Wednesday 30 May 2018

RAMADAN KEBUN PAHALA TERBENTANG LUAS

Kesempatan beribadat pada bulan Ramadan adalah peluang terbaik meraih keuntungan berlipat ganda. Sesiapa melakukan ibadat dan kebajikan dengan ikhlas semata-mata kerana Allah dalam bulan Ramadan, maka baginya disediakan balasan berlipat ganda yang tidak diperoleh pada bulan lain. Ramadan kebun pahala yang terbuka terbentang luas kepada sesiapa sahaja yang bertakwa.

Ibadat utama diwajibkan pada bulan Ramadan ialah puasa. Kelebihan ibadat puasa berbanding ibadat-ibadat lain dikaitkan sebagai alat atau mesin melahirkan Muslim bertakwa. Kaedah ini juga disebut oleh Allah turut diperintahkan kepada umat-umat nabi terdahulu.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183 bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ia diwajibkan ke atas orang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.”

Definasi takwa seperti dirumuskan oleh para ulama ialah menjauhkan diri daripada perkara ditegah dan melakukan perkara disuruh. Pembinaan ketakwaan tulen adalah jalan menuju keredaan-Nya yang menjadi asas membina keutuhan iman.

Keberkesanan ibadat puasa ke arah landasan kehidupan lebih bertakwa dan membina sifat-sifat mulia turut menjadi amalan penganut agama lain. Ia adalah penerusan amalan puasa yang disyariatkan kepada umat-umat nabi terdahulu, yang kemudian menjadi cabang kepada agama-agama lain apabila penganutnya menyeleweng daripada ajaran asal.

Bagaimanapun, cara penganut agama lain melaksanakan puasa bukan penting dibincangkan, tetapi keyakinan mereka meniru apa dilakukan oleh umat Islam membuktikan kepentingan puasa dalam membentuk hubungan antara manusia dengan penciptanya yang perlu sentiasa rapat dan bersih daripada unsur-unsur lain.

Memandangkan keistimewaan ibdat puasa, maka Allah menjadikan bulan di mana ibadat tersebut diwajibkan, diberikan pelbagai insentif dan kelebihan yang tidak terhingga. Ia membuktikan kemurahan Allah menilai hubungan ketakwaan yang wujud melaluinya. 

Amalan wajb digandakan pahala, sedangkan amalan sunat diberikan ganjaran pahala ibadat wajib. Beruntunglah sesiapa melipatgandakan amalan kebaikan untuk meraih sebanyak mungkin pahala pada bulan Ramadan. 

No comments:

Post a Comment