Friday, 19 February 2021

CARA TANAM POKOK SACHA INCHI

 
Pokok sacha inchi kini semakin banyak ditanam di Malaysia. Permintaan terhadap minyak sacha inchi yang kaya khaisat melebihi penawaran atau yang mampu disediakan oleh petani atau pengusaha tanaman sacha inchi. 
 
Tanaman sacha inchi memberi pulangan pendapatan yang lumayan kepada mereka mengusahakannya. Sebab itu, petani dan individu berminat disarankan menanam pokok sacha inchi. 
 
Penanaman pokok ini menggunakan biji benih yang diambil dari pokok yang telah matang. Biji benih perlu direndam dalam air yang bersih dan seterusnya disemai di atas tapak semaian pada suhu 25-30 celcius. 
 
Percambahan kebiasaannya mengambil masa selama 14 hari dan setelah itu ia boleh dialih ke kebun. Di samping itu, terdapat kaedah lain dengan menanam biji benih terus ke ladang tanpa direndam dalam air, namun ia akan menyebabkan percambahan menjadi tidak sekata. 
 
Antara kelebihan pokok sacha inchi ialah ia mudah dijaga kerana kurang serangan serangga perosak dan cepat berbuah. 
 
Pokok akan  akan mula mengeluarkan buah selepas 10 bulan dan akan bertahan sehingga 30 tahun.  Kerja mula memang agak berat tetapi hanya pada tahun pertama sahaja, selepas itu hasil boleh dipungut sehingga 29 tahun berikutnya. 
 
Pokok sacha inchi mempunyai ketinggian kira-kira 2-3 meter. Ia tumbuh secara menjalar atau memanjat dengan sokongan kayu atau para setinggi 3-4 meter. 
 
Memandangkan tempoh hayat pokok sacha inchi sehingga 30 tahun, batang atau para yang dibina perlu daripada jenis yang tahan lama. Ada petani yang membuat tiang menggunakan batang konkrit dan palang dari kayu berukuran 3in x 2in yang kuat dan tahan lama. 
 
Sepohon pokok sacha inchi boleh menghasilkan 1 kilogram buah kering sebulan. Satu ekar tanah boleh ditanam dengan 450 pokok sacha inchi. 
 
Harga sacha inchi sekilogram di antara RM10 hingga RM30 bergantung kepada kualiti serta permintaan dan penawaran semasa. Dengan kata lain, pendapatan petani mengusahakan satu ekar sacha inchi antara RM4500 hingga RM13000 sebulan. Satu angka yang cukup lumayan. 
 
Usaha gigih tanpa hasil hanya pada tahun pertama sahaja, sedangkan tahun-tahun seterusnya sehingga 29 tahun berikutnya menuai hasil lumayan.

Sunday, 14 February 2021

KEBAIKAN KHASIAT BUAH TIN CEGAH BARAH PAYU DARA

 
Buah tin kaya khasiat dan patut dijadikan makanan pilihan. Buah tin boleh didapati dalam bentuk segar dan kering. 
 
Buah tin kering banyak dijual di negara kita, seperti juga kurma yang boleh dibeli sepanjang tahun. Isinya penuh dengan biji rangup, mempunyai rasa manis dan sedikit liat ketika dikunyah, menjadikan buah tin antara makanan popular di seluruh dunia. 
 
Antara kebaikan selalu makan buah tin ialah: 
 
- Membantu menurunkan tekanan darah tinggi. Buah tin kaya dengan potasium iaitu sejenis mineral yang membantu mengawal tekanan darah. Ramai dalam kalangan kita kurang mengambil buah atau sayuran secukupnya, sebaliknya lebih banyak makan makanan penuh kandungan garam hingga menyebabkan tekanan darah meningkat. Makanan yang kaya potasium seperti buah tin mampu memberikan kesan ketara kepada kesihatan diri sekiranya diamalkan secara konsisten dalam diet harian. 
 
- Menurunkan berat badan. Buah tin adalah sumber serat yang baik dan mampu membantu penghadaman selain memberi rasa kenyang berpanjangan, seterusnya mengawal berat badan. 
 
- Melindungi diri dari barah payu dara. Pengambilan serat yang tinggi mampu melindungi wanita yang sudah menopaus daripada barah payudara. Satu kajian membabitkan 51,823 wanita menopaus selama lapan tahun mendapati terdapat pengurangan risiko sehingga 34 peratus bagi kumpulan yang mengambil serat yang tinggi dalam diet mereka. 
 
- Membantu pesakit diabetes. Daun buah tin juga mempunyai peranan dalam menjaga kesihatan kerana ia memiliki bahan anti diabetik yang mampu mengawal jumlah insulin diperlukan bagi pesakit diabetes yang mengambil suntikan insulin. 
 
