1. Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah (PDTKP) ingin
mengulas mengenai laporan akhbar Sinar Harian bertarikh 14 April 2025 bertajuk
Ceroboh tanah: Individu kecewa layanan dua darjat. Individu bernama Mohamad
Khairul Jamain telah menyatakan beberapa perkara seperti yang dilaporkan dalam
akhbar Sinar Harian dan juga hantaran di muka buku (facebook) beliau iaitu
Khairul Jamain pada 13 April 2025.
2. Pejabat Daerah dan Tanah merupakan agensi di daerah yang
bertanggungjawab antaranya untuk melindungi tanah-tanah Kerajaan daripada
diceroboh mengikut peruntukan Kanun Tanah Negara (KTN) [Akta 828] dan PDTKP
sentiasa melaksanakan tanggungjawab ini dengan tegas dan berintegriti.
3. Pada 13 Februari 2025, lebih kurang jam 3.15 petang, Unit
Penguatkuasaan, PDTKP telah menerima aduan lisan berkenaan aktiviti
pencerobohan tanah Kerajaan di Kampung Tering, Johol. Lanjutan daripada aduan
yang terima, anggota Penguatkuasa PDTKP telah pergi ke tempat tersebut dan
mendapati terdapat sebuah jentera excavator berwarna kuning sedang melakukan
kerja-kerja pembersihan tanah di atas tanah Kerajaan (rizab sungai).
Berdasarkan siasatan, didapati kerja-kerja pembersihan tersebut dilakukan tanpa
sebarang dokumen kebenaran yang sah sama ada daripada Pihak Berkuasa Negeri
atau Pentadbir Tanah Daerah Kuala Pilah.
4. Justeru, pemandu jentera yang juga merupakan pemilik
jentera tersebut telah diarahkan untuk menghentikan kerja-kerja di lokasi dan
kunci jentera juga diserahkan kepada anggota Penguatkuasa PDTKP. Jentera
tersebut kemudiannya dipindahkan dan ditempatkan di Kompleks Pentadbiran Daerah
Kuala Pilah.
5. Perbuatan melakukan kerja-kerja pembersihan tanah atas
tanah Kerajaan tanpa sebarang kebenaran yang sah merupakan suatu kesalahan di
bawah perenggan 425 (1) (b) KTN dan tindakan perampasan jentera telahpun
dijalankan secara teratur mengikut perenggan 426A (1) (b) KTN dan perampasan
sedemikian boleh dilakukan tanpa waran. Jika disabitkan kesalahan pelaku boleh
dikenakan denda tidak lebih RM500 ribu atau penjara tidak lebih 5 tahun atau
kedua-duanya.
6. Dakwaan saudara Mohamad Khairul Jamain berkenaan layanan
yang tidak adil terhadap kes beliau berbanding kes pencerobohan tanah di Raub,
Pahang dan Dengkil, Selangor adalah tidak berasas kerana tatacara tindakan
penguatkuasaan dan siasatan telahpun dijalankan secara teratur mengikut lunas
undang-undang yang diperuntukkan di bawah KTN. Malahan PDTKP telah mengambil
langkah awal bagi mengelakkan kerosakan yang lebih besar terhadap tanah
Kerajaan tersebut.
7. Pentadbiran ini mengambil maklum terhadap keperluan
saudara Mohamad Khairul Jamain yang hendak membina laluan bagi tujuan mengakses
ke tanah yang dibeli. Walau bagaimanapun, bagi tujuan tersebut, permohonan
perlulah dibuat terlebih dahulu kepada Pentadbir Tanah sebelum kerja-kerja
pembersihan tanah melibatkan tanah Kerajaan boleh dijalankan.
8. Kebenaran ini penting untuk memastikan kerja-kerja
pembersihan tanah yang dijalankan menepati piawai teknikal oleh Jabatan
Pengairan dan Saliran (JPS), lebih-lebih lagi tanah Kerajaan yang terbabit
berada dalam rizab sungai Jelai dan termasuk dalam projek Rancangan Tebatan
Banjir (RTB) yang dijangka siap pada tahun 2029. Kerja-kerja pembersihan tanah
yang dijalankan tanpa kawalan dikhuatiri akan memberi kesan buruk kepada
penduduk kampung yang telah sekian tahun terpaksa menghadapi kesan banjir. Oleh
itu, PDTKP berharap semua pihak khususnya yang bukan anak tempatan Kuala Pilah
mendapat khidmat nasihat terlebih dahulu agar isu tempatan lebih difahami
sebelum memulakan sebarang kerja-kerja pembersihan tanah.
