Thursday, 13 February 2020

CABARAN HIKING BUKIT PANAU NIKMATI PEMANDANGAN INDAH

Aktiviti hiking Bukit Panau yang tular di media sosial menggamit banyak orang untuk turut merasai kepuasan mendaki. Mereka yang tidak pernah hiking juga terpanggil mendaki Bukit Panau semata-mata disebabkan tular gambar dan kisah mengenai hiking di Bukit Panau.

Kemeriahan hiking Bukit Panau menjadi pilihan ramai kerana mampu dilakukan kebanyakan orang. Mendaki Bukit Panau tidak sukar sangat. Terdapat laluan bertar dan bersimen tersedia untuk digunakan pendaki sehingga ke puncak. Laluan itu telah lama tersedia sejak terbina menara komunikasi di puncak Bukit Panau.

Selain laluan bertar, kini sudah terdapat laluan denai yang dirintis untuk pilihan pendaki. Laluan denai lebih selesa kerana ada teduhan pokok, walaupun ada halangan seperti tanah licin dan akar pokok.

Pendakian ke puncak Bukit Panau mengambil masa antara 30 minit sehingga sejam mengikut kelajuan dan kemampuan fizikal pendaki.

Bukit Panau terletak di antara Pasir Mas dan Tanah Merah. Kedudukan Bukit Panau berhampiran jalan utama memudahkan ia dilihat dan dikunjungi. Apatah lagi ia bukit tunggal di kawasan itu. 

Bukit Panau yang berketinggian 255 meter dari aras laut itu sebenarnya terletak di dalam jajahan Pasir Mas. Namun, ramai orang menyangka bukit itu terletak di dalam jajahan Tanah Merah kerana berhampiran bukit itu terdapat sebuah kampung yang dikenali Kampung Bukit Panau yang sememangnya berada dalam jajahan Tanah Merah.

Sebut sahaja Bukit Panau, maka tergambar Tanah Marah. Malah, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Panau terletak dalam Parlimen Tanah Merah.  

Pemandangan dari puncak Bukit Panau amat menarik dengan berlatar belakang perkampungan sekitar Pasir Mas dan Tanah Merah, serta Kota Bharu dan mampu sampai ke Bachok dan Machang. Paling menarik ialah pemandangan Sungai Kelantan yang mengalir dari selatan ke utara, selari dengan Jalan Pasir Mas - Tanah Merah.

Mereka yang ingin mendaki Bukit Panau dinasihatkan bermula awal pagi kerana untuk mengelak panas matahari. Di puncak Bukit Panau dianggap bukit botak. Sedikit sahaja kawasan yang ada lindungan teduh pokok. Sebab itu, berada di puncak Bukit Panau membolehkan pengunjung melihat sekeliling dengan mudah tanpa terlindung penglihatan.

Kalau sebelum ini kaki Bukit Panau sunyi dan hanya beberapa kereta pendaki diletakkan di situ, kini ia sudah seperti ada pesta. Ratusan kereta dilatakkan di situ pada satu-satu masa.

Kemudahan tandas turut diadakan di kaki bukit atau tempat permulaan mendaki. Malah kini puluhan gerai peniaga didirikan di situ menjual pelbagai jenis makanan dan keperluan lain tidak ubah seperti pasar basah pagi.

Satu perkara diingatkan kepada pendaki ialah tolong jaga kebersihan. Sebarang bekas atau bungkusan yang dibawa, sila bawa balik atau dibuang di tempat yang disediakan. 

No comments:

Post a Comment