Saturday 24 February 2018

TANDA KIAMAT SEMAKIN HAMPIR

Seorang sahabat datang bertanyakan kepada Rasulullah SAW, bilakah akan terjadi kiamat? Rasulullah SAW yang ketika itu sedang menyampaikan tazkirah tidak menjawab, sebaliknya Baginda meneruskan ceramahnya.

Apabila selesai, Rasulullah SAW berkata, siapakah yang bertanya tadi dan sahabat itu menjawab: "Saya wahai Rasulullah." Lalu Baginda SAW bertanyakan sahabat berkenaan, apa yang sudah engkau siapkan untuk hari kiamat.

Ini bukti Rasulullah SAW tidak mengetahui bilakah akan berlaku kiamat, justeru andai ada yang berkata mereka mengetahui bila kiamat, golongan itu bercanggah dengan al-Quran dan sunah.

Bagaimanapun, Rasulullah SAW banyak bercerita mengenai tanda kiamat yang terbahagi kepada dua, iaitu tanda zahir dan maknawi atau maksud tersirat daripada apa disampaikan Baginda SAW.

Antara tanda fizikal ialah ucapan Nabi SAW, umat akhir zaman akan berlumba-lumba membuat bangunan tinggi yang kini sudah kita saksikan. Jika dahulu paling tinggi di Makkah ialah Jabal Abi Qubais, iaitu bukit terletak di belakang bukit Safa, tetapi sekarang ia yang paling rendah.

Seorang hamba melahirkan tuannya, juga sudah nampak. Ketika umat Islam berkuasa dan menguasai satu tempat, perempuan dulunya hamba melahirkan anak yang merdeka.

Namun, hadis ini condong kepada makna seorang ibu melahirkan anak dan anaknya menderhaka sehingga seolah-olah ibu menjadi kuda, manakala anak menjadi tuan.

Antara tanda kiamat seperti disebut Rasulullah SAW ialah apabila ilmu dicabut oleh Allah SWT. Maskud dicabut di sini merujuk kepada ketiadaan orang berilmu.

Sekarang muncul orang jahil yang kemudian dianggap berilmu, pandai berbicara dan memakai pakaian ulama tetapi dia sesat serta menyesatkan.

Apabila diberi satu perkara bukan kepada ahlinya, maka tunggulah kiamat. Sebenarnya isi dunia sudah kiamat tetapi alamnya belum lagi.

Di negara ini, masih ada ulama dan mufti, maka hindari orang jahil yang tidak diketahui sanad ilmunya.

Tanda kedua kiamat ialah banyak terjadi gempa, bumi digoncangkan dan keluar isi daripada alam. Persoalannya, apakah kejadian itu membuat manusia merasa tertekan dan tidak beramal sedangkan ia sepatutnya meningkatkan semangat untuk meningkatkan amal soleh.

Tanda ketiga ialah masa saling mendekati hingga tidak terasa baru sahaja Jumaat dan esok sudah solat Jumaat lagi. Jika diperhatikan, waktu tidak berkurangan, tetapi alat seperti gajet dan teknologi membuatkan duduk lama tidak terasa, seakan masa yang cepat berlalu.

Sebagai peringatan, manusia akan ditanya mengenai umur mereka di dunia, bagaimana ia dihabiskan dan adakah ini akan dapat dijawab nanti.

Tanda keempat ialah banyak terjadi fitnah, baik perkataan atau di media sosial seperti Facebook, WhatsApp atau Twitter, begitu juga fitnah penyeksaan yang dihadapi umat Islam di Palestin dan Rohingya sehingga hari ini.

Manakala tanda keenam ialah pembunuhan yang banyak, bagaimana mereka memusnahkan kaum Muslimin antaranya penghapusan etnik Bosnia, pembantaian di Iraq dan konflik di Palestin yang tidak nampak kesudahannya.

Bilapun berlaku kiamat, yang penting kita sentiasa meningkatkan amal soleh untuk dijadikan bekal di akhirat. Ingatlah, kematian itu adalah kiamat untuk setiap orang.

No comments:

Post a Comment