Menang jadi arang, kalah jadi abu. Maksudnya perbuatan yang mendatangkan keburukan kepada kedua-dua pihak biarpun ada pihak yang mendakwa menang atau lebih baik daripada pihak lain.
Perlagaan atau perkelahian sesama sendir tidak mendatangkan
faedah. Amalan laga mendatangkan kerosakan dalam
hubungan. Akibat perbuatan laga akan menyebabkan perpecahan, saling
benci, dendam, fitnah dan perbuatan keji lain.
Maka itu, jangan kita menjadi pencetus kepada laga
melaga. Ingatlah siksaan Allah SWT kepada mereka yang suka
melaga-lagakan orang lain.
Al-Quran sebagai rujukan utama tamadun Islam sarat pelbagai mesej
menyeru ke arah perpaduan dan kesatuan ummah. Sesungguhnya semangat bersatu padu
membentuk umat yang menjunjung dasar persaudaraan.
Allah berfirman
bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama
Islam) dan janganlah kamu bercerai berai, dan kenanglah nikmat Allah kepada
kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dulu), lalu Allah menyatukan
di antara kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka jadilah
kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara." (Surah
Ali-Imran, ayat 103)
Al-Quran juga
menunjukkan kesan buruk persengketaan supaya menjadi pengajaran yang tidak
wajar diulangi sama ada melalui bentuk penceritaan atau pernyataan umum.
Dalam sambungan ayat
itu, Allah berfirman bermaksud: "Dan janganlah kamu menjadi seperti orang
(Yahudi dan Nasrani) yang bercerai-berai dan berselisih (dalam agama mereka)
sesudah datang kepada mereka keterangan yang jelas nyata (yang dibawa nabi
Allah). Dan mereka yang bersifat sedemikian, akan beroleh azab seksa yang
besar." (Surah Ali-Imran, ayat 105)
Golongan berpuak dan
sering bersengketa diisyaratkan Allah sebagai mencontohi perbuatan golongan
musyrik. Ini disebut dalam firman-Nya bermaksud: "Hendaklah kamu (wahai
Muhammad dan pengikutmu) sentiasa rujuk kembali kepada Allah (dengan
mengerjakan amal bakti) serta bertakwalah kamu kepada-Nya, dan kerjakanlah
sembahyang dengan betul sempurna, dan janganlah kamu menjadi daripada mana-mana
golongan orang musyrik. Iaitu orang yang menjadikan fahaman agama mereka,
mereka berselisih mengikut kecenderungan masing-masing serta mereka pula menjadi
berpuak-puak, tiap-tiap puak bergembira dengan apa yang ada padanya (daripada
fahaman dan amalan yang terpesong itu)." (Surah ar-Rum, ayat 31-32)
Seperti ditegaskan pada
awal perbincangan, sesungguhnya kesatuan, kesepakatan dan perpaduan adalah
faktor kepada pembentukan umat terbaik. Pengiktirafan Allah bahawa umat Islam
adalah umat terbaik dijelaskan melalui firman-Nya bermaksud: "Kamu (wahai
umat Muhammad), adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat
manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang
daripada segala yang salah (buruk dan keji), serta kamu beriman kepada Allah
(dengan sebenar-benar iman)." (Surah Ali-Imran, ayat 110).
No comments:
Post a Comment