Friday 10 December 2021

PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN RUJUKAN TERTINGGI NEGARA

  
Kedudukan Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara. Ia merupakan suatu kumpulan dokumen bertulis undang-undang dasar yang menentukan cara pemerintahan negara dijalankan. 
 
Perlembagaan Persekutuan menjadi rujukan apabila ada pertikaian mengenai sesuatu dasar berkaitan pentadbiran negara. 
 
Perlembagaan Persekutuan menerangkan kuasa-kuasa yang dipunyai oleh pelbagai anggota negara, kedudukan, nama, peraturan, hak-hak yang dipunyai oleh orang yang diperintah dan perhubungan antara yang memerintah dengan orang yang diperintah. 
 
Antara kepentingan Perlembagaan Persekutuan ialah menjamin kestabilan politik dan sistem pentadbiran yang cekap dan berkesan. 
 
Perlembagaan Persekutuan menentukan corak pemerintahan, pembahagian kuasa antara pelbagai badan kerajaan serta prinsip-prinsip umum cara kuasa tersebut dilaksanakan. 
 
Jadi tidak ada pihak boleh pandai-pandai atau sewenganya mengubah sistem pemerintahan negara. 
 
Perlembagaan Persekutuan juga berperanan menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Perlembagaan menentukan hak asasi rakyat seperti kebebasan bercakap, kebebasan beragama dan pemilikan harta. Perlembagaan dapat mengelakkan penyalahgunaan kuasa pemerintahan. 
 
Namun, rakyat perlu memahami setiap hak yang termaktud dalam Perlembagaan Persekutuan dalam erti kata yang sebenar dan bukannya berdasarkan kepada takrif sendiri. 
 
Isu yang sering menjadi polimik ialah berkaitan kebebesan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan (Perkara 10) serta kebebasan beragama (Perkara 11). Rakyat perlu memahami erti sebenar hak-hak itu dan bukannya melihat secara mendatar saja. 
 
Perlembagaan juga sebagai menentukan tanggungjawab rakyat dan batasan atau larangan seperti hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak yang tidak boleh dipersoalkan. Hal ini adalah penting untuk mengelakkan persengketaan kaum. 
 
Kepentingan lain Perlembagaan Persekutuan ialah untuk memudahkan perpaduan nasional dan pembangunan negara. Perlembagaan melindungi kepentingan semua kaum. 
 
Perlembagaan juga menjamin keadilan sosial antara kaum. Hal ini dapat memupuk perpaduan nasional dan mempertingkatkan pembangunan negara. 
 
Selagi mana rakyat berpegang kepada roh Perlembagaan Persekutuan, maka kehidupan rakyat akan terjamin dalam semua hal. 
 
Secara tuntasnya kepentingan perlembagaan menjadi kemudi menentukan haluan negara. Tanpa kemudi, haluan tidak dapat ditentukan dan sukar untuk menuju arah yang ditetapkan. 

No comments:

Post a Comment