Urusan
dakwah dianggap sebagai kerja kebaikan kerana ia membabitkan usaha
mengembangkan agama Allah SWT.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan apakah yang lebih baik dari seseorang
yang menyeru kepada jalan Allah dan mengatakan bahawa aku adalah daripada
kalangan Muslimin.” (Surah an-Nahl, ayat 33)
Ulama tafsir berpendapat ayat yang turun di Makkah ini menyentuh tugas Nabi SAW
yang besar dalam menerangkan kebenaran tauhid melalui hujah dan keterangan
daripada Allah SWT. Kerja dakwah mewakili tugas nabi dan rasul secara langsung.
Kita
dididik untuk berpegang kepada prinsip yang benar dalam apa keadaan sekalipun,
sama ada suka atau derita.
Kita
memerlukan prinsip untuk memandu kita kerana agama Islam penuh prinsip
khususnya dalam memahami hubungan Islam dengan masyarakat yang lain.
Antara prinsip diketengahkan agama Islam ialah sebagai rahmat untuk seluruh
alam.
Prinsip
ini diambil daripada kenyataan al-Quran yang bermaksud: “Tidak kami utuskan
dikau wahai Muhammad melainkan untuk membawa rahmat kepada semesta alam.”
(Surah al-Anbiya’, ayat 107).
Menunjukkan segala tindakan atau peraturan mestilah tidak bercanggah dengan
sifat rahmat yang diasaskan Islam.
Maka,
bagi pihak berkuasa yang bertindak atas nama Islam, prinsip ini hendaklah
diutamakan kerana ada kala tindakan umat Islam tidak mencerminkan makna rahmat
itu sendiri.
Berlembut dan bersantun pelihara hak Allah.
Rahmat bagi hubungan sesama manusia membawa maksud berlembut dan bersantun
dalam memelihara hak Allah SWT kepada sesama manusia.
Hak Allah SWT ke atas hambanya tidak pernah mengukur kepada aspek keturunan,
pangkat, kedudukan dan agama.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan
hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik.
Sesungguhnya Rabb-mu Dialah yang lebih mengetahui siapa yang tersesat dari
jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang yang mendapat petunjuk.”
(Surah an-Nahl, ayat 125)
Baginda Nabi SAW menunjukkan contoh kepada kita, seorang Muslim hanya
bertanggungjawab menyampaikan kebenaran, tetapi tidak boleh mengecam golongan
kafir yang tidak bersedia untuk beriman.
Perbuatan balas-membalas kecaman tidak dibenarkan Islam kerana balas membalas
kecaman hanya akan mengheret pihak lain ke dalam kancah permusuhan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Jangan kamu memaki hamun tuhan mereka yang
menyeru selain daripada Allah, kelak mereka akan balas memaki Allah dengan
permusuhan dan mereka tidak ada pengetahuan mengenai-Nya (Allah).” (Surah
al-An'am, ayat 108).
No comments:
Post a Comment