Thursday, 28 January 2021

CARA MENCAPAI KEKUATAN AGAMA BANGSA

Bermusuh sama sendiri punca umat Islam hilang kekuatan. Dalam mana-mana organisasi, kesepakatan dan kesepaduan di antara ahli adalah faktor utama untuk membina kekuatan menjayakan misi dan matlamat yang ditentukan.

Umat Islam perlu saling hormat menghormati dan elak daripada sengketa berpanjangan. Permulaan kepada kesepakatan dan kesepaduan adalah dari pemimpin. Pemimpin menjadi contoh kepada rakyat di peringkat bawah.

Pemimpin perlu mengutamakan kepentingan agama berbanding kepentingan peribadi. Apa sahaja yang dilakukan adalah ikhlas demi mencari keredaan Allah. Apa yang disuruh dilakukan dan menjauhkan apa yang ditegah.

Menjadi tanggungjawab umat Islam menonjolkan kebaikan dan keindahan Islam. Jangan sampai Islam ditempelak dengan perbuatan boleh memalukan dan mencemarkan imej. 

Amat dukacita apabila kelompok yang konon perjuang Islam, tetapi melakukan perbuatan memalukan. Sesiapa berpegang kepada ajaran islam perlu mengutamakan perpaduan dan mengelak bercakaran sesama sendiri.

Akibat bercakaran sesama sendiri, pihak lain ambil kesempatan menindas umat Islam. Kelemahan dan kesan buruk yang dihadapi tidak menjadi pengajaran umat Islam apabila terus berpecah sesama sendiri. Lebih malang lagi apabila menyalahkan sesama Islam, tetapi pada masa sama berkerjasama dengan bukan Islam. 

Nampaknya, umat Islam sudah keliru mana pihak yang patut dijadikan kawan dan mana lawan. Sikap gila kuasa menyebabkan umat Islam berpecah sesama sendiri.   

Apa yang nyata, umat Islam masih diliputi mega mendung sengketa dan perbalahan yang seolah-olah tiada penghujungnya. Marilah kita berdoa semoga Allah berkenan melimpah nikmat ukhuwah kepada seluruh umat Islam. 

Semua pihak perlu sedar betapa rugi apabila umat Islam menghabiskan masa, tenaga dan wang ringgit semata-mata mencetuskan sengketa peperangan sesama sendiri. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: ”Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya (an-Nisa’: 59)  

Dalam konteks kita di Malaysia, memang adakalanya kita lalai lalu lupa nikmat keamanan, perpaduan dan kesejahteraan dikecapi.

Umat Islam wajib meyakini Allah SWT tidak memerintahkan manusia untuk melakukan sesuatu perkara yang jelek melainkan saling berkasih-sayang, tolong-menolong dan hormat-menghormati bagi menyelamatkan manusia daripada sebarang kebinasaan dan kehancuran.

Antara dua perkara yang wajib dilakukan oleh umat Islam demi kebaikan bersama adalah:
- Mengadakan usaha untuk mengukuhkan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat dan negara.
- Mengelakkan perkara atau perbuatan yang boleh menjejaskan keharmonian dan keselamatan negara.

Kita perlu menghayati firman Allah yang bermaksud: ”Dan berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu berpecah belah, dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah) lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga” (Surah Ali-Imran, ayat 103).

No comments:

Post a Comment