Lebah mempunyai dua perut, yakni satu untuk
makanan dan satu lagi untuk menyimpan nektar. Nektar kemudian diubah menjadi madu.
Seekor lebah hidup kurang daripada 40 hari,
melawat sekurang-kurangnya 1,000 bunga, dan menghasilkan kurang daripada satu
sudu teh madu sepanjang hayatnya.
Tentang keistimewaan lebah ada disebut di
dalam al-Quran. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan Tuhanmu memberi
ilham kepada lebah: "Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang
dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh
manusia." (Surah an-Nahl, ayat 68)
Seterusnya firman Allah yang bermaksud: “Kemudian
makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai),
serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya
kepadamu". (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu)
yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari
berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang
membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.” (Surah an-Nahl,
ayat 69)
Sesungguhnya, Allah SWT menjadikan lebah untuk
dijadikan iktibar atau pengajaran kepada manusia. Biarpun hidupnya hanya 40
hari, namun dalam masa tersebut lebah melakukan tugas yang amat “sempurna”
menurut perintah Allah dan memberi manfaat kepada manusia.
Sepanjang melaksanakan tugas mencari
nektar, tidak pula lebah merosakkan bunga, malah menolong membantu proses
pendebungaan. Tanpa kehadiran lebah, proses pendebungan tidak berlaku dengan
baik dan akibatnya hasil makanan untuk manusia dan hidupan lain juga akan terganggu.
Sebaliknya ada manusia yang hidup puluhan
tahun, namun sepanjang masa melakukan perbuatan kufur dan ingkar kepada
perintah Allah SWT serta melakukan pelbagai perbuatan yang mendatangkan kepada
manusia lain dan hidupan lain.
No comments:
Post a Comment