Friday, 30 July 2021

DAKWAH SECARA BIJAKSANA

  
Urusan dakwah dianggap sebagai kerja kebaikan kerana ia membabitkan usaha mengembangkan agama Allah SWT. 
 
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan apakah yang lebih baik dari seseorang yang menyeru kepada jalan Allah dan mengatakan bahawa aku adalah daripada kalangan Muslimin.” (Surah an-Nahl, ayat 33) 
 
Ulama tafsir berpendapat ayat yang turun di Makkah ini menyentuh tugas Nabi SAW yang besar dalam menerangkan kebenaran tauhid melalui hujah dan keterangan daripada Allah SWT. Kerja dakwah mewakili tugas nabi dan rasul secara langsung. 
 
Kita dididik untuk berpegang kepada prinsip yang benar dalam apa keadaan sekalipun, sama ada suka atau derita. 
 
Kita memerlukan prinsip untuk memandu kita kerana agama Islam penuh prinsip khususnya dalam memahami hubungan Islam dengan masyarakat yang lain. 
 
Antara prinsip diketengahkan agama Islam ialah sebagai rahmat untuk seluruh alam. 
 
Prinsip ini diambil daripada kenyataan al-Quran yang bermaksud: “Tidak kami utuskan dikau wahai Muhammad melainkan untuk membawa rahmat kepada semesta alam.” (Surah al-Anbiya’, ayat 107). 
 
Menunjukkan segala tindakan atau peraturan mestilah tidak bercanggah dengan sifat rahmat yang diasaskan Islam. 
 
Maka, bagi pihak berkuasa yang bertindak atas nama Islam, prinsip ini hendaklah diutamakan kerana ada kala tindakan umat Islam tidak mencerminkan makna rahmat itu sendiri. 
 
Berlembut dan bersantun pelihara hak Allah. 
 
Rahmat bagi hubungan sesama manusia membawa maksud berlembut dan bersantun dalam memelihara hak Allah SWT kepada sesama manusia. 
 
Hak Allah SWT ke atas hambanya tidak pernah mengukur kepada aspek keturunan, pangkat, kedudukan dan agama. 
 
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Rabb-mu Dialah yang lebih mengetahui siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang yang mendapat petunjuk.” (Surah an-Nahl, ayat 125) 
 
Baginda Nabi SAW menunjukkan contoh kepada kita, seorang Muslim hanya bertanggungjawab menyampaikan kebenaran, tetapi tidak boleh mengecam golongan kafir yang tidak bersedia untuk beriman. 
 
Perbuatan balas-membalas kecaman tidak dibenarkan Islam kerana balas membalas kecaman hanya akan mengheret pihak lain ke dalam kancah permusuhan. 
 
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Jangan kamu memaki hamun tuhan mereka yang menyeru selain daripada Allah, kelak mereka akan balas memaki Allah dengan permusuhan dan mereka tidak ada pengetahuan mengenai-Nya (Allah).” (Surah al-An'am, ayat 108).

Friday, 23 July 2021

CARA MUDAH MEMBUAT CARIAN HADIS DI INTERNET

Penganut Islam memerlukan hadis untuk rujukan dan panduan hidup. Antara kitab rujukan terkenal ialah Sahih Muslim dan Sahih Bukhari yang dijilid dalam bentuk lengkap sepenuhnya.

Bagaimanapun tidak semua orang berpeluang memiliki kitab Sahih Muslim dan Sahih Bukhari. Sebaliknya banyak yang merujuk kitab hadis berdasarkan kepada bab-bab tertentu saja yang disalin semula atau dijadikan sebahagian daripada sesebuah makalah, naskah atau rencana.

Kaedah tradisi mencari hadis ialah menggunakan kitab hadis atau buku-buku agama. Selain itu, banyak orang belajar hadis dengan berguru, kemudian mencatat sendiri hadis itu untuk rujukan atau kegunaan masa depan.  

Namun, keadaan sekarang sudah banyak berubah selari dengan perubahan taknologi moden. Paling ketara perubahan yang berlaku dalam dekad ini ialah penggunaan internet atau hubungan dunia maya dan perisian.

Mereka yang ingin mencari sesuatu maklumat hanya perlu melayari internet dan mengikut prosudur yang amat ringkas untuk mendapat apa yang diingini. 

Kaedah melayari internet juga kini dimanfaatkan oleh mereka yang ingin mencari sesuatu hadis. 

Cara ini semakin meluas dan telah diterima oleh semua golongan, terutama mereka yang dikategorikan sebagai celik komputer. Kaedah ini diterima secara global dan menjadi satu transformasi dalam penyebaran maklumat atau ilmu.

