Sunday, 29 July 2018

IKUT TUNTUTAN AGAMA UNTUK BERKUASA

Takrif Melayu terkandung seperti terkandung dalam Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa seorang Melayu adalah beragama Islam, bercakap bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu. 

Maka, jika seorang Melayu meninggalkan Islam, bermakna dia tidak lagi dianggap sebagai Melayu. Dengan kata lain, jika memperjuangkan Melayu, bermakna memperjuangkan Islam. 

Umat Melayu sama ada kepemimpinan mahupun pengikutnya harus bersedia memperkasa diri dengan penghayatan Islam. Usaha membina keteguhan nilai yang mampu mencernakan amanah, keadilan, kejujuran dan keikhlasan perlu dijadikan teras perjuangan.

Pemimpin Melayu tidak wajar berdolak dalih dan menghalalkan perjuangan sedangkan apa yang dilakukan itu bersifat perpecahan dan permusuhan sesama Melayu. Islam tidak membenarkan perpecahan semata-mata untuk mencapai kemenangan. 

Akibat buruk perpecahan tidak berbaloi dengan kemenangan yang dicapai. Ini kerana kemenangan itu pula akan dicabar oleh pihak yang kalah. Akibatnya, perpecahan terus berlaku dan mendatangkan kerugian berpanjangan kepada bangsa dan agama.

Rakyat Malaysia bukan berbangsa Melayu dan bukan Islam tidak patut bimbang dengan hak keistimewaan yang diberikan dalam Perlembagaan kepada bangsa Melayu. 

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan meletakkan tanggungjawab kepada Yang Dipertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera, tetapi pada masa sama turut menjaga kepentingan sah kaum-kaum lain. 

Manakala Perkara 3 pula meletakkan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

Jelas sekali Perkara 153 bukan saja untuk kaum Melayu, tetapi juga kaum bumiputera serta kaum-kaum lain. Sedangkan Perkara 3 dengan jelas membenarkan agama-agama lain diamalkan dengan aman dan damai. 

Jikalah Melayu tamak kuasa dan menzalimi kaum lain, sudah tentu kaum-kaum lain tidak akan diterima secara automatik sebagai warganegara berdasarkan kepada prinsip jus soli yang memberi taraf kewarganegaraan berdasarkan kepada tempat dilahirkan.

Kaum Cina dan India diterima sebagai warganegara dalam proses negara mencapai kemerdekaan. Perkara ini tidak berlaku di negara-negara lain yang mana kaum asal menerima kaum pendatang untuk berkongsi kuasa dan kekayaan negara. Ini bermakna, Melayu telah melakukan pengorbanan besar dan tidak perlu diragui keikhlasan menerima kehadiran kaum lain. 

Hari ini, untuk berjaya Melayu mesti menyelesaikan kemelut perpecahan sesama sendiri. Melayu perlu kembali kepada tuntutan Islam yang pentingkan perpaduan dan persaudaraan. Setelah perkara ini dapat diselesaikan, tidak ada lagi penghalang untuk Melayu mencipta kejayaan dan kegemilangan.

Kemajmukan tidak harus menjadi suatu realiti menakutkan. Integrasi boleh berlaku jika hubungan minda diperteguhkan, hubungan hati diperkukuh supaya setiap warga Malaysia berasa selesa dan yakin terhadap hala tuju kepimpinan negara. 

Harus wujud suasana kebebasan memberikan pandangan membina supaya setiap pihak berasa selesa dengan kritikan membina untuk kebaikan semua.

No comments:

Post a Comment