Thursday, 5 March 2020

KISAH ANJING DI DALAM AL-QURAN DAN HADIS

Perbincangan tentang anjing, dianggap agak sensitif di kalangan umat Islam di Malaysia. Isu berkenaan menyentuh anjing pernah dibincangkan secara hangat pada tahun 1940 di Kelantan melibatkan tokoh ulama terkemuka Tanah Melayu, seperti Haji Wan Musa yang merupakan Mufti Kelantan, Kadi Besar Singapura dan ramai lagi. Perbincangan itu turut dihadiri Raja Kelantan, Sultan Ibrahim. Selepas perbincangan tersebut, mereka bergambar dengan disertakan seekor anjing bersama.

Perihal anjing pernah diceritakan dalam beberapa ayat al-Quran dalam beberapa bentuk. Antaranya adalah diceritakan tentang anjing dalam kerangka kisah Ashab al-Kahfi.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri daripada mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka” (Surah al-Kahf, ayat 18)

Dan firman Allah SWT di dalam surah yang sama yang bermaksud: “(Sebahagian dari) mereka akan berkata: “Bilangan Ashaabul Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka “; dan setengahnya pula berkata:”Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka” – secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang lain berkata: “Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kedelapannya ialah anjing mereka”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit”. Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya). (Surah al-Kahf, ayat 22)

Dalam al-Quran juga diceritakan tentang anjing perburuan. Firman Allah yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): “Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?” Bagi menjawabnya katakanlah: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. Kamu mengajar serta melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan bertaqwalah kepada Allah (dengan memelihara diri dari memakan yang diharamkan Allah); Sesungguhnya Allah Maha Cepat hitungan hisabNya” (Surah al-Maidah, ayat 4)

Di dalam hadis juga, ada dipamerkan tentang seorang pelaku dosa besar boleh diampunkan dosa oleh Allah disebabkan memberi minum kepada anjing. 

Maksud hadis: “Daripada Abu Hurairah, Sesungguhnya Rasulullah SAW berkata, ketika seorang lelaki berjalan di satu laluan, dia merasa kehausan, lalu dia dapati ada sebuah telaga. Dia masuk ke dalamnya, minum air dan keluar. Dia ternampak seekor anjing tercungap-cingap dan menjilat tanah lembab ekoran kehausan. Lelaki itu berkata, sesungguhnya anjing ini sampai kehausan sepertimana aku kehausan tadi. Lalu, lelaki itu turun ke dalam telaga dan mengisi air pada kasutnya sehingga penuh, kemudian dia mengigit kasutnya itu dengan mulutnya hingga dia panjat telaga tersebut lalu memberi minum kepada anjing tersebut. Allah SWT berterima kasih kepadanya dan mengampunkan dosanya“ (Muwatta’, hadis no, 3435)

Dari ini, kita akan dapati bahawa dari sudut pandang al-Quran dan Hadis, perbincangan tentang anjing bukan perkara yang sensitif. Namun, dianggap sensitif di kalangan orang Melayu.

Tidak diketahui, apa penyebab perasaan sensitif ini sebegini berlaku. Mungkin terlalu terikat dengan penekanan terhadap mazhab Syafie yang rata-ratanya menyatakan hukum anjing adalah najis mughalazah (najis berat), menjadikan ia dianggap cukup jijik dan amat sensitif.

No comments:

Post a Comment