Friday 8 December 2023

JDT SAPU BERSIH EMPAT TROFI

 
Pasukan Johor Darul Takzim (JDT) mencipta sejarah tersendiri apabila muncul pasukan pertama meraih dua kali menyapu bersih empat trofi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) selepas menjulang Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, apabila menewaskan Terengganu FC (TFC) 3-1 pada aksi final Piala Malaysia. .
 
Kemenangan itu sekali gus menyaksikan Harimau Selatan berjaya mengekalkan semua trofi yang dimenangi mereka musim lalu termasuk Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia di bumi Johor.
 
Harimau Selatan hanya memerlukan enam minit untuk berada di hadapan apabila Bergson Da Silva menyempurnakan sepakan penalti selepas Azam Azmi Murad didakwa mengasari Fernando Forestieri.
 
Kelebihan itu bagaimanapun dipadam penyerang import TFC, Ivan Mamut juga menerusi sepakan penalti pada minit ke-21 apabila dia dijatuhkan kapten JDT, Jordi Amat.
 
Kemasukan Feroz Baharudin menggantikan Shane Lowry memberi keceriaan kepada buat kem Harimau Selatan pada minit ke-73 selepas menanduk masuk bola sepak penjuru Heberty Fernandes untuk kembali meletakkan juara tiga kali Piala Malaysia itu di hadapan.
 
Arif Aiman Hanapi kemudian melengkapkan malam gemilang JDT apabila meledak gol ketiga menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan selepas dia dijatuhkan Shahrul Nizam Ros Hasni.
 
Untuk rekod, ia kejuaraan Piala Malaysia kali keempat dimenangi Harimau Selatan selepas musim 2017, 2019, 2022.

No comments:

Post a Comment