Pada setiap Ramadan, selain menunaikan ibadat puasa, satu lagi ibadat wajib dilaksanakan ialah berzakat fitrah. Waktu berzakat fitrah ialah bermula bulan Ramadan hinggalah sebelum imam mengangkat takbir sembahyang sunat hari raya Aidilfitri.
Kefarduan zakat fitrah dijelaskan oleh Umar dari sabda Rasulullah bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah telah mewajibkan zakat fitrah ini daripada Muslim, baik hamba atau merdeka, lelaki atau perempuan, iaitu sebanyak segantang kurma atau gandum.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Zakat dari sudut bahasa bermakna keberkatan, kesucian, perkembangan dan kebaikan. Manakala dari segi syarak pula bermaksud sebahagian harta tertentu yang diwajibkan oleh Allah untuk diberikan kepada orang yang berhak menerimanya.
Zakat fitrah atau disebut juga zakat diri adalah kefarduan ke atas setiap orang. Zakat fitrah diwajibkan kepada semua individu Muslim, tidak kira kecil, miskin maupun hamba.
Dari Abu Said al-Khudriy katanya: “Ketika Rasulullah masih berada bersama kami, kami mengeluarkan zakat fitrah untuk setiap anak kecil, orang dewasa, merdeka atau hamba sebanyak segantang makanan sama ada berupa keju, gandum, kurma dau anggur kering.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Para ulama fikah sepakat menjelaskan bahan yang harus digunakan untuk menunaikan zakat fitrah ialah makanan asasi setempat.
Di kawasan penduduknya memakan beras, maka beraslah dikira bahan digunakan bagi menunaikan zakat fitrah. Hal ini memudahkan orang ingin berzakat fitrah, manakala orang menerima zakat itu pula dapat manfaatnya.
Sebahagian ulama fikah pula mengambil ketetapan mengharuskan zakat fitrah boleh ditunaikan dengan matawang bagi menggantikan bahan asasi yang dikira mengikut harga pasaran semasa. Di negara kita majoriti orang Islam berzakat fitrah menggunakan matawang.
Zakat fitrah wajib ditunaikan bagi setiap orang yang dikira masih mempunyai makanan mencukupi untuk diri dan tanggungannya pada hari Aidilfitri.
Kefarduan zakat fitrah turut menyenaraikan golongan miskin wajib menunaikan bagi dirinya dan juga tanggungannya. Hanya golongan fakir, yakni golongan paling miskin yang tidak mempunyai bekalan makanan untuk dimakan pada keesokannya tidak diwajibkan membayar zakat fitrah.
Tanpa
menunaikan zakat fitrah, diri seseorang masih dalam keadaan tidak bersih
sepenuhnya. Sebab itu fitrah bererti suci bersih.
No comments:
Post a Comment