Ayat-ayat al-Quran terdapat sebanyak 6236
ayat (sebahagian ulama menyatakan 6,666 ayat) diturunkan dalam tempoh 22 tahun
2 bulan 22 hari, iaitu sembilan tahun di Makkah dan 13 tahun di Madinah. Ia
melibatkan 74,437 kalimat dan 325,345 huruf. Setelah dikumpulkan, ia
dibahagikan kepada 30 juz dan 114 surah.
Manakala sunnah pula terdapat ratusan ribu
yang tersebar di kalangan para sahabat dan dikumpul oleh para pakar hadis.
Maka itu, kita dapat bayangkan akan wujud
bermacam-macam bentuk lafaz yang digunakan di dalam setiap dalil sama ada dari
al-Quran mahupun sunnah. Ulama telah membahagikan kepada dua kategori, iaitu
lafaz yang jelas dan lafaz yang tidak jelas.
Jenis lafaz yang jelas pengertiannya
Lafaz yang jelas pengertiannya terbahagi
empat iaitu al-zahir, an-nas, al-mufassar dan al-muhkam.
Al-zahir. Ia bermaksud setiap lafaz atau
kata-kata yang mempunyai maksud yang jelas berdasarkan kepda gaya bahasa lafaz
itu sendiri, tanpa melihat kepada lafaz-lafaz dalam ayat lain di luar dari
lafaz itu dan tanpa membuat sebarang penelitian terhadap ayat tersebut.
Antara contoh lafaz zahir adalah ayat 38,
surah al-Maidah yang bermaksud: "Dan orang lelaki yang mencuri dan orang
perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka..."
Lafaz dalam ayat itu jalas dapat kita
fahami maknanya, iaitu orang lelaki dan orang perempuan yang mencuri hendaklah
dihukum potong tangan. Bagaimanapun, maksud ayat itu dianggap umum tanpa
dapat difahami maksud sebenar kepada ayat itu. Sedangkan ayat itu jika dirujuk
kepada ayat seterusnya antara yang ingin dijelaskan ialah tentang sesiapa yang
melakukan kesalahan dan kemudiannya menyesal dengan perbuatannya serta ingin
memperbaiki kesalahan itu, maka Allah akan mengampunkan segala dosa itu.
Penggunaan lafaz zahir sebagai hukum
disepakati oleh ulama sebagai wajib berpegang kepada maksud yang diperoleh
secara zahir dari ayat yang terdapat dalam al-Quran dan sunnah, sama ada lafaz
yang digunakan adalah umum atau khusus.
Penolakan penggunaan hukum dari lafaz zahir
itu hanya berlaku jika terdapat dalil-dalil yang menunjukkan maksud yang
berbeza.daripada lafaz itu. Penolakan juga berlaku dalam kes lafaz zahir itu
telah dinasakhkan.
An-nas. Bermaksud lafaz yang menunjukkan
makna dan dalil dan ia merupakan makna asal bagi lafaz tersebut. Namun ia masih
boleh menerima takwil dan boleh dinasakhkan ketika zaman penurunan wahyu.
Contoh lafaz dalam jenis nas ialah ayat
berkaitan keharusan berjual beli dan pengharaman riba.
Firman Allah bermaksud: "Orang yang
makan riba, tidak dapat berdiri kecuali seperti orng yang dirasut syaitan
kerana mereka telah mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama
sahaja seperti riba. Pada hal berniaga itu dihalalkan oleh Allah, sedangkan
riba diharamkan." - (Surah al-Baqarah, ayat 275).
Lafaz dalam ayat itu secara zahirnya
menyebut mengenai keharusan berjual beli dan diharamkan riba. Namun, secara
nasnya, ayat itu sebenar sebagai menafikan dakwaan orang Yahudi yang menyatakan
jual beli dan riba itu sama saja, iaitu dihalalkan. Orang Yahudi tidak mahu
menerima hakikat bahawa amalan riba mendatangkan banyak keburukan, khususnya
penindasan.
Nas berfungsi menjelaskan dan menerangkan
maksud yang difahami daripada zahir untuk mengetahui maksud sebenar yang ingin
dijelaskan atau disampaikan oleh Allah. Maksud sebenar itu dapat diketahi
dengan cara melihat perbezaan dan persamaan di antara zahir dan nas. Tegas di
sini, kedudukan nas lebih tinggi daripada zahir.
