Wednesday 30 May 2018

PINTU LANGIT TERBUKA LUAS

Kelebihan ibadat puasa menjadikan orang berpuasa mendapat rahmat sehingga dibuka seluas-luasnya pintu langit untuk menerima segala kelebihan daripada Allah. Mudah dan banyak ganjaran pahala dijanjikan kepada sesiapa melakukan ibadat pada bulan Ramadan.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa berpuasa dengan penuh keimanan dan ketakwaan, maka dia akan diampunkan baginya segala dosa yang lalu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Sedangkan pintu neraka dikuncikan menghalang daripada orang berpuasa memasukinya. Sesiapa berpuasa dengan sebenar-benarnya, maka telah diampunkan dosa-dosanya seperti dia baru dilahirkan.

Rasulullah sabda yang bermaksud: “Akan datang kepada kamu bulan Ramadan, bulan keberkatan, difardukan oleh Allah kepadamu puasa dalam bulannya, dibuka pintu langit dan dikunci pintu neraka, dirantai akan syaitan. Demi Allah terdapat padanya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa terlepas akan keberkatan dan kebaikan malam itu, maka dia adalah orang kerugian.” (Hadis riwayat Nasai dan Baihaqi).

Ibadat puasa yang dilakukan secara ikhlas menjadi benteng menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan buruk. Ia dijelaskan oleh Rasulullah dalam hadisnya bermaksud: “Puasa itu benteng daripada kejahatan.” (Hadis riwayat Muslim, Ahmad dan Nasai).

Sesiapa berpuasa, tetapi masih melakukan perkara ditegah seperti menipu, mengumpat, berdengki, sombong dan sebagainya, sebenarnya tidak layak dipanggil berpuasa. Dalam dirinya masih dikuasai oleh syaitan yang ditanam selama ini.

Syaitan dibelanggu pada bulan Ramadan, tetapi sifat syaitan yang tertanam sekian lama di dalam diri adalah urusan manusia sendiri untuk menundukkannya. Sebab itu amat penting amalan puasa dilakukan dengan hati ikhlas dan hanya mengharapkan keredaan Allah.

Sesiapa berpuasa tetapi masih melakukan perkara ditegah sebenarnya hanya berpuasa sekadar sah pada rukum tetapi tidak mencapai makna puasa sebenarnya. Sebab itu ramai berpuasa tidak meninggalkan daripada melakukan perkara ditegah. Mereka hanya menahan diri daripada lapar dan dahaga.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Berapa ramai orang berpuasa, tetapi tidak diperoleh apa-apa kebaikan, kecuali hanyalah rasa lapar dan dahaga.” (Hadis riwayat Nasai, Ahmad dan Ibnu Majah).

Sesungguhnya amat rugi sesiapa mempersia-siakan sepanjang Ramadan. Allah melebihkan Ramadan bukan kerana diwajibkan puasa semata-mata, tetapi keseluruhan Ramadan itu disediakan pelbagai keistimewaan.

Sesiapa benar-benar yakin dan ingin merebut kelebihan Ramadan, pasti tidak mempersia-siakan setiap detik Ramadan. Disebabkan terlalu mencintai kelebihan Ramadan, ramai mengharapkan agar semua bulan menjadi seperti bulan Ramadan.

No comments:

Post a Comment