Friday 19 February 2021

CARA TANAM POKOK SACHA INCHI

 
Pokok sacha inchi kini semakin banyak ditanam di Malaysia. Permintaan terhadap minyak sacha inchi yang kaya khaisat melebihi penawaran atau yang mampu disediakan oleh petani atau pengusaha tanaman sacha inchi. 
 
Tanaman sacha inchi memberi pulangan pendapatan yang lumayan kepada mereka mengusahakannya. Sebab itu, petani dan individu berminat disarankan menanam pokok sacha inchi. 
 
Penanaman pokok ini menggunakan biji benih yang diambil dari pokok yang telah matang. Biji benih perlu direndam dalam air yang bersih dan seterusnya disemai di atas tapak semaian pada suhu 25-30 celcius. 
 
Percambahan kebiasaannya mengambil masa selama 14 hari dan setelah itu ia boleh dialih ke kebun. Di samping itu, terdapat kaedah lain dengan menanam biji benih terus ke ladang tanpa direndam dalam air, namun ia akan menyebabkan percambahan menjadi tidak sekata. 
 
Antara kelebihan pokok sacha inchi ialah ia mudah dijaga kerana kurang serangan serangga perosak dan cepat berbuah. 
 
Pokok akan  akan mula mengeluarkan buah selepas 10 bulan dan akan bertahan sehingga 30 tahun.  Kerja mula memang agak berat tetapi hanya pada tahun pertama sahaja, selepas itu hasil boleh dipungut sehingga 29 tahun berikutnya. 
 
Pokok sacha inchi mempunyai ketinggian kira-kira 2-3 meter. Ia tumbuh secara menjalar atau memanjat dengan sokongan kayu atau para setinggi 3-4 meter. 
 
Memandangkan tempoh hayat pokok sacha inchi sehingga 30 tahun, batang atau para yang dibina perlu daripada jenis yang tahan lama. Ada petani yang membuat tiang menggunakan batang konkrit dan palang dari kayu berukuran 3in x 2in yang kuat dan tahan lama. 
 
Sepohon pokok sacha inchi boleh menghasilkan 1 kilogram buah kering sebulan. Satu ekar tanah boleh ditanam dengan 450 pokok sacha inchi. 
 
Harga sacha inchi sekilogram di antara RM10 hingga RM30 bergantung kepada kualiti serta permintaan dan penawaran semasa. Dengan kata lain, pendapatan petani mengusahakan satu ekar sacha inchi antara RM4500 hingga RM13000 sebulan. Satu angka yang cukup lumayan. 
 
Usaha gigih tanpa hasil hanya pada tahun pertama sahaja, sedangkan tahun-tahun seterusnya sehingga 29 tahun berikutnya menuai hasil lumayan.

1 comment: