Wednesday 12 August 2020

CARA BUAT ARANG SEKAM PADI SEBAGAI MEDIUM TANAMAN


Sekam padi iaitu kulit padi yang tanggal setelah ditumbuk atau dimesin amat sesuai digunakan sebagai medium tanaman. Penggunaan sekam padi dianggap sebagai satu nilai tambah kepada usaha penanaman padi.

Sebelum ini sekam padi hanya dibakar menjadi abu sebagai cara untuk melupuskannya. Sekam padi sebenarnya sukar untuk dilupuskan atau dihancurkan tanpa dibakar. Bahkan proses pembakaran padi sehingga menjadi abu mengambil masa lama. Sebab itu ada pepatah ‘seperti api dalam sekam’, yakni biarpun tidak kelihatan apinya, tetapi masih menyala di dalamnya.

Untuk menjadikan sekam sebagai medium tanaman perlu melalu proses pembakaran agar menjadi arang sekam padi. Yakni, ia terbakar tetapi tidak menjadi abu. Jika terbakar menjadi abu, fungsi dan kebaikan penggunaannya akan berbeza dengan arang sekam padi.

Proses membakar sekam padi menjadi arang tidak sukar, tetapi perlu ikut proses yang berkenaan agar berjaya menjadi arang sekam padi dan bukannya abu sekam padi.

Keperluan pertama ialah sekam padi itu sendiri. Pastikan ia kering. Sekam padi boleh didapati di kilang memesin padi. Biasanya secara percuma sahaja.

Keperluan lain ialah cerobong atau serombong. Biasanya ia adalah dawai besi yang digulung bulat seperti batang paip. Serombong ini penting untuk proses pembakaran.

Serombong diletakkan di tengah-tengah timbunan sekam padi. Jika sekam padi yang ingin dibakar banya, maka serombong yang dibuat juga mesti tinggi agar tidak menutupi serombong itu.

Masukkan api yang dinyalakan menggunakan kertas atau sebagainya di dalam serombong. Pastikan ia terus menyala dan membakar sekam padi di sekelilingnya.

Sepanjang proses pembakaran, sekam padi yang belum terbakar ditimbunkan di tempat yang telah terbakar. Ini bagi mempercepatkan ia terbakar sekata.

Setelah semua sekam padi telah terbakar, api perlu dipadamkan agar tidak terus membakar sehingga ia menjadi abu. Cara mudah untuk memadamkan api sekam padi ialah dengan menyembur air kepadanya.

Antara kebaikan atau kelebihan arang sekam padi ialah:
- Menyediakan medium tanaman yang gembur membantu proses pertumbuhan akar pokok.
- Kandungan nutrium yang tinggi.
- Dapat menyerap atau menyimpan banyak air.
- Proses pembakaran menyebabkan mikrob atau bakteria mati.
- Menjadi medium yang baik untuk pembiakan organisma hidup.
- Kaya kandungan unsur nitrogen (N), fosfor (P), kalium (K), kalsium (Ca) dan Magnesium (Mg).
- Kadar pH 6,5 sampai 7 yang sesuai untuk tanaman.
- Lebih ringan.

Selamat mencuba.

No comments:

Post a Comment