Penggunaan interaksi alam maya juga telah digunakan sebagai satu pendekatan dakwah. Justeru itu, kemasukan atau entri hadith-hadith juga berlaku secara meluas dalam rangkaian internet. 

Kedua-dua sifat internet serta perisian dan kitab memang diakui amat jauh berbeza. Maka itu, ia memperlihatkan cara atau kaedah yang amat berbeza cara untuk memperolehnya. 

Di sini diturunkan beberapa perbezaan yang ketara di antara kedua-dua kaedah ini.

Perlu ada sambungan internet untuk mendapat data dari pusat simpanan data. Pengunaan internet memerlukan capaian atau sambungan internet. Perkhidmatan ini disediakan oleh syarikat pengendali. Ia dalam bentuk medium wayar dan tanpa wayar. Di negara kita perkembangan perkhidmatan internet berkembang dengan kadar amat cepat.

Pusat simpanan data ini boleh diumpamakan dengan perpustakaan atau tempat simpanan kitab-kitab. Jika kita ingin mencari hadis melalui kitab, kita perlu ada perpustakaan atau tempat kitab disimpan. Tempat simpanan kitab di rumah, tidak kira di mana, termasuk di atas meja, boleh diumpamakan sebagai tempat menyimpan kitab. 

Contoh tempat 'menyimpan' hadis di gerbang maya ialah islam.gov.my/hadith/hadith.asp. Di situ tersimpan banyak hadis yang diselia oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).    

Dengan kata lain, perbezaan mencari hadis melalui internet memerlukan kita mendapat sambungan kepada pusat menyimpan data.

Sedangkan kaedah pencarian kitab memerlukan kita dapat 'sampai' di tempat kitab-kitab itu disimpan. Contoh umum tempat menyimpan kitab ialah di perpustakaan.

Perlu memilik komputer atau gajet yang berkaitan dengan komunikasi.  Kebanyaknnya orang menggunakan komputer untuk mendapat sambungan internet menggunakan aplikasi yang disediakan. Bagaimanapun, sekarang ini terdapat gaget lain yang digunakan untuk tujuan mengekses internet, termasuklah telefon pintar. 

Peralatan ini boleh diumpamakan dengan kitab hadis itu sendiri. Maknanya, jika melalui internet perlu ada komputer, maka cara kitab mesti memiliki kitab yang berkenaan.

Ini bermakna perbezaan antara carian melalui internet dengan kitab ialah ialah 'fizikal' medium carian. Carian melalui internet menggunakan komputer, sedangkan carian melalui kitab tentulah melibatkan fizikal kitab hadis.  

Pencarian melalui perisian pula biasanya dalam bentuk CD, DVD ataupun medium simpanan memori lain. Bentuk-bentuk ini lebih mirip kepada kitab, tetapi dalam bentuk 'fizikal' lain.

Kemahiran menggunakan komputer atau gajet. Memandangkan ia bukan satu kaedah biasa, kemahiran penggunaan alat komunikasi itu amat perlu untuk memudahkan usaha pencarian hadith melalui internet. Pencarian melalui internet menggunaan komputer amat kompleks dan sukar dilakukan oleh mereka yang tidak mahir.

Jelas sekali, perbezaan amat ketara jika pencarian menggunakan kitab hadis. Pencarian menggunakan kitab hadis adalah secara manual memilih kitab-kitab dan juga kemahiran mencari tajuk dan bab-bab yang berkaitan dengan hadith yang ingin dicari. 

Secara manual atau tradisi ini memerlukan pencari mendapatkan kitab di perpustakaan dan membuat carian secara melihat tajuk atau membelek muka surat demi muka surat.

Dengan kata lain, tidak mungkin kita dapat menggunakan carian internet jika kita tidak tahu menggunanya. Contohnya, golongan tua yang buta komputer sudah pasti tidak dapat menggunakan kaedah ini. Pun begitu, ia bukan satu penghalang mutlak kerana banyak progaram yang mengajar penggunaan komputer. 

Memiliki aplikasi yang berkaitan. Untuk mendapat capaian internet perlu memiliki aplikasi atau sofwere yang berkaitan. Ini bagi membolehkan pencarian dilakukan.

Aplikasi adalah 'keupayaan' khusus komputer untuk melakukan tugasan tertentu. Contohnya, komputer yang tidak mempunyai aplikasi untuk 'membaca' DVD tidak dapat melakukan tugas itu, dan ini tentunya menyebabkan carian yang tersimpan dalam DVD itu tidak dapat diperoleh.  

Jika kaedah melalui internet memerlukan aplikasi khusus untuk mencari hadis, kaedah carian kitab juga memerlukan satu 'kemahiran' khusus. 

