Wednesday 13 October 2021

PARTI DITUBUH BEKAS AHLI PAS

 
PAS telah melahirkan beberapa parti serpihan akibat ahlinya tidak puas hati kepada kepimpinan parti. PAS sendiri lahir dari rasa tidak kepuashatian ahli UMNO apabila kalah dalam pemilihan. 
 
Maka tidak pelik jika ahli PAS akan meninggalkan parti dan menubuhkan parti lain apbila tidak sehaluan dengan kepimpinan parti atau kalah dalam pemilihan. 
 
Parti serpihan terbaru PAS adalah Amanah. Kewujudan Amanah, akibat pecahan dalaman PAS dilihat berbeza dengan beberapa parti serpihan yang pernah wujud juga dari bekas ahli Pas. 
 
Amanah membawa watak berlainan dengan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM) dan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) yang diwujudkan pada tahun 70-an dan 80-an. 
 
HAMIM dan BERJASA masing-masing merupakan parti yang ditubuhkan oleh dua orang bekas Menteri Besar Kelantan iaitu Tan Sri Asri Muda dan Datuk Muhamed Nasir. 
 
Penubuhan kedua-dua tokoh parti itu dilihat atas usaha individu dan disokong oleh ahli Pas yang setia kepada pemimpin berkenaan. 
 
Berlainan dengan Amanah, biarpun tokoh yang dilihat penggerak kepada penubuhannya adalah Mohamad Sabu, namun hakikatnya ia adalah digerakkan oleh sebilangan besar pemimpin Pas yang dikenali sebagai barisan pemimpin progresif yang kalah dalam pemilihan pada Muktamar tahun 2015. 
 
Setiap pemimpin mempunyai kekuatan dan pengaruh masing-masing. Mereka ini mempunyai banyak pengaruh terutamanya terhadap golongan profesional dalam Pas, anak-anak muda serta pengundi atas pagar yang selama ini menyokong Pas. 
 
Jadi untuk menyamakan parti baru tersebut dengan HAMIM dan BERJASA adalah sesuatu yang sukar kerana situasi yang berlaku tidak sama kerana pemimpin progresif Pas ini mempunyai sokongan di seluruh negara berbanding kedua-dua parti tersebut iaitu di Kelantan. 
 
Amanah turut juga mendapat sokongan dari NGO dan kebanyakan mereka yang ingin melihat perubahan besar dalam lanskap politik negara. 
 
Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM) telah dilancarkan penubuhannya oleh Pengerusi penaja HAMIM, Datuk Haji Asri b. Haji Muda, pada 24 Mac 1983. Penubuhan parti baru itu berasaskan kepada tujuh matlamat perjuangannya iaitu:- 
- Memperjuangkan Islam agar diterima dan diyakini sebagai akidah dalam semua bidang kehidupan dalam menuju keredhaan Allah melalui dakwah secara lisan atau tulisan dan amalan. 
- Mengembangkan kefahaman dan keyakinan Islam sebagai akidah dan ideologi politik tentang keesaan Allah bagi menuju ke arah kesempurnaan keluarga, masyarakat dan negara sebagai asas perpaduan di kalangan umat Islam. 
- Bekerjasama atau menyertai mana-mana badan-badan atau pertubuhan yang tidak berlawanan dengan dasar atau tujuan dan usaha-usaha HAMIM bila mana dan selama ianya dianggap mustahak dan sesuai serta    tidak bercanggah dengan undang-undang negara. 
- Melakukan apa jua langkah dalam batas-batas perlembagaan dan undang-undang negara bagi mencapai tujuan dan usaha HAMIM keluar dan ke dalam. 
- Mendokong dan menegakkan kekuatan politik, pembinaan ekonomi dan usaha-usaha kemasyarakatan umat Islam di samping mengawasi kesetabilan politik, ketahanan negara dan keharmonian kaum dalam usaha mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara. 
- Memperjuangkan agar dapat diwujudkan sistem keadilan, perundangan dan pentadbiran yang sesuai dengan nilai-nilai Islam supaya sikap, nilai dan kegiatan hidup negara dan masyarakat selaras dengan semangat ajaran Islam. 
- Menjalankan apa jua ikhtiar untuk kemajuan dan kebajikan ahli HAMIM serta umat Islam dan rakyat amnya. 
 
Manakala Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) diasaskan oleh Datuk Muhamed Nasir pada tahun 1977 apabila beliau dipecat oleh Pas. 
 
Pemecatan Mohamed Nasir disebabkan sebahagiannya oleh krisis dalam parti Barisan Nasional. Ketika itu, Pas adalah sebuah parti komponen dalam Barisan Nasional. Akhirnya Pas menarik diri daripada Barisan Nasional dan hilang penguasaan negeri Kelantan. 
 
BERJASA membentuk kerajaan gabungan dengan UMNO selepas pilihan raya negeri tahun 1978. BERJASA lalu menyertai Barisan Nasional, namun sokongan bagi BERJASA hilang dalam pilihan raya seterusnya. 
 
Pada 1989, ia menyertai Angkatan Perpaduan Ummah (APU) di bawah pimpinan Tengku Razaleigh yang ketika itu memimpin Parti Melayu Semangat 46 (Semangat 46). Anggota lain APU ialah Pas dan HAMIM. 
 
Satu lagi parti serpihan Pas ialah Islah yang lahir akibat rasa tidak puashati sebilangan pemimpin tehadap keputusan Muktamar. 
 
Manakala Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) yang kemudianya dikenali Parti KITA ditubuhkan Hanafi Hamat sekitar tahun 1985. 
 
Gambar Sungai Kelantan. Sekadar hiasan. 

No comments:

Post a Comment