- Menjaga kesihatan kardiovaskular. Daun buah tin juga mengandungi bahan yang mampu menyingkirkan lemak dalam saluran darah serta melindungi diri dengan menghalang pertumbuhan sel barah. 
 
- Melindungi diri dari kemerosotan makular. Buah tin mampu melindungi penglihatan yang merosot disebabkan faktor usia semakin lanjut. 
 
- Mengelak masalah sembelit. Kandungan serat yang tinggi iaitu kira-kira lima gram serat bagi tiga biji buah tin membantu melancarkan fungsi usus, seterusnya mengelak sembelit. Bukan saja usus menjadi sihat, buah tin turut menyelesaikan masalah perut meragam dan juga cirit-birit. 
 
- Menghindari kanser kolon. Serat yang ada dalam buah tin merangsang penyingkiran radikal bebas dan bahan penyebab kanser dalam kolon. 
 
- Menguatkan tulang. Buah tin kaya dengan kalsium dan fosforus. Bukan saja menguatkan tulang dan mengurangkan risiko osteoporosis, ia juga menggalakkan pertumbuhan tulang dan memperbaiki bahagian tulang yang rosak.
 
- Melegakan sakit tekak. Lendir yang banyak di dalam buah tin memiliki sifat penyejuk dan mampu merawat sakit tekak serta melindungi tekak daripada masalah kesihatan. Malah, lendir itu adalah jus semula jadi yang melegakan kesakitan pada kerongkong dan peti suara.

Monday, 8 February 2021

BUAH DABAI RASA MASAM MANIS BERLEMAK

Buah dabai agak terkenal di kawasan tengah Sarawak seperti Song Kapit, Belaga, Pakan, Julau, Sarikei dan Sibu. Selain itu, ia juga ditemui di kawasan lain di Borneo.

Dikenali juga dengan nama Zaitun Sarawak atau dalam bahasa saintifiknya `Canarium Odonthopyllum’, buah sebesar ibu jari yang rasanya yang masam, manis dan berlemak ini sentiasa menjadi buruan penggemarnya. Warna kulitnya seakan-seakan buah anggur hitam.

Harga dabai yang sekitar RM10 hingga RM20 sekilogram mengikut kualiti, tetapi boleh mencecah RM40 sekilogram ketika bekalan buah itu kurang di pasaran. Malah ketika luar musim, buah dabai pernah dijual dengan harga RM95 sekilogram (pada Ogos 2022) di Pasar Sentral Sibu, Sarawak. Biarpun dianggap harga kayangan dan terlalu mahal, masih ada pembeli yang sanggup membelinya demi untuk menikmati buah yang cukup istimewa itu.

Pokok dabai atau dipanggil juga pokok engkalak tumbuh subur di kawasan berbukit yang bertanah lembap dan bebas ancaman air masin. Ia boleh membesar dengan ketinggian maksimum sembilan hingga 15 meter dan mempunyai banyak cabang.

Pokok ini juga tumbuh subur di kawasan lapang yang mempunyai pancaran matahari yang kuat dan boleh ditanam dengan biji benih.

Ia mudah dijaga berbanding tanaman lain. Sedikit perhatian perlu diberikan ketika proses penanaman di peringkat awal. Pohon yang masih muda agak sensitif dan mudah terdedah penyakit tanaman.

Hanya sedikit pokok didapati bermasalah, mungkin kerana benih tidak subur, serangan penyakit dan kedudukan pokok yang tidak strategik.

Dabai perlu dimakan dalam tempoh dua hingga tiga hari selepas dipetik. Buah ini akan mengeras, mengecut dan tidak boleh dimakan jika dibiarkan terlalu lama.

Pokok dabai ada jantina yang hanya dapat diketahui selepas ia berusia lima tahun. Pokok jantan mempunyai bunga yang lebih kecil dan jarang berbuah. Jika berbuah sekalipun, kebanyakan buahnya kecil. Namun bagi pokok betina pula, bunganya lebih banyak dan besar. Buahnya pula lebih lebat.

Rasa berlemak buah ini menyebabkan ia ada peminatnya yang tersendiri. Buah yang dipetik dari pokok perlu direndam dalam air suam sekitar 15 minit untuk tujuan melembutkan isinya sebelum dimakan. Setelah isinya lembut, buah ini kebiasaannya dimakan bersama gula atau kicap.

Ini adalah cara tradisional yang biasa dipraktikkan di kalangan penduduk Sabah dan Sarawak. Selain cara tradisional pemakanan buah ini, buah ini turut dikomersialkan kepada beberapa jenis produk seperti buah dabai beku, jus dabai, mayonis dabai, halwa dabai (dabai yang diawet), sos dabai dan bahan perasa seperti pes dabai.

