Kelebihan Ramadan tiada
tandingan berbanding bulan lain. Ramadan dipanggil penghulu bulan yang
membawa seribu rahmat dan keberkatan kepada sesiapa merebutnya. Ketibaan
Ramadan, sentiasa dinantikan setiap orang beriman.
Sabda Rasulullah bermaksud:
“Dikunjungi bulan Ramadan, penghulu segala bulan, ucaplah selamat datang atas
ketibaan bulan ibadat yang penuh berkat dan rahmat, maka layanlah tetamu yang
sedang datang itu.” - (Hadis riwayat Thabrani).
Orang beriman menjdikan Ramadan
sebagai masa terbaik untuk meningkatkan kekuatan iman dan menyucikan diri
daripada dosa. Sebab itu, ketibaan Ramadan disambut dengan perasaan gembira dan
bersyukur dapat menunaikan ibadat puasa sekali lagi.
Puasa Ramadan adalah sebahagian
daripada tonggak kekuatan keislaman seseorang. Sesiapa berpuasa menandakan
kekuatan iman dan ketakwaan yang lahir daripada keikhlasan mengabdikan diri
kepada Allah.
Keistimewaan ibadat puasa di
sisi Allah dalam menilai ketakwaan hamba-Nya dijelaskab dalam sebuah hadis
qudsi yang bermaksud: "Allah berfirman: “Setiap amalan baik anak Adam
adalah untuk dirinya melainkan puasa, ia adalah untuk-Ku dan Akulah yang
membalasnya.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Uniknya ibadat puasa ialah ia
tidak mempunyai bentuk perlakuan yang boleh dijadikan bukti dilakukan atau
tidak. Sebab itu kita tidak dapat menentukan seseorang itu sedang
berpuasa. Bagaimanapun dapat ditentukan orang tidak berpuasa jika dilihat
dia melakukan perbuatan membatalkan puasa.
Ibadat menjadi benteng kekuatan
iman. Nafsu sentiasa ingin bebas, sedangkan puasa mengekang nafsu daripada
melakukan amalan yang biasa dilakukan pada bulan-bulan lain.
Sesiapa lemah iman dan tidak
tahan melawan kehendak nafsu akan menyambut Ramadan dengan perasaan
dukacita. Golongan ini sekadar Islam pada nama. Mereka menanggap
Ramadan bulan menghalang kebebasan dan menyiksakan.
Perintah berpuasa Ramadan
diturunkan pada tahun kedua Hijrah. Firman Allah di dalam surah
al-Baqarah ayat 183 bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Diwajibkan ke
atas kamu berpuasa sebagaimana ia diwajibkan ke atas orang yang terdahulu
daripada kamu supaya kamu bertakwa.”
Berdasarkan kepada maksud ayat
itu, ibadat puasa turut dilakukan umat nabi-nabi terdahulu. Apa yang
berbeza hanya dari segi bilangan hari dan ‘menahan’ diri berkaitan hal
tertentu.
Contohnya, pengikut Nabi
berpuasa daripada makan daging, ikan, telur dan susu. Manakala itu, Nabi
Musa ketika bermunajat di Bukit Tursina selama 40 hari 40 malam berpuasa dengan
meninggalkan memakan roti dan meminum air.
Namun, perkara pokok yang
tersirat di sebalik ibadat puasa ialah kepatuhan kepada perintah Allah. Puasa
juga tanda bersyukur dengan nikmat yang telah dikurniakn Allah.
Sepanjang 11 bulan kita telah
menikmati kebebasan (yang tidak bertentangan dengan syariat), maka sebulan
Ramadan haruslah menahan diri bagi mengenang betapa selama ini kita telah
merasai nikmat tanpa sekatan.
Penganut beberapa agama lain
juga berpuasa mengikut cara masing-masing. Hal ini membuktikan kekuatan
amalan puasa dalam membentuk penganut yang berpegang teguh kepada ajaran agama.
Dipercayai penganut agama lain
yang turut berpuasa sebenarnya telah mewarisi amalan puasa para nabi
terdahulu. Tetapi, di kalangan pengikut agama itu telah menukar beberapa
amalan berpuasa mengikut sesuka hati.
Ibadat puasa yang berkonsepkan
‘menahan diri’ menjadi latihan berkesan sebagai benteng menahan diri daripada
melakukan perbuatan dosa. Institusi puasa yang dilakukan atas dasar
keikhlasan adalah kem latihan yang melahirkan insan takwa.
Sesiapa berpuasa, tetapi masih
tidak meninggalkan perbuatan sia-sia, sama ada sepanjang melaksanakan ibadat
puasa dan selepas itu, boleh dianggap telah gagal melaksanakan ibadat puasa
mengikut maksud sebenarnya.
Puasa yang tidak menepati
konsep menahan diri daripada perbuatan buruk tidak mendapat balasan
pahala. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Berapa ramai orang berpuasa,
tetapi tidak diperolehi apa-apa kebaikan, kecuali hanyalah rasa lapar dan
dahaga.” – (Hadis riwayat Nasai dan Ibnu Majah).
Antara punca kegagalan mencapai
tingkatan puasa terbaik ialah melakukannya secara tidak ikhlas. Aspek
keikhlasan amat teruji dalam ibadat puasa. Tanpa keikhlasan akan
menyebabkan puasa yang dilakukan tidak bersungguh-sungguh.
No comments:
Post a Comment