Saturday 26 May 2018

ISTERI PENYOKONG KEJAYAAN SUAMI

Kesempurnaan hidup seorang lelaki yang berbangga dengan kedudukan yang dicapainya sebenarnya bermula dari didikan dan kemampuan seorang wanita bergelar ibu. Tidak sempurna kehidupan seseorang tanpa terlebih dahulu dididik dan dibentuk pekertinya oleh seorang wanita.

Kejayaan seorang lelaki ada di sisinya seorang wanita. Ibu, kakak, dan isteri sentiasa memberi sokongan moral dan membantu apa yang diperlukan oleh lelaki. Dengan kata lain, sumbangan yang dilakukan lelaki kepada kecemerlangan ummah secara langsung juga adalah hasil yang diusahakan oleh wanita. 

Oleh itu wanita tidak perlu merasa terpinggir atau tidak diperlukan. Sebenarnya masyarakat mengiktiraf sumbangan wanita yang disumbangkan melalui suaminya. 

Suami yang dianugerahkan gelaran Datuk, turut memberi gelaran Datin untuk isterinya. Tetapi, seseorang wanita yang diberikan anugerah gelaran, tidak pula turut diberikan kepada suaminya.    

Justeru amatlah perlu lelaki menjadikan wanita sebagai teman dan pembantu dalam semua hal, asalkan ia tidak melampaui batasan syariat. Usaha meminggir peranan wanita dalam pembangunan ummah sebenarnya merugikan semua pihak. 

Banyak sumbangan yang mampu disumbangkan oleh wanita memandangkan taraf pendidikan dan kemahiran dimiliki wanita kini setanding dengan lelaki. 

Mana-mana pihak meminggirkan wanita samalah dia kembali kepada kehidupan zaman Jahiliah yang mana wanita hanya dianggap masyarakat kelas kedua. Kedudukan wanita dipandang hina, sial dan membawa rasa malu dalam keluarga mendorong masyarakat Jahiliah menanam hidup-hidup anak perempuan mereka. 

Dalam masyarakat moden hari ini masih ada golongan yang sering memperkecil-kecilkan sumbangan wanita. Lebih malang ada golongan yang menyalahkan wanita sebagai segala punca maksiat. Apa sahaja berlaku maksiat, wanita dikatakan menjadi puncanya. Lantas, golongan wanita dikatakan perlu ‘dikongkong’.

Sebab itu topik mengenai wanita sering menjadi perdebatan. Isu mengenai fesyen, kerjaya, hak dalam keluarga, dan kelemahan wanita terus dihangatkan. Ada golongan yang melihat wanita dalam pendangan yang ‘membolehkan’ semua dan ada pula menyekat secara terus.

Wanita di negara kita bertuah mendapat kedudukan sama dengan lelaki. Kerajaan memberi komitmen padu ke arah kesaksamaan gender yang dimenifestasikan melalui penggubalan Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita.

Komitmen kerajaan dalam usaha membangun dan memperkasakan wanita terbukti apabila Artikel 8(2) Perlembagaan Persekutuan, dipinda pada Ogos 2001 bagi mengatasi masalah diskriminasi gender yang sekali gus melrang undang-undang dan polisi diskriminasi wanita.

No comments:

Post a Comment