Berat kulit buah ini adalah sekitar 7 peratus dari keseluruhan berat buah ini. Manakala, 70 peratus daripada berat buah ini adalah berat isinya. 

Buah ini mengandungi 22% kandungan lemak, 3% kandungan protein, 9% karbohidrat dan 15% kandungan fiber.

Komposisi lemak yang seimbang (kandungan asik lemak tepu sebanyak 47%, kandungan asid lemak tidak tepu sebanyak 40%) menyamai atau seakan-seakan kandungan lemak pada minyak kelapa sawit. Kedua-dua minyak dari buah dabai dan minyak kelapa sawit kaya dengan lemak asid palmitik.

Buah dabai mengandungi kandungan antioksidan yang tinggi, terutamanya di bahagian kulitnya. Warna ungu gelap kulit buah dabai ini menunjukkan satu kali ganda kandungan antioksidan lebih tinggi berbanding isinya. Kandungan antioksidan yang tinggi mampu melawan penyakit-penyakit dan risiko kanser.

Kajian terhadap minyak yang diekstrak dari buah dabai ini mendapati minyak ini mempunyai kesan pencegahan terhadap risiko penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung dan hiperkolestrolemik.

Kajian membuktikan jika kita mengamalkan pemakanan buah dabai mampu menyeimbangkan paras kolesterol dalam darah lantas mengurangkan risiko penyakit jantung.

Penyelidikan saintifik ke atas dabai mendapati, selain mengandungi sumber protein, tenaga dan mineral seperti potassium dan kalsium, buah ini juga kaya dengan kandungan antioksida yang berkhasiat untuk tubuh badan.

Buah dabai berpotensi dijadikan bahan utama dalam pengeluaran produk makanan serta kosmetik.


 

Tuesday, 2 February 2021

CARA BUAT DEKLARASI HARTA SEPENCARIAN

 
Harta sepencarian adalah pengertian yang mudah adalah harta bersama. Ia dimiliki oleh pasangan suami-isteri semasa tempoh perkahwinan mereka walaupun harta itu atas nama isteri atau nama suami atau nama kedua-duanya. 
 
Harta sepencarian selalunya merujuk kepada rumah kediaman dan sebarang harta yang bernilai tinggi. 
 
Suami atau isteri mempunyai hak ke atas harta yang dimiliki semasa tempoh perkahwinan kerana masing-masing ada sumbangan kewangan atau bukan kewangan ke atas harta bersama atau harta sepencarian itu. 
 
Sebagai contoh sebuah banglo walaupun ia di atas nama suami tetapi isteri ada hak. Isteri mungkin memberi wang pendahuluan membeli rumah, membuat ubahsuai rumah, membaiki kerosakan rumah. 
 
Sekiranya isteri tidak bekerja dan semua perbelanjaan rumah ditanggung oleh suami, isteri tetap ada hak ke atas harta bersama itu. 
 
Hak isteri ke atas harta adalah berasas kepada sumbangan bukan kewangan. Ini termasuk sumbangan melayani suami iaitu makan-minum, mencuci pakaian, mengembirakan suami selepas penat bekerja, mengemas dan menjaga rumah semasa suami bekerja dan membesar dan mendidik anak di rumah. 
 
Pemilikan harta sepencarian oleh isteri boleh diberi semasa pasangan suami-isteri sedang bahagia atau melalui proses mahkamah. 
 
Semasa pasangan sedang bahagia, suami boleh memberi sebahagian daipada harta itu kepada isterinya melalui Deklarasi Harta Sepencarian. 
 
Cara mudah memperoleh harta sepencarian ialah pasangan membuat Deklarasi atau Perjanjian Harta Sepencarian semasa pasangan masih bahagia. Pasangan dengan sukarela menyerahkan secara sukarela sebahagian harta kepada pasangan masing-masing. 
 
Sebagai contoh, suami bersetuju menyerahkan hakmilik rumah itu sebanyak 50% kepada isterinya melalui Deklarasi Harta Sepencarian. 
 
Sekiranya Deklarasi Harta Sepencarian tidak dibuat, maka pasangan ada pilihan membuat tuntutan harta sepencarian melalui proses mahkamah. 
 
Bagaimanapun, si penuntut (biasanya isteri) membuktikan wujudnya harta itu dan jumlah jumlah sumbangan (peratus) ke atas harta itu. Ini bagi membolehkan Mahkamah Syariah memutuskan hak harta sepencarian isteri tadi. 
 
Proses tuntutan melalui mahkamah bukannya cara mudah. Ia melibatkan kos melantik peguam dan bukti harta dan sumbangan isteri yang menuntut itu.