Saturday, 28 December 2024

MAJLIS KONVOKESYEN TIDAK JADI

 
Al-kisahnya, satu majlis konvokesyen yang sepatutnya diadakan di Dewan Jubli Perak, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam pada 28 Disember 2024 tidak menjadi kenyataan. Ibu bapa dan pelajar yang hadir pulang hampa.
 
Ibu bapa dan pelajar yang hadir adalah berdasarkan kepada surat bertarikh 14 Oktober 2024 yang ditujukan kepada 12 guru (12 pusat pendidikan pra) di satu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
 
Surat tersebut dalam bentuk PDF kemudiannya dimajukan pula kepada ibu bapa untuk makluman dan tindakan (hadir pada majlis tersebut bersama-sama anak masing-masing).
 
Malangnya, apabila hadir pada masa, tarikh dan tempat yang dinyatakan, majlis itu tidak wujud. Apabila ibu bapa menghubungi guru, maka dimaklumkan bahawa masa, tarikh dan tempat yang dinyatakan itu sebenarnya hanya cadangan dalam mesyuarat dan tidak diputuskan untuk diadakan.
 
Memanglah, majlis konvokesyen tersebut hanya peringkat sekolah pra yang tidak membawa apa-apa erti kepada persijilan pendidikan, namun cukup bererti bagi pelajar dan ibu bapa. Tambah lagi, mereka sudah dimaklumkan mengenai majlis tersebut dan telah hadir pada masa, tarikh dan tempat yang dinyatakan.
 
Kalau perkara itu belum diputuskan, mengapa surat mengenainya telah dikeluarkan. Kalau diketahui majlis tersebut tidak akan diadakan, buatlah pemakluman kepada ibu bapa tentang perkara sebenar.
 
Menariknya, majlis seumpama itu diadakan untuk salah satu daripada 12 sekolah pra itu pada tarikh yang sama dan dilangsungkan dengan meriah di satu tempat. Jadi, sebenarnya tidak timbul tentang tetamu kehormat tidak dapat hadir.
 
Inilah yang dikatakan kegagalan tatakelola atau tataurus sekolah-sekolah pra berkenaan.
 
Untuk menggantikan majlis konvokesyen yang tidak jadi, maka untuk memujuk anak, kenalah ibu bapa bawa anaknya pergi mandi kolam.
 
Begitulah al-kisahnya.



No comments:

Post a Comment