Friday 25 September 2020

SIKAP RAKUS PUNCA CEMAR ALAM SEKITAR

Bencana alam yang sering berlaku di negara kita dilaporkan mempunyai kaitan dengan sikap tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat yang tidak mengambil berat soal penjagaan alam sekitar. Kejadian tanah runtuh, banjir lumpur, banjir kilat, bekalan air tercemar, kebakaran hutan dan sebagainya banyak berpunca daripada manusia sendiri.

Perbuatan tidak bertanggungjawab itu berpunca sikap rakus mementingkan keuntungan dan kesenangan dengan mudah semata-mata tanpa memikirkan kesannya kepada kehidupan. 

Penebangan hutan tanpa kawalan, pembuangan sampah merata-rata, pembuangan sisa toksik dan sistem pembandaran tidak sistematik dilakukan berpunca sikap tidak menghargai kepentingan alam sekitar.

Islam amat menitik berat soal menjaga kebersihan alam sekitar demi keselamatan dan kepentingan manusia sendiri. Justeru Rasulullah memberi ingatan agar mengelak daripada melakukan sesuatu yang menyebabkan pencemaran. 

Muaz meriwayatkan sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Berhati-hatilah kamu akan tiga perkara yang dilaknati berkaitan membuang air besar iaitu di laluan air mengalir, di tengah jalan dan di tempat teduhan manusia.”

Rasulullah melarang membuang air besar di dalam air kerana air digunakan untuk pelbagai tujuan seperti air minuman, membasuh dan sebagainya. Najis tersebut akan mencemarkan air dan boleh menjadi pembawa penyakit. 

Air yang tercemar dikenalpasti di antara penyebab penyakit utama di seluruh dunia. Di seluruh dunia kira-kira 250 juta kes penyakit bawaan air berpunca daripada air yang tercemar. Penyakit taun yang mudah merebak antara lain berpunca daripada najis pesakit taun yang dibuang di dalam air (sungai) yang menjadi sumber air minum.

Dalam masyarakat sekarang memang jarang ada orang melakukan ketiga-tiga perbuatan tersebut. Namun, hadis tersebut boleh dikiaskan kepada perbuatan lain berkaitan pencemaran. Sesungguhnya apa jua jenis pencemaran adalah dilarang dilakukan. Dalam hadis tadi disebut perbuatan mencemarkan alam sekitr sebagai yang dilaknati.

Jelaslah perbuatan mencemarkan alam sekitar amat dilarang dalam Islam.  Sekarang didapati orang ramai mengambil mudah soal kebersihan sehingga dengan sewenang-wenangnya membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya. Mereka melakukan begitu kerana tidak mahu bersusah pergi ke tempat yang disediakan.

Perbuatan tersebut dilakukan bukan sahaja di kalangan mereka yang jahil agama, tetapi turut menjadi amalan ‘ustaz’ dan ‘pak haji’. Didapati ada pak haji sambil dalam perjalanan ke masjid mencampak bungkusan sampah di tempat yang jelas diletakkan tanda amaran ‘dilarang membuang sampah di sini’.

Perbuatan itu jelas menunjukkan dua keadaan bertentangan nilainya. Pergi sambahyang berjamaah ke masjid memang amat dituntut oleh agama kerana banyak kelebihan dan berlipat ganda pahalanya. Sebaliknya, membuang sampah di tempat yang dilarang merupakan perbuat yang dilaknat.  

No comments:

Post a Comment