Perkembangan
institusi pendidikan Islam perlu terus dikembangkan dan diperkasakan. Imejnya
perlu dipertingkatkan dan tidak lagi dipandang kelas kedua. Lulusan
institusi pendidik Islam perlu menceburi bidang teknokrat dan profesional yang
melambangkan kedudukan tinggi dalam haraki kerjaya.
Kita
ingin melihat lebih banyak mereka yang berkelulusan pengajian Islam mampu berada
pada tahap kepimpinan negara dan pembuat dasar. Kita tidak mahu lagi dasar
negara ditentukan oleh mereka yang tidak mempunyai pendidik Islam atau roh
islamiah.
Ulama
tidak lagi sekadar menjadi rujukan, tetapi ulama sendiri perlu berada dalam
kelompok pembuat dasar.
Semua
ini memerlukan transformasi kualiti lulusan institusi pendidikan Islam. Usaha
hebat dan menyeluruh ke arah itu perlu diusahakan. Tidak dinafikan bukan senang
untuk melaksanakan, tetapi yang penting usaha perlu digerakkan dulu.
Kita
tidak mahu hanya Islam pada Perlembagaan, tetapi yang diingini ialah Islam pada
perlaksanaan dan amalan hidup rakyat Malaysia.
Semua
ini memerlukan ilmuan Islam yang mempunyai kekuatan untuk membuktikan bahawa
Islam mampu dijadikan terus pemerintahan negara. Perkara ini perlu diusahakan
selagi kita ada kuasa dan peluang. Ingatlah, peluang ini tidak selamanya ada
jika tidak direbut sekarang.
Malaysia
mampu menjadi distinasi pendidikan tinggi dunia, termasuk dalam bidang Islam.
Memang sekarang ini lebih 100 ribu pelajar asing menuntut di Malaysia, namun
dalam jumlah yang amat kecil mengikut pengajian Islam. Apabila disebut
pengajian Islam, masyarakat dunia tertumpu kepada negara di Timur Tengah,
khususnya di Arab Saudi, Mesir dan Jordan.
Jika
dulu tidak ada pelajar asing di negara kita, kini telah sebaliknya berlaku.
Biarpun sekarang tumpuan pengajian bukan berkaitan Islam, suatu hari nanti kita
boleh jadikan Malaysia sebagai ganti kepada negara negara di Timur Tengah
menyediakan pendidikan tinggi Islam.
Semua
boleh berlaku jika dilakukan dengan iltizam dan kesungguhan yang berterusan.
Maka, itu amat penting kita memperkasakan institusi pendidikan Islam bukan saja
untuk rakyat Malaysia, bahkan masyarakat Islam seluruh dunia.
Yakin
dan percayalah, jika dilakukan dengan betul, Kuala Lumpur bakal bergelar
Baghdad yang pernah terkenal sebagai pusat pendidikan utama pada masa dulu.
Sahut
dan hadapilah cabaran. Jadikan jihad ilmu sebagai senjata paling ampuh untuk
kita memperkuatkan Islam dan mampu berdepan cabaran masa kini. Islam itu
indah. Melalui pendidikan dan lulusan pendidikan Islam yang berkualiti,
kita akan lebih dipandang mulia dan tinggi.
Kita
perlu meletakkan ilmu-ilmu Islam pada kedudukan terbaik. Tidak keterlaluan jika
pada suatu masa nanti, ada permintaan pelajar bukan Islam untuk mendalami
pengajian Islam pada peringkat pengajian tertinggi. Sekarang ini sudah banyak
pelajar bukan Islam mengambil mata pelajaran Islam di peringkat sekolah.
Menariknya, mereka mendapat keputusan cemerlang.
No comments:
Post a Comment