Dari segi penyataan hukum, lafaz nas dan
zahir tidak ada bezanya, yakni wajib beramal dengan kedua-duanya. Bagaimanapun,
lafaz nas juga boleh ditakwilkan sekiranya terdapat lafaz khas, sedangkan lafaz
itu adalah lafaz umum. Begitu juga lafaz nas boleh menerima nasakh. Pun begitu,
penasakh hanya boleh berlaku pada zaman Rasulullah masih hidup.
Al-mufassar. Al-musassar bermaksud lafaz
yang menunjukkan kepada makna yang jelas yang menjadi makna asal kepada ayat
al-Quran atau hadis. Ia tidak boleh ditakwil tetapi masih boleh dinasakhkan
pada zaman wahyu sedang diturunkan.
Contoh ayat yang termasuk dalam jenis
mufassar ialah firman Allah dalam surah al-Hijr, ayat 30 yang bermaksud:
"(Setelah selesai kejadian Adam), maka sujudlah sekalian malaikat,
semuanya sekali."
Pada permulaan ayat, perkataan 'malaikat'
membawa maksud umum. Ia boleh dibahaskan kemungkinan semua malaikat atau
sebahagian saja yang sujud. Tetapi, kewujudan perkataan 'sekalian' membawa
maksud kesemua malaikat yang secara jelas lafaz itu tidak boleh ditaksihkan.
Orang Islam wajib beramal dengan maksud
yang terkandung dalam lafaz mufassar dan maksud itu tidak boleh ditakwil atau
ditakhsis. Bagaimanapun lafaz itu boleh dinasakhkan. Namun, seperti yang
difaham, nasakh hanya berlaku pada zaman Rasulullah, yakni tidak ada lagi
nasakh terhadap ayat al-Quran mahupun hadis selepas kewafatan Rasulullah.
Al-muhkam. Maksudnya ialah lafaz
yang petunjuknya menunjukkan suatu pengertian yang jelas sesuai dengan susunan
lafaz itu dan tidak mungkin menerima sesuatu yang lain sama ada takhsis, nasakh
dan takwil.
Lafaz yang termasuk dalam jenis muhkam
ialah berkaitan asas akidah dan hukum-hukum fiqh yang bersifat kekal dan
berterusan.
Contohnya, firman Allah yang bermaksud:
"Wahai orang-orang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana
diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu
bertakwa."
Lafaz itu jelas dan tidak mungkin difahami
dari sudut lain, serta tidak membuka ruang untuk ditakhsis, nasakh atau takwil.
Muhkam terbahagi dua iaitu pertamanya
muhkam lizatihi yang mana lafaz yang mengandungi masud yang jelas dan difahami
daripada lafaz itu sendiri. Keduanya, muhkam lighairihi, yakni lafaz itu jelas
maksudnya, tetapi difahami berdasarkan kepada faktor luaran.
Orang Islam wajib beramal dengan maksud
lafaz dalam jenis muhkam kerana maksudnya jelas difahami, serta tidak boleh
lagi menerima takwil, takhsis dan juga tidak boleh dinasakhkan. Contohnya,
hukum wajib berpuasa tidak pernah dipertikaikan dan amalannya berkekalan hingga
ke hari ini dan seterusnya hingga hari kiamat. Perlaksanaan ibadat puasa adalah
sebahagian daripada Rukum Islam dan termasuk dalam perkara akidah umat Islam.
Berdasarkan kepada penjelasan di atas,
dapat dirumuskan bahawa lafaz jenis muhkam paling tinggi kedudukannya kerana
tidak boleh ditakwil, takhsis dan nasakh. Kedudukan kedua ialah musaffar kerana
ia tidak boleh ditakwil dan ditakhsis, tetapi tidak boleh dinasakh.
Di tahap ketiga ialah nas kerana maknanya
boleh ditakwil, ditakhsis dan dinasakh. Zahir pula ditahap paling bawah kerana
makna yang tersurat saja, serta boleh ditakwil, ditakhsis dn dinasakh.
