Wednesday, 25 December 2019

MENGAPA JENAKA BERTUKAR JADI DUKA

Berjenaka memang perlu, tetapi jangan dilakukan dengan keterlaluan. Terlalu banyak berjenaka boleh menyebabkan perhatian terhadap tugas menjadi kurang. Jadi, di tempat kerja dan di mana-mana sahaja perlu ada jenaka yang bersesuaian tanpa mengganggu perjalanan tugas.  

Satu lagi perkara yang perlu diberi perhatian ketika berjenaka ialah tidak menyentuh soal peribadi orang lain. Sesuatu yang menyentuh peribadi adalah hak empunya diri yang tidak boleh dijadikan bahan gurauan. 

Biasanya, kita sering menjadikan keadaan fizikal seseorang bahan jenaka. Malah, gelaran seperti botak, gemuk, hitam dan pendek sering dijadikan bahan jenaka.

Panggilan itu sebenarnya satu penghinaan kepada orang ditujukan gelaran itu. Perbuatan itu samalah seperti mengumpat.

Kita tidak sepatutnya meniru jenaka yang banyak dipaparkan dalam program sitcom luar negara dan tempatan. Kebanyakan sitcom memaparkan watak yang mempersendakan antara satu sama lain. 

Malang sekali watak orang tua, orang miskin dan satu keadaan yang dipandang hina dijadikan bahan jenaka. Jenaka dalam sitcom sedikit sebanyak mempengaruhi minda penonton untuk melakukan perkara yang sama.

Ada orang beranggapan tidak salah memanggil seseorang dengan gelaran berkaitan fizikalnya jika orang itu tidak kisah atau tidak membantah gelaran itu. Tetapi, fikirkan mengapa dia bersikap demikian. Mungkin kerana dia telah lali dengan gelaran itu dan tidak mahu menimbulkan perbalahan dengan rakan-rakan.  

Dengan kata lain, jika dijawab dengan jujur, sudah tentu tidak ada siapa yang ingin digelar dengan gelaran yang melambangkan kekurangan atau keburukan diri sendiri. Jika diri kita tidak mahu digelarkan begitu, jangalah pula dilakukan terhadap orang lain.   

Jadi, jika ingin mewujudkan suasana jenaka, lakukan dengan kaedah yang tidak menyinggung perasaan sesiapa pun. Carilah sesuatu yang bermanfaat yang boleh dijadikan jenaka.

Orang yang berfikiran kreatif boleh mewujudkan jenaka secara spontan tanpa melakukan sesuatu yang ditegah agama dan adat. Perbuatan atau perkataan berjenaka itu dilakukan secara bersahaja.

Malah, dalam keadaan tertentu jenakanya tidak dianggap jenaka, tetapi tetap menyebabkan orang mendengarnya tersenyum dan tertawa dengan sendirinya.

Kita sepatutnya membaca sirah Nabi Muhammad yang menceritakan mengenai jenaka yang pernah digunakan oleh baginda. Kita boleh kembangkan atau sesuaikan dengan situasi sekarang.

Contohnya, Nabi Muhammad pernah bertegas hanya ingin membenarkan seorang wanita menunggang seekor anak unta. Wanita itu membantah kerana yakin anak unta tentu tidak mampu ditunggangi. Lalu, Rasulullah menjelaskan, tidakkah setiap seekor unta itu adalah anak kepada seekor unta yang lain, biarpun unta itu telah dewasa dan mempunyai anak sendiri.

Itulah antara jenaka Nabi Muhammad yang sebenarnya mengajak kita berfikir sesuatu sebelum bersetuju atau membantah mengenai sesuatu.

No comments:

Post a Comment