Sunday 29 July 2018

KEDUDUKAN MALAYSIA SEBAGAI NEGARA ISLAM

Adakah Malaysia sebuah negara Islam? Soalan tersebut sebenarnya bersifat semantik kerana jawapannya bergantung kepada definisi negara Islam itu sendiri.

Sebahagian ulama sudah melihat Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Tetapi ada sebahagian lain mengatakan tidak dan perlu melakukan lebih untuk menjadi sebuah negara Islam. Namun yang pasti, Malaysia bukan negara sekular.

Sekularisme adalah prinsip pemisahan institusi kerajaan dan orang yang diberi mandat untuk mewakili kerajaan daripada institusi-institusi agama dan pengamalan agama.

Dalam sebuah negara sekular, agama tidak dan tidak perlu memainkan peranan dalam pentadbiran negara. Dalam sebuah negara sekular sepatutnya tidak ada apa-apa keutamaan atau prasangka dilakukan terhadap mana-mana agama.

Adalah jelas Perlembagaan dan negara Malaysia bukan negara sekular dalam erti kata sekular itu sendiri. Negara sekular memisahkan agama daripada perundangan dan pentadbiran. Negara sekular meminggirkan agama dalam mengejar kemajuan.

Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan Islam adalah agama bagi Persekutuan. Islam juga jelas dinyatakan sebagai agama bagi semua negeri di Malaysia kecuali Sarawak.

Tidak ada perkataan ‘rasmi’ digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai agama. Malah perkataan sekular juga tidak ditemui di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perlu diingat, jika kita meneliti Laporan Suruhanjaya Reid kita akan memahami bahawa sekularisme telah ditolak ketika suruhanjaya tersebut merangka Perlembagaan Persekutuan.

Melihat Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, tidak ada susunan kata yang nyata yang menetapkan bahawa pengisytiharan Islam sebagai agama persekutuan tidak akan menghalang kerajaan daripada menjadi negara sekular.

Perkara 3 (1) berbunyi, Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Oleh yang demikian, pengiktirafan Perlembagaan kepada pelbagai entiti Islam dan badan-badan seperti mahkamah syariah dan pihak berkuasa agama Islam yang diberi kuasa-kuasa yang jelas untuk menjalankan hal ehwal umat Islam adalah sejajar dengan semangat kerangka asas Perlembagaan itu sendiri.

Malaysia tidak pernah memisahkan negeri dan agama. Malaysia telah membuat pilihan yang secara terang-terangan untuk Islam dengan mewujudkan dan mengiktiraf institusi agama yang mempunyai kuasa untuk mengawal selia perjalanan majoriti rakyat. Malaysia tidak pernah menjadi negara sekular dalam erti kata sebenar.

Maka, bukan Islam tidak perlu takut Malaysia akan menjadi negara Islam. Kita kekal kepada apa yang asal, bukan negara Islam dan bukan juga negara sekular.  Inilah uniknya Malaysia. 

Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dikekalkan dan agama lain boleh terus diamalkan. 

Islam itu menyeluruh memenuhi keperluan manusia. Islam diturunkan kepada manusia yang memerlukan panduan hidup. Islam adalah cara hidup yang bersandarkan kepada peraturan yang ditetapkan oleh Allah SWT sebagai pencipta. 

Islam tidak hanya pada satu amalan atau tindakan sahaja. Islam bukan hanya difahami melalui hudud semata-mata. Persoalan hudud atau undang-undang jenayah Islam hanya sebahagian kecil daripada keseluruhan wajah Islam yang menyeluruh.

Sesiapa yang melihat Islam sekadar hudud hanya akan menyempitkan pandangan orang terhadap Islam. Urusan kekeluarga, perniagaan, pendidikan, pemerintahan, pertahanan dan segala aktiviti kehidupan manusia ada garis panduan yang disediakan oleh Islam. 

Kita perlu melihat dan mengenali Islam secara menyeluruh. Jangan hanya terhad kepada hudud semata-mata. Kata seorang pemimpin, hudud hanya 0.0001 peratus daripada keseluruhan syariat Islam. 

Kalau kita tidak mampu melaksanakan yang 0.0001 peratus itu, tidak cacat iman kita. Apa yang penting jangan tolak atau menafikan itu hukum ditetapkan Allah. 

No comments:

Post a Comment