Jenis lafaz yang tidak jelas pengertiannya
Jika jenis-jenis lafaz yang jelas terdapat
empat jenis, lafaz yang tidak jelas pengertiannya juga terbahagi kepada empat
jenis iaitu al-khafi, al-musykil, almujmal dan al-mutasyabih. Penjelasan setiap
satu daripadanya adalah seperti berikut:
Al-khafi. Khafi ialah lafaz yang
mengandungi makna yang tersembunyi dan maksud yang tidak jelas atau lafaz yang
dilalahnya tersembunyi disebabkan terdapatnya kesamaran.
Pada dasarnya, maksud lafaz sebenarnya
jelas dalam konteks ayat itu. Bagaimanapun, maksud itu menjadi tidak jelas
apabila diaplikasikan kepada istilah yang mempunyai persamaan.
Sebagai contoh, ayat ke 38 surah al-Maidah
menyebut dengan jelas tentang hukum potong tangan terhadap lelaki dan perempuan
yang mencuri. Timbul tidak kejelasan apabila perbuatan mencuri itu cuba
dikaitkan dengan perbuatan penyeluk saku, peragut, penyamun dan
sebagainya.
Secara istilahnya, kesemua perbuatan itu
membawa maksud yang berbeza. Maka timbul persoalan bagaimana untuk menghukum
pesalah-pesalah itu? Kesamaran ini membawa kepada perbincangan ahli fiqh untuk
menentukan sifat sebenar perbuatan-perbuatan itu dan seterusnya menentukan
hukuman pelakunya.
Contoh dalam kes ini, ahli fiqh merumuskan
perbuatan penyeluk saku mempunyai ciri-ciri hampir sama dengan mencuri, maka
hukumannya juga adalah sama.
Al-musykil. Ia bermaksud salah satu
daripada bentuk lafaz yang tidak mengandungi makna yang jelas. Ini adalah
kerana disebabkan oleh lafaz itu sendiri mengandungi lebih daripada satu makna
seperti lafaz musytarak.
Ketidakjelasan maknanya adalah disebabkan
oleh perkataan itu sendiri yang mempunyai maksud yang tidak jelas, yang
memerlukan petunjuk lain untuk menjelaskannya.
Contoh paling popular dalam menjelaskan
maksud musykil dan musytarak ialah perkataan 'quru' yang terdapat dalam ayat
228 surah al-Baqarah. Perkataan itu diselisih pendapat oleh ulama dalam
menjelaskan maksudnya sama ada bererti suci dari haid atau haid.
Para ulama membuat penelitian khusus dengan
menggunakan petunjuk lain untuk menjelaskan maksud sebenar sesuatu lafaz yang
dikategorikan jenis musykil. Terdapat banyak lagi ayat lain yang termasuk dalam
jenis ini.
Para ulama usul fiqh menyatakan pendapat
bahawa wajib mengkaji dan meneliti perkataan yang musykil itu untuk mencari
maknanya yang sebenar. Maka sebarang keputusan hendaklah dibuat berdasarkan
kepada dalil dan qarinah. Keputusan yang diambil itu hendaklah diamalkan atau
diterima sebagai hukum.
Al-mujmal. Mujmal ialah suatu lafaz
yang hanya diketahui maksudnya oleh orang yang menyebut perkata itu.
Sesungguhnya Allah melalui al-Quran dan hadis menggunakan perkatan tertentu
untuk menerangkan sesuatu yang berkaitan dengan hukum syarak. Perkataan itu
tidak dapat ditafsir dengan akal,melainkan merujuk kepada al-Quran dan
hadis.
Tiga perkara yang menyebabkan lafaz itu
dikategorikan sebagai mujmal:-
a. Perkataan itu mempunyai maksud yang banyak.
b. Perkataan itu asing dalam bahasa
c. Perkataan itu ditukarkan maksudnya dari sudut bahasa kepada maksud dari sudut istilah.
Kedudukan mujmal lebih rendah berbanding
musykil kerana ia mengandungi pelbagai makna dan setiap makna itu mempunyai
persamaan terlalu hampir sehingga tidak dapat dibezakan dengan mudah, kecuali
dijalankan penelitian yang mendalam.
Sesungguhnya Allah tidak menurunkan sesuatu
ayat, melainkan ia dapat difahami dan diamalkan. Maka itu, lafaz mujmal
diterangkan sendiri oleh Allah melalui penjelasan di dalam ayat lain atau
hadis.
Mana-mana lafaz mujmal yang telah difahami
maksudnya, bertukar kategorinya kepada mufassar. Maka mana-mana hukum yang
terbit dari maksud lafaz itu adalah terpakai.
