Anai-anak banyak terdapat di persekitaran kita biarpun tidak selalu dilihat. Ini kerana anai-anai tinggal dalam busut atau di dalam sarang tersembunyi. secara berkoloni.
Anai-anai tergolong dalam kumpulan Blattodea dan suborder Isoptera dengan lebih 2600 spesies yang terdapat di dunia dan lebih 175 spesies telah direkodkan di Malaysia.
Anai-anai merupakan serangga pemusnah. Jika dibiarkan tanpa kawalan, banyak kerosakan harta berlaku. Sebab itu ada syarikat menawarkan perkhidmatan memusnahkan atau mengawal serangga yang memberi tumpuan kepada anak-anai.
Sebenarnya, anai-anai yang tinggal di luar lingkungan tempat tinggal tidak dipedulikan atau bukan ancaman kepada manusia. Kalaupun ada keburukan hanya kerana merosakkan tanaman.
Anai-anai yang betul-betul dianggap sebagai musuh ada yang tinggal di kawasan rumah. Kalau yang jenis rumah papan, boleh satu rumah diruntuhkan jika dibiarkan dalam tempoh masa yang lama.
Tapak rumah konkrit boleh senget disebabkan aktiviti anai-anai di bahagian bawah. Sebab itu, untuk mengelak anai-anak membiak di bahagian bawah tapak binaan, antara langkah awal ialah membasmi anai-anai dengan menggunakan racun.
Anai-anai hidup secara koloni yang terdiri ratu, raja, askar, pekerja dan kelkatu yang mempunyai peranan masing-masing.
Di kawasan luar rumah, koloni anai-anai tinggal di dalam busut atau pusu.
Kompleks tempat tinggal anai-anai dalam busut memang ‘canggih’ dan lengkap untuk memenuhi keperluan hidup koloni.
Busut dilihat dari luar memang keras dan seperti tanah biasa. Namun, bentuk di dalamnya memberi gambaran satu tempat tinggal yang ‘lengkap’ dan ‘selesa’ untuk anai-anai hidup.
Busut ada jantan dan betina, tetapi bukan pasangan untuk melahirkan anak. Jenis busut jantan atau busut betina adalah merujuk kepada bentuk busut berkenaan. Busut betina bentuknya agak besar dan bulat bentuknya. Manakala busut jantan pula bentuknya lancip iaitu tirus di bahagian atas.
Sebagai serangga sosial yang hidup secara berorganisasi, setiap jenis anai-anai memainkan peranan yang besar bagi memastikan busut dalam keadaan baik dan penghuni di dalamnya selamat.
Apabila pencerobohan yang mengakibatkan kerosakan pada pusu seperti keretakan mahupun lubang pada pusu berlaku, anai-anai akan mengetukkan kepalanya pada dinding pusu sebagai penggera kecemasan kepada penghuni lain.
Tahukah anda, apabila kecemasan berlaku, larva anai-anai akan dipindahkan ke bahagian yang lebih selamat manakala jalan masuk di mana raja dan ratu tinggal akan disekat dengan membina benteng untuk menutupi laluan masuk tersebut.
Kemudian, kawasan kerosakan akan dikepong oleh askar anai-anai, dan pekerja anai-anai akan mengangkut bahan-bahan untuk membaiki kerosakan pusu.
Apabila kerja pembaikan pulih selesai, anai-anai akan berkelakuan dan bertindak seperti kebiasaan.
Sebenarnya apa yang berlaku itu dapat kita lihat apabila setiap kali kita meruntuhkan pusu, maka akan ‘tumbuh’ pusu baharu di tapat berkenaan.
Sebab itu, untuk memusnahkan anai-anai perlu dilakukan pembongkaran keseluruhan merosakkan tempat tinggal mereka, terutama mencari ratu dan raja yang melahirkan koloni anai-anai itu.
Anai-anai suka makan kayu. Sebab itu rumah kayu atau objek kayu sering menjadi sasaran anai-anai. Sambil makan kayu, anai-anai membuat sarang di situ.
Bila banyak yang tinggal di situ, maka banyaklah kerosakan yang berlaku. Kalau dilihat dari luar, keadaan kayu itu kelihatan masih elok. Tetapi sebenarnya sebahagian besar bahagian kayu itu telah rosak.
No comments:
Post a Comment