9. Turut dilaporkan adalah mengenai pengadu wanita berbangsa
Cina yang membuat aduan di PDTKP. Pentadbiran ini akan mengadakan siasatan
bilamana sesuatu aduan dilaporkan tanpa mengira bangsa dan agama. Berdasarkan
rekod PDTKP, aduan tanah yang diterima daripada orang awam adalah daripada
pelbagai bangsa dan tindakan yang diambil adalah sama dan penyelesaian
dilaksanakan berdasarkan fakta kes. Bagi tahun 2025, PDTKP telah menerima 25
aduan yang mana 60% aduan yang diterima adalah daripada bangsa Melayu dan
bakinya daripada bangsa Cina.
10. Saudara Mohamad Khairul Jamain dan pemilik jentera
excavator melalui peguam mereka telah mengemukakan surat permohonan
pengembalian jentera dan penyelesaian hak laluan tanah di atas tanah Kerajaan
kepada PDTKP. Penjelasan telah diberikan kepada pihak peguam dan kedua-dua anak
guam secara lisan pada 18 Februari 2025 dan secara bertulis melalui surat
bertarikh pada 20 Februari 2025, dihantar melalui e-mel pada 21 Februari 2025.
11. Saudara Mohamad Khairul Jamain telah menghantar e-mel
permohonan Kebenaran Untuk Membina Jalan Menggunakan Rizab Sungai ke PDTKP pada
20 Februari 2025 (surat bertarikh 13 Februari 2025). Tindakan penguatkuasaan
telah dilaksanakan pada 13 Februari 2025 iaitu tarikh sebelum PDTKP menerima
e-mel permohonan daripada beliau. Permohonan beliau tetap diproses walaupun
pencerobohan telah dilakukan lebih awal. Siasatan tanah telah dilakukan sesuai
dengan keadaan dan isu lokasi tersebut dan Pentadbiran ini akan mengeluarkan
surat dalam masa terdekat. Pentadbiran ini akan mencadangkan laluan yang tidak
mengganggu projek RTB yang sedang dilaksanakan oleh JPS.
12. Isu akhir yang dibangkitkan adalah mengenai bagaimana
seorang bukan Melayu boleh memiliki tanah dalam kawasan rizab melayu.
Berdasarkan semakan Pentadbiran ini geran yang dimaksudkan oleh Saudara Mohamad
Khairul Jamain bukan berstatus rizab melayu.
13. Untuk makluman, Kertas Siasatan bagi kes telah
dilengkapkan dan akan dikemukakan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk
arahan selanjutnya. Sukacita PDTKP ingin menekankan bahawa tindakan
penguatkuasaan yang dijalankan ini merupakan suatu tindakan yang sama yang
turut dilaksanakan di mana-mana negeri di Semenanjung Malaysia mengikut
tatacara yang ditetapkan oleh KTN.
14. Satu laporan polis telah dibuat bagi isu ini bagi
memastikan pihak PDRM menjalankan siasatan selanjutnya sekiranya terdapat
unsur-unsur fitnah, hasutan atau isu-isu perkauman. PDTKP menafikan segala
tuduhan tidak berasas yang bukan sahaja mencemarkan imej jabatan, malah
mengganggu perjalanan siasatan.
15. Pentadbiran Daerah Kuala Pilah selaras hasrat Kerajaan
Negeri Sembilan menyambut baik hasrat pembangunan di Kuala Pilah. Namun
demikian hasrat tersebut hendaklah selaras dengan peraturan berkuatkuasa dan
perbincangan awal amatlah dialu-alukan. Pencerobohan tanah kerajaan walaupun
bagi maksud pembangunan tidak dapat ditoleransi kerana ia adalah amanah rakyat
yang perlu dilaksanakan sebaiknya. Sebarang tohmahan sebaiknya disiasat
(Tabayyun) terlebih dahulu. Pentadbiran ini berharap kerjasama diberikan sebaik
mungkin agar kes ini dapat diselesaikan dengan baik.
Terima kasih.
NAWAL BINTI MOHAMED AMIN
Pegawai Daerah Kuala Pilah
14 April 2025
Terima kasih.
Pegawai Daerah Kuala Pilah
14 April 2025
No comments:
Post a Comment