Tetapi, jika lafaz mujmal tidak difahami
sepenuhnya, ia bertukar kedudukan pada musykil saja. Maka, para ulama berusaha
untuk mendapatkan makna yang dianggap 'tepat' dengan menggunakan ijtihad
mereka.
Al-mutasyabih. Mutasyabih ialah suatu lafaz
nas yang mana pengertian yang dikehendakinya sama sekali tidak dapat difahami
kerana tidak terdapat qarinah yang boleh menghilangkan kesamarannya.
Antara contoh lafaz mutasyabih ialah firman
Allah dalam surah al-Fath, ayat 10 yang bermaksud: "...tangan Allah di
atas tangan mereka..."
Lafaz 'tangan' dalam ayat itu merupakan
lafaz mutasyabih yang tidak dapat difahami sebagaimana adanya. Maka, lafaz ini
telah menjadi perbahasan dikalangan ulama untuk menentukan maksudnya.
Sesungguhnya, lafaz 'tangan' tentunya tidak
boleh diertikan seperti yang kita fahami seperti tangan manusia sama ada dari
segi bentuk atau kegunaannya. Ini kerana Allah tidak menyerupai apa-apa bentuk
yang ada di muka bumi ini. Jika kita cuba membayangkan Allah menyerupai
sesuatu, maka bayangan itu sama sekali salah.
Dalam, mentafsir lafaz 'tangan' dalam ayat
itu, para ulama menerima maksudnya sebagai 'kekuasaan' Allah.
Orang Islam wajib berpegang kepada maksud
yang diperoleh secara zahir dari ayat yang terdapat di dalam al-Quran dan
hadis, sama ada lafaz yang digunakan adalah umum atau khusus, melainkan
terdapat dalil-dalil yang menunjukkan sama ada memberi maksud yang berbeza atau
maksud dari zahir ayat itu telah dinasakhkan.
Contohnya ayat ketiga surah an-Nisa yang
bermaksud: "Maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari
perempuan-perempuan lain, dua, tiga atau empat." Secara zahir ayat itu
menjelaskan tentang kebenaran untuk lelaki dan perempuan berkahwin.
Namun yang tersirat dari ayat itu
sebenarnya berkaitan menjelaskan keharusan bagi lelaki untuk berpoligami tidak
lebih daripada empat orang isteri saja apabila kita membaca sambungan ayat yang
bermaksud: "Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil ( di antara
isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang saja." (Surah
an-Nisa, ayat 3).
Ayat ini menunjukkan lafaz yang menunjukkan
makna dan dalil dan ia merupakan makna asal bagi lafaz tersebut. Sesungguhnya
wajib beramal dengan maknanya yang asal.
Jelas sekali, biarpun an-nas berfungsi
menjelaskan dan menerangkan maksud yang difahami daripada zahir, yakni memahami
maksud yang sebenar ingin disampaikan, kita wajib beramal dengan kedua-duanya.
Maksud tersebut dikenalpasti dengan cara melihat perbezaan dan persamaan di
antara kedua-duanya. Yang demikian, kedudukan nas lebih tinggi daripada zahir.
Perhatikan pula ayat kedua surah an-Nur
yang bermaksud: "Perempuan yang berzina dan leleki yang berzina, hendaklah
kamu sebat tiap-tiap seorang dari kedua-duanya seratus kali sebat."
Ayat itu dikategori mufassar iaitu lafaz
yang menunjukkan kepada makna yang jelas yang menjadi makna asal kepada ayat
itu.
Sedangkan jika ayat itu hanya dibaca:
"Perempuan yang berzina dan leleki yang berzina, hendaklah kamu
sebat.", maka ia menjadi kategori al-zahir, iaitu lafaznya mempunyai
maksud yang jelas berdasarkan kepada gaya bahasa lafaz itu sendiri tanpa
melihat lafaz-lafaz dalam ayat lain di luar dari lafaz itu dan tanpa membuat
sebarang penelitian terhadap ayat tersebut.
a. Perkataan itu mempunyai maksud yang banyak.
b. Perkataan itu asing dalam bahasa
c. Perkataan itu ditukarkan maksudnya dari sudut bahasa kepada maksud dari sudut istilah.
No comments:
Post a Comment