Kemahiran yang dimaksudkan ialah keupayaan mengenal pasti hadis-hadis yang ingin dicari. Ini kerana hadis-hadis yang dicari terdapat di kitab-kitab atau bab-bab khusus.  

Kemahiran mengenal pasti ini penting untuk mempercepatkan proses mencari dan mendapat apa yang dikehendaki. Contohnya, adalah sukar untuk kita mencari jangkaan di mana hadis itu terletak jika kita tidak memahami di bab mana perbincangan mengenai hadis itu.

Friday, 16 July 2021

KEDUDUKAN SULTAN SEBELUM KEDATANGAN BRITISH

 
Sejarah kesultanan dan raja Melayu telah wujud di Tanah Melayu sejak lama dulu. Empayar Kesultanan Melayu Melaka menjadi sejarah hebat bangsa Melayu sebelum dikalahkan kuasa dari Eropah iaitu Portugis pada tahun 1511.

Biarpun sejarah Kesultanan Melayu Melaka terkubur, namun tahta sultan dan raja masih utuh di negeri-negeri lain di Tanah Melayu. 
 
Sultan mempunyai kuasa mutlak terhadap seluruh jajahan takluknya dari segi kedudukan dan kuasa. Sultan mempunyai hak untuk menentukan apa yang difikirkan terbaik untuk diri baginda, kerabat, pembesar dan seluruh rakyat.

Kedudukan tersebut terhakis dan bertukar apabila campur tangan British di Negeri-negeri Melayu pada tahun 1874. Negeri-negeri Melayu satu demi satu terpaksa menerima kehadiran British sebagai penasihat. 
 
Biarpun kuasa Sultan masih wujud, namun agak terhad terutama sekali dalam kuasa ekonomi dan hubungan dengan pihak luar.

Kuasa dan kedudukan Sultan sebelum campur tangan Inggeris pada tahun 1874 menduduki heirarki tertinggi dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran negeri masing-masing.

Mengikut sistem pemerintahan dan pentadbiran tradisional, Sultan dibantu golongan pembesar dalam menjalan dan melicinkan jentera pentadbiran. Semua Sultan Melayu mempunyai peranan luas dalam politik, ekonomi dan sosial.

Ketua Kerajaan
Sultan berada pada kedudukan yang tertinggi dalam struktur pemerintahan dan pentadbiran negeri. Sultan bertindak sebagai ketua kerajaan. Sultan mempunyai kuasa mutlak dan hak Sultan tidak boleh dipersoal.

Rakyat termasuk pembesar tidak boleh membantah perintah Sultan kerana dianggap mengengkari perintah Tuhan. Perintah Sultan menjadi undang-undang. Oleh itu, perintah Sultan wajib dipatuhi walaupun bertentangan dengan hukum manusia dan hukum agama.

Sultan juga berkuasa menggubal undang-undang, menjatuhkan hukuman termasuk hukuman bunuh serta berhak mengampunkan pesalah yang tidak ada pada golongan pembesar.

Melantik Pembesar
Sultan berkuasa melantik sesiapa sahaja untuk memegang sebarang jawatan pembesar negeri. Baginda berhak melantik sesiapa sahaja untuk memegang jawatan Bendahara dan pembesar-pembesar yang lain.

Baginda juga berhak melantik penggantinya sendiri, iaitu dalam kalangan putera-putera baginda. Contohnya di Perak, sehingga tahun 1874, jawatan Bendahara dipegang oleh keluarga diraja. Jawatan Temenggong dijawat oleh pembesar daerah Kota Lama, Kuala Kangsar.

Dalam hal ini, Sultan yang melantik pembesar-pembesar daerah sahaja akan menerima sepucuk surat dan hadiah sebilah pedang sebagai lambang jawatannya. Di dalam surat tauliah itu dinyatakan nama daerah yang dikurniakan tetapi tidak ditentukan butir-butir sempadannya.

Biasanya pembesar dipilih secara turun temurun dalam kalangan keluarga pembesar berkenaan. Sultan hanya akan campur tangan memilih pembesar yang baru dari keturunan lain sekiranya keturunan pembesar tadi ketiadaan waris.

Ini menunjukkan pembesar hanya menjalankan peranannya di bawah kuasa raja. Apabila raja berkuasa melantik pembesar, baginda juga mempunyai hak untuk melucutkan jawatan mana-mana pembesar.

Menentukan Hubungan Diplomatik
Sultan lebih aktif dalam menjalin hubungan hal ehwal luar berbanding bertindak sebagai ketua perang. Perjanjian dengan kuasa-kuasa asing tidak sah jika tidak ditandatangani oleh sultan.

