Sunday 15 November 2020

CITA RASA MAKAN RAKYAT MALAYSIA HEBAT

Sektor restoran atau kedai makan tidak menghadapi masalah mendapatkan pelanggan. Sebab itu, membuka kedai makan antara peluang perniagaan menguntungkan. Tidak kira awal bulan, tengah bulan mahupun hujung bulan, kedai makan sentiasa penuh dengan pelanggan.

Rakyat Malaysia memang pentingkan citarasa. Sanggup pergi ke tempat jauh semata-mata ingin pergi restoran yang menyajikan makanan pilihan.

Mereka sanggup menunggu lama untuk makan. Ada yang berbaris panjang semata-mata untuk membeli sebungkus makanan yang disukai. Masa menunggu tidak lagi menjadi halangan asalkan dapat menikmati menu pilihan.

Kalau dikenakan bayaran sampai beratus-ratus untuk satu keluarga itu telah dikira tidak 'mahal' demi menikmati hidangan disukai. Hebat kuasa dan pengaruh makanan dalam hidup rakyat Malaysia.

Bagi yang belum mengidap penyakit berbahya, makan apa sahaja pun tidak kisah. Namun, lain pula nasib mereka mengidap penyakit kronik yang perlu jaga atau mengawal jenis atau kadar makanan dimakan.

Pun begitu, disebabkan selera makan yang sukar dikawal kerana banyak jenis makanan yang sedap lagi enak, maka pantang larang dalam soal makan tidak dikisahkan lagi.

Apa yang penting, makan dulu. Kesan akibat makan itu dikira semula. Ada yang kata, ada ubat boleh dimakan untuk mengelak kesan buruk akibat tidak jaga makan itu.

Rakyat Malaysia menderita sakit kerana lebih makan. Berbanding rakyat di negara lain, mati kerana tidak makan. Tidak menjaga makan menjadi punca penyakit tidak berjangkit paling tinggi di Malaysia.

No comments:

Post a Comment