Wajah asal ikan emas. Rupa ikan emas (goldfish) banyak bentuk
dan warna. Setiap satunya mempunyai perbezaan yang ketara. Itulah ciri
menyebabkan ikan itu menarik dan menjadi pilihan dijadikan ikan hiasan.
Sebenarnya, ikan emas (nama saintifiknya Carassius auratus)
asal bukan sedemikian. Ikan emas dijual di kedai ikan hiasan itu telah melalui
proses yang panjang dari satu generasi ke generasi seterusnya.
Taburan asal ikan emas adalah di China, khususnya kawasan selatan China dan
lembangan Sungai Yangtze. Ikan emas asal yang hidup liar lebih menyerupai ikan
Crucian Carp (Carassius carassius), dengan tubuh memanjang, ekor jelas
bercabang, dan warnanya kelabu atau keperakan.
Pemeliharaan dan pemilihan ikan emas yang pelbagai rupa dipercayai telah
bermula sekurang-kurangnya sekitar zaman Dinasti Tang, lebih dari 1000 tahun
lalu.
Mutasi warna merah dan keemasan yang muncul secara semula jadi
dalam populasi ikan emas kemudiannya dipilih oleh manusia untuk dibiakkan. Pada
zaman Dinasti Song, amalan pembiakan begini semakin berkembang dan ikan emas yang
berwarna menarik mula dipelihara secara khusus sebagai ikan hiasan.
Selepas beratus-ratus tahun pembiakan secara terpilih dibuat, perubahan
penampilan yang asalnya sedikit akhirnya menghasilkan pelbagai bentuk yang
sangat berbeza daripada ikan emas liar.
Sirip telah menjadi lebih panjang, ekor berkembang menjadi
ekor berkembar, badan pula menjadi lebih pendek dan bulat. Ciri seperti mata
teleskop, kepala yang berisi seperti varian Oranda atau Ranchu, juga terhasil
melalui pemilihan baka yang berterusan.
Proses ini menjadikan ikan emas antara ikan domestik yang mempunyai
kepelbagaian bentuk badan yang paling ekstrem di dunia, atau dalam erti kata
lain sebenarnya mereka sudah menjadi cacat kekal.
Akibat dari kecacatan yang dialami demi menjadikan ikan emas sebagai ikan
hiasan yang unik dan cantik. Sifat dan keupayan ikan emas asal telah hilang.
Ikan emas hiasan tidak boleh lagi berenang pantas. Selain
itu, mereka juga sudah menjadi lebih sensitif terhadap serangan penyakit atau
perubahan parameter air, daya ketahanan mereka lebih lemah, kadangkala mudah
mengalami kegagalan atau kerosakan organ dalaman juga.
Ikan emas asal masih wujud di China. Ikan yang asalnya bersaiz sederhana dan
berwarna kelabu itu akhirnya menjadi nenek moyang kepada pelbagai bentuk ikan
emas hiasan yang kini banyak menghiasi akuarium di seluruh dunia.
Diolah daripada tulisan asal Jejak Air Tawar

No comments:
Post a Comment