Ketua Pertahanan
Sultan menjadi ketua tentera bagi negeri masing-masing. Sekiranya berlaku peperangan, Sultan akan mengetuai angkatan tentera dan membuat keputusan bagi mempertahankan negara daripada serangan musuh atau menakluk negara lain. Baginda bertanggungjawab menjaga keamanan negara daripada ancaman luar.

Ekonomi
Sultan berkuasa mutlak ke atas sumber ekonomi. Sultan mengambil bahagian dalam perniagaan dan mendapat keuntungan yang lumayan.

Baginda berkuasa dalam soal perburuhan, hasil pertanian, perdagangan dan pemungut cukai. Sultan berperanan menyelaras sistem cukai dalam jajahan takluknya serta mempunyai hak mendapat hasil pungutan cukai negerinya.

Dari segi pertanian sultan berhak mengerahkan rakyat bertani. Baginda mewakilkan urusan itu kepada para pembesar negeri.

Sultan juga berkuasa melaksanakan sistem kerah. Melalui sistem ini rakyat dikerah melaksanakan sesuatu pekerjaan untuk Sultan tanpa dibayar upah dalam tempoh masa yang tertentu. Antara pekerjaan yang terlibat ialah membina istana, menjadi tentera, membina jalan, membina jambatan, membina benteng pertahanan, membersih sungai dan sebagainya.

Sosial
Kedudukan sultan sebagai lambang perpaduan diperkukuhkan dengan baginda diberi kekeramatan dan kuasa-kuasa sakti. Antaranya, baginda dikatakan berdarah putih, menggunakan lambang-lambang kebesaran seperti pakaian dan peralatan berwarna kuning, memiliki alat-alat muzik sendiri seperti nobat, nafiri, seruling dan terumpet. Alatan lain seperti kayu gamit, puan naga, taru, kemala, surat chiri, cop halilintar, ubor-ubor dan lain-lain.

Selain itu, terdapat juga senjata-senjata seperti pedang, tombak dan keris panjang serta penggunaan bahasa dalam atau bahasa istana yang dikhaskan untuk sultan dan kerabatnya. Semua hak-hak keistimewaan ini bertujuan untuk mengagung-agungkan seseorang sultan supaya rakyat taat setia kepada baginda. Sesiapa yang melanggar perintah sultan pula dikatakan akan mendapat tulah, seperti kemalangan dan kesengsaraan.


Ketua agama Islam dan Adat istiadat Melayu.
Sultan juga bertindak sebagai ketua agama Islam dan adat istiadat Melayu. Sultan dianggap sebagai khalifah Allah di bumi dan menjadi penaung kepada masyarakat Melayu. Sultan juga memainkan peranan penting untuk menyebarkan agama Islam di dalam negeri dan seluruh tanah jajahannya. Lantaran itulah istana memainkan peranan penting sebagai tempat penyebaran agama Islam di Tanah Melayu.

Wednesday, 14 July 2021

CARA BUAT SAMBAL BUAH KECUPU

 
Buah cupu bewarna hijau tua semasa mudanya, berubah menjadi hijau muda bila beransur tua, sehingga menjadi kekuningan seperti warna pinang masak apabila ianya masak. Rasa masam-masam manis menjadikan ramai terpikat kepada buah kecupu. 

Pokok cupu kini semakin kurang ditemui. Dahulu, pokok cupu banyak tubuh di sekitar kampung, termasuk di laman rumah. 

Buah cupu juga dipanggil buah kecupu, buah mencupu, buah cerapu, buah cekau, buah cupak dan beberapa nama lain. 

Buah cupu muda biasanya dijadikan bahan membuat sambal. Namanya sambal cupu. Untuk menyediakan sambal cupu cukup ringkas.

Buah cupu yang telah dibelah ditumbuk dengan ikan bakar atau ikan rebus dan kelapa parut menggunakan lesung batu. Masukkan juga sedikit garam dan cili padi.

Tumbuk sehingga lumat, terutama buah cupu muda yang kulitnya agak liat.

Tidak sesuai menggunakan pengisar. Kalau guna pengisar bahan akan lumat seluruhnya.

Pun begitu, jika tidak ada lesung batu, tidak salah untuk menggunakan pengisar. Tetapi, rasanya tidaklah asli.

Hidangan menu sambal buah cupu memang terkenal dimakan bersama dengan ulam dan nasi. Namun, disebabkan sukar mendapat buah cupu, ia semakin tidak dikenali golongan muda.

Jika sudah masak, buah cupu rasanya masam manis. Buah cupu mempunyai getah yang lekit, boleh melekatkan bibir atas dan bibir bawah kita, tetapi tidak sukar untuk dibuang.