Friday 22 January 2021

KEBAIKAN MAKAN NASI DENGAN KICAP

Makan nasi hanya dengan kicap dianggap satu keadaan terdesak kerana tidak mampu membeli lauk. Ia dianggap kisah sedih yang pastinya mendapat perhatian masyarakat, tambah-tambah lagi jika telah tular di media sosial.

Kisah makan nasi hanya dengan kicap ini sebenarnya bukan pelik, terutama di kalangan kanak-kanak. Mereka masih tidak tertarik dan berminat dengan lauk dan sayur. Jadi, hidangan mereka hanya sekadar dengan kicap untuk menimbulkan rasa kepada nasi yang tawar.

Kicap adalah perasa makanan yang amat biasa digunakan untuk masakan di negara kita dan juga negara-negara di Asia. Asal-usul kicap ialah dari China dan telah pun digunakan sejak lebih daripada 2,500 tahun yang lalu.

Kicap adalah perasa serbaguna untuk pelbagai jenis makanan dan masakan. Kicap boleh menambahkan rasa pedas, rasa manis, rasa masin dan apa jua rasa mengikut kreativiti untuk makanan anda.

Satu hidangan 1 sudu teh kicap mempunyai 335 miligram natrium. Walaupun natrium merupakan mineral penting yang diperlukan untuk fungsi asas badan termasuk fungsi saraf yang mengawal tekanan darah anda, had yang disyorkan natrium untuk orang dewasa adalah 2,300 miligram sehari. Terlalu banyak natrium pula akan mengakibatkan kesan tekanan darah yang tinggi

Berbanding dengan garam, kicap mempunyai tahap kemasinan yang hampir sama dengan garam tetapi kandungan natriumnya jauh lebih rendah daripada jumlah natrium yang terdapat dalam garam.

Untuk golongan yang mengurangkan diet natrium/garam dalam makanan mereka bolehlah menggunakan kicap sebagai perisa kemasinan makanan dengan lebih selamat dan sihat.

Menggantikan kicap sebagai pengganti garam dalam makanan dapat mengurangkan jumlah kandungan natrium sehingga 50 peratus walaupun mempunyai tahap kemasinan yang sama.

Kicap mempunyai ciri-ciri antialahan atau antialergik. Dalam kajian, polisakarida dihasilkan semasa proses penapaian yang diperlukan untuk membuat kicap yang menunjukkan kebolehan antialahan yang kuat.

Dalam satu lagi kajian terhadap manusia, peserta yang mengambil kicap yang mempunyai alahan menunjukkan peningkatan tahap antialergik lebih daripada mereka yang mengambil plasebo (bahan antialergik). 

Para saintis membuat kesimpulan bahawa kicap mempunyai potensi besar dalam merawat sakit alahan, walaubagaimanapun kajian lebih lanjut diperlukan untuk membuktikan kenyataan ini.

Selain itu kicap adalah sumber antioksida. Kajian yang dijalankan pada kicap telah mendapati bahawa kicap adalah sangat tinggi dalam shoyuflavones, sejenis antioksidan semula jadi.

Antioksidan semula jadi melindungi badan daripada kerosakan akibat radikal bebas pada badan secara semula jadi. Radikal bebas boleh mempercepatkan proses penuaan, serta berpotensi meningkatkan risiko mendapat penyakit jantung atau kanser.

Antioksidan di dalam kicap membantu mengurangkan kesan-kesan keradangan, dan juga dapat menyelaraskan pengeluaran asid gastrik yang membantu proses penghadaman.

Selain itu, sifat-sifat antimikrob atau antikuman kicap telah didapati berkesan dalam melindungi tubuh daripada bakteria tertentu.

1 comment: