Penyu belimbing. Merupakan spesies penyu laut terbesar di
dunia dan mempunyai ciri fizikal yang berbeza daripada kebanyakan spesies penyu
lain.
Berbanding habitat jenis penyu agar atau penyu sisik yang
mempunyai tempurung keras, penyu belimbing mempunyai karapas yang lebih lembut
dan bertekstur seperti kulit.
Saiznya juga mampu mencapai lebih dua meter panjang dan
beratnya boleh mencecah ratusan kilogram.
Pesisir pantai di Terengganu penah menjadi destinasi penyu
belimbing untuk datang bertelur. Bagaimanapun, kekerapan dan bilangannya
semakin berkurang. Kalau ada penyu belimbing mendarat untuk bertelur di pantai
Terengganu, ia sudah boleh dianggap sebagai "luar biasa".
Pada 1 September 2026, selepas kali terakhir direkod pada
2017, penyu belimbing atau leatherback turtle kembali mendarat di persisiran
Pantai Marang, Terengganu.
Kemunculan spesies yang turut digelar 'raja penyu' itu
dianggap sebagai perkembangan penting dalam usaha pemuliharaan penyu di negeri
berkenaan.
Penemuan tersebut dilaporkan kakitangan Pejabatan Perikanan
Negeri Terengganu selepas mengesan jejak merangkak bersaiz besar di
persisiran Pantai Marang.
Jejak tersebut dianggarkan mempunyai lebar kira-kira 2.1
meter, sekali gus memberi petunjuk ia berkemungkinan ditinggalkan oleh
penyu belimbing betina yang naik ke pantai untuk bertelur.
Lebih menarik, pemeriksaan lanjut turut menemukan sarang
yang mengandungi telur penyu itu dengan ukuran kira-kira 52 millimeter
diameter.
Sebanyak 44 biji telur kemudian berjaya dialihkan untuk
tujuan pemuliharaan ke pusat penetasan (hatchery) di Rantau Abang dan
dijangka menetas dalam tempoh kira-kira tujuh hingga sembilan minggu.
Kepulangan spesies itu ke pantai Terengganu selepas sembilan
tahun memberikan gambaran masih terdapat kawasan persisiran pantai di
Malaysia yang sesuai untuk habitat berkenaan mendarat dan bertelur.
Gambar - Jabatan Perikanan Negeri Terengganu

No comments:
Post a Comment