5 meter, 7.5 meter dan 10 meter.
- Jantina melibatkan lelaki dan wanita.
- Bilangan peserta merujuk kepada seorang
atau berdua. Penyertaan seorang dinamakan individu, manakala berdua pula
dipanggil berirama. Penyertaan berdua tidak disebut beregu seperti kebanyakan
acara sukan lain.
Ketika melakukan terjunan, terdapat pelbagai
cara kedudukan, permulaan dan pergerakan sebelum mencecah air. Istilah yang kerap
digunakan ialah kuang (somersault) dan pusing (twist).
Ia juga melibatkan darjah kesukaran yang
berbeza untuk menentukan markah. Semakin tinggi darjah kesukaran, peluang untuk
mendapat markah tinggi lebih terbuka.
No comments:
Post a Comment