Wednesday 30 May 2018

MELAKUKAN URUSAN HARIAN DIKIRA IBADAT

Sesiapa melakukan perkara menepati konsep melakukan apa disuruh dan menjauhkan apa dilarang, sebenarnya dia telah melakukan satu kebaikan atau ibadat. Melakukan kerja dan ususan kehidupan seharian juga dikira ibadat jika dilakukan mengikut syariat.

Dengan kata lain, tindakan sesetengah individu menghentikan atau mengurangkan tumpuan kepada urusan kehidupan seharian pada bulan Ramadan bukan satu langkah bijak.

Peluang menghampirkan diri kepada Allah bukan hanya ketika di tikar sembahyang atau beriktikaf di masjid. Jika benar-benar mencari peluang kebaikan, di mana saja kita berada boleh mendampingai Allah dengan selalu mengingati-Nya melalui zikir, astighfar dan doa.

Astighfar dan doa dalam bulan Ramadan mudah diterima oleh Allah. Bahkan, Allah sentiasa menawarkan keampunan dan memakbulkan doa dilakukan pada bulan Ramadan.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Pada setiap malam bulan Ramadan, Allah berfirman tiga kali: “Apabila ada orang yang meminta, maka Aku akan tunaikan permintaannya, jika ada yang meminta ampun, maka Aku akan ampun.” (Hadis riwayat Tarmizi).

Sesiapa menghampiri Allah dengan apa cara sekalipun, maka pasti Allah akan menghampirinya dengan jarak berganda. Sudah pasti sesiapa merasakan dirinya sentiasa hampir dengan Allah, mendapat petunjuk dan dilindungi dirinya daripada melakukan apa yang bertentangan syariat.

Peluang meningkatkan kedudukan di sisi Allah perlu direbut, terutama sepanjang Ramadan. Sekiranya tidak mampu melakukan sepenuhnya seperti apa disaran oleh Rasulullah, setidak-tidaknya ibadat dan kebajikan dilakukan sepanjang Ramadan lebih baik berbanding bulan-bulan lain.

Nilai balasan bagi ibadat puasa amat tinggi dan diangkat oleh Allah sebagai untuk-Nya. Ia dapat difahamkan betapa Allah memberi ganjaran khusus bagi ibadat puasa yang amat berlainan berbanding ibadat-ibadat lain.

Rasulullah bersabda dalam hadis Qudsi bermaksud: “Allah berfirman: “Setiap amalan baik anak Adam adalah untuk dirinya melainkan puasa, ia adalah untuk-Ku dan Akulah yang akan membalasnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

No comments:

Post a Comment