Dalam catatan sejarah Islam disebutkan, sewaktu
Umar Bin Abdul Aziz diangkat menjadi Khalifah Bani Umayyah, pada hari Jumaat 10
Safar tahun 99 Hijrah, menggantikan khalifah Sulaiman Bin Abdul Malik ketika
berumur 37 tahun, beliau menangis.
Dia memasukkan kepala ke dalam dua lututnya dan menangis sambil mengucapkan
kalimah “Innaa lillaahi wa innaa ilaihi rojiuun”, sambil berkata:
“Demi Allah, sungguh aku tidak meminta urusan ini sedikitpun, baik dengan
sembunyi-sembunyi maupun dengan terang-terangan”.
Melihat keadaannya, beberapa penyair datang
untuk menghiburnya, tetapi Khalifah Umar menolak dengan baik. Sikap Khalifah
Umar itu turut mendapat perhatian anaknya. Walaupun dia berusaha mencari
penyebabnya, namun anak Umar gagal mendapat jawaban.
Hal yang sama dilakukan isterinya, Fatimah
seraya berkata kepada suaminya: “Wahai suamiku, mengapa engkau menangis seperti
itu?" Umar pun menjawab. “Sesungguhnya aku telah diangkat menjadi khalifah
untuk memimpin urusan umat Nabi Muhammad SAW”.
Kepada isteri dan anaknya, Umar berkata,
“Aku termenung dan terpaku memikirkan nasib para fakir miskin yang sedang
kelaparan dan tidak mendapat perhatian dari pemimpinnya. Aku juga memikirkan
orang-orang sakit yang tidak mendapati ubat yang memadai.
"Hal yang sama terfikir olehku tentang orang-orang yang tidak mampu
membeli pakaian, orang-orang yang selama ini dizalimi dan tidak ada yang
membela, mereka yang mempunyai keluarga yang ramai dan hanya memiliki sedikit
harta, orang-orang tua yang tidak berdaya, orang-orang yang menderita di
pelosok negeri ini, dan lain sebagainya”.
Umar melanjutkan kesedihannya, “Aku sedar
dan memahami sepenuh hati, bahawa Allah SWT pasti akan meminta
pertanggungjawaban dariku, sebab hal ini adalah amanah yang terpikul di
pundakku."
"Namun aku bimbang dan ragu, apakah aku mampu dan sanggup memberikan bukti
kepada Allah SWT, bahawa aku telah melaksanakan amanah itu dengan baik dan
benar sesuai dengan tuntunan Tuhanku. Atas dasar itulah, wahai isteri dan
anakku, sehingga aku menangis”.
Khalifah ini mengucapkan, “Innaa Lillahi wa
Innaa ilahi Raji’uun” ketika terpilih dan diangkat jadi khalifah, tetapi
pemimpin hari ini, malah bersyukur dengan pesta besar-besaran, seolah-oleh
tiada beban berat yang sedang menanti di atas kepalanya.
Semangat dan keghairahan merebut jawatan
dan kedudukan, tidak sebanding dan sejalan dengan apa yang dia lakukan, setelah
terpilih jadi pemimpin. Bahkan terlupa, bahawa jawatan dan kedudukan yang
diraih olehnya adalah amanah dunia yang akan dipertanggungjawabkan kelak kepada
Allah SWT di akhirat.
Khalifah Umar, selepas dilantik menjadi
khalifah, berusaha keras untuk membasmi kemiskinan, kebodohan dan kemunduran.
Rakyatnya yang kaya dan para pegawai pemerintahan bergegas membayar zakat dan
sedekah kepada fakir miskin.
Hasilnya, dalam tempoh masa dua setengah tahun kepemimpinannya, seseorang yang
kaya raya, merasa kesulitan mendapatkan orang yang berhak menerima zakat kerana
fakir miskin yang selama ini berhak menerima zakat telah berubah menjadi orang
yang berkewajiban membayar zakat. Hampir semua rakyatnya, hidup dalam
kesejahteraan.
Umar ketika namanya disebut-sebut menjadi
calon khalifah yang baru berkata. “Jangan sebut-sebut nama ku, katakan bahawa
aku tidak menyukainya. Dan jika tidak ada yang menyebut namanya, maka katakan,
jangan mengingatkan namaku,”.
Apabila nama Umar diumumkan di khalayak,
seluruh hadirin serentak menyatakan “setuju”, tetapi tidak dengan Umar. Dia
terkejut, seperti mendengar petir pada siang hari, mengucapkan: Inna lillahi wa
Inna ilaihi rajiuun, dan bukannya Alhamdulillah seperti kebanyakan para
pemimpin lain ketika menerima jawatan. Bagi Umar, takhta atau jawatan yang
diamanahkan adalah musibah, bukan kenikmatan.
Umar bukanlah jenis manusia yang
bercita-cita tinggi untuk menjadi pemimpin, apalagi untuk mengejarnya dan
menagih simpati serta menghasut orang lain agar menobatnya sebagai pemimpin
besar negara.
Di atas mimbar Umar berkata: “Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dibebani
dengan pekerjaan ini tanpa meminta pendapatku lebih dulu, dan bukan pula atas
permintaanku sendiri, juga tidak pula atas musyawarah kaum muslimin. Dan
sesungguhnya aku ini membebaskan saudara-saudara sekalian dari baiat di atas
kehendak saudara-saudara, maka pilihlah siapa yang kamu sukai untuk dirimu
sekalian dengan bebas!”
Ketika kebanyakan penjawat berpesta ria
saat kenaikan pangkat dan meraih kekuasaan, Umar mengalir air mata takut
dipersoalkan oleh Allah. Pada kala kebanyakan pemimpin bermegah-megahan saat
mendapat kedudukan, sebaliknya Umar hidup dalam kesederhanaan, wara dan zuhud.
Ketika kenderaan 'super' mewah diberi, Umar menolak, malah menjual semua
kenderaan itu dan hasilnya diserahkan ke Baitul Mal, termasuk semua alatan,
permadani dan tempat alas kaki yang biasanya disediakan untuk khalifah yang
baru.
Kesederhaan Umar dibuktikan ketika ia
melepas pakaiannya yang mahal dan menggantinya dengan pakaian kasar dengan
harga lapan dirham. Semua tanah perkebunan yang diwarisinya, juga dijual dan
wangnya diserahkan ke Baitul Mal.
Ketika isteri pemimpin umumnya memanfaatkan
kedudukan suaminya untuk hidup mewah, tetapi Umar menawarkan pilihan, antara
hidup bersama dirinya dengan melepas semua harta perhiasan permata, mutiara,
perabot rumah yang mahal harganya, atau berpisah. Namun, si isteri tetap
memilih hidup bersama suaminya yang dikasihi.
Gambar sekadar hiasan
No comments:
Post a Comment