Sunday, 2 February 2025

TERMINAL BERSEPADU GOMBAK

 
Terminal Bersepadu Gombak (TBG) terletak di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) tidak jauh dari Plaza Tol Gombak. Semua bas ke pantai timur akan berlepas dan tiba di terminal baharu ini, sekaligus memudahkan perjalanan. Ia turut menyediakan ketersambungan dengan landasan kereta api seperti LRT dan ECRL apabila siap nanti. 

TGB menyediakan ruang yang luas dan selesa untuk penumpang, tempat letak bas yang banyak bas dan tempat letak kenderaan lain juga disediakan. Dengan ruangan yang luas, infrastruktur lengkap dan tersusun termasuk 1,200 tempat letak kereta, TBG tentunya menjanjikan pengalaman menarik serta eksklusif.

Terminal tujuh tingkat dengan tiga tingkat dikhaskan untuk perkhidmatan bas, manakala empat tingkat lagi dibuka sebagai pusat beli-belah, akan memberi keselesaan kepada pengguna khususnya mereka yang mendapatkan perkhidmatan yang disediakan.

Paling utama ialah lokasi platform bas yang strategik yang memudahkan orang ramai mengakses ke situ. Ada papan tanda di setiap tempat serta kaunter informasi yang disediakan tingkat 1 atau lobi utama.

Bermula daripada pembelian tiket sama ada secara fizikal atau mesin layan diri sehingga maklumat platform untuk menaiki bas, semuanya disediakan secara tersusun bagi memudahkan orang ramai.

Ini termasuk juga kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU) yang disediakan di TBG seperti tandas, surau serta kemudahan pergerakan golongan ini untuk turun dan naik bas.

Sebelum ini terminal bas ke pantai timur banyak kali bertukar. Pada dekad 1980-an, terminal bas ke pantai timur terletak di Hentian Puduraya dan Hentian Medan Mara. 

Kemudian berpindah di Hentian Putera, sebelum berpindah lagi ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan.

No comments:

Post a Comment