Setiap tiba Aidilfitri dan Aidiladha, umat
Islam akan bertakbir raya. Umum mengetahui, terdapat had masa berbeza untuk
bertakbir raya untuk kedua-dua perayaan tersebut.
Bertakbir semasa hari-hari raya adalah
syiar yang disunatkan kita melaksanakannya. Namun begitu, terdapat perincian
dan perbezaan antara takbir pada Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri.
Ulama membahagikan takbir raya kepada dua
jenis; Takbir mursal dan takbir muqayyad.
Takbir mursal juga disebut takbir mutlak, kerana perlaksanaannya tidak terikat dengan waktu solat. Justeru, apabila tenggelam matahari pada malam Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfiri sehingga takbiratulihram Solat Hari Raya, kita disunatkan untuk bertakbir sepanjang masa.
Takbir muqayyad ini hanya berlaku bagi Hari Raya Aidiladha
dan tidak disunatkan pada malam Hari Raya Aidilftri. Pada sambutan Aidilfitri
lebih ditekankan kepada takbir mursal.
Daripada Ali dan Ammar bahawa Rasulullah
SAW sentiasa bertakbir pada Hari Arafah selepas solat Subuh dan menghentikan selepas
solat Asar hari terakhir bagi Hari-Hari Tasyriq. (Riwayat al-Hakim (no. 1111)
dengan sanad yang sahih).
Takbir ini hendaklah dilakukan secara jahar
(bacaan nyaring) sebagai syiar kaum Muslimin. (Rujuk al-Mu`tamad fi
al-Fiqh al-Syafie (1/559) oleh Syeikh Muhammad al-Zuhaili
& al-Taqrirat al-Sadidah (hal. 347)).
Seperti mana yang dinyatakan sebelum ini,
terdapat perbezaan waktu bertakbir bagi Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya
Aidilfitri. Kaifiat berikut kita peroleh daripada perbuatan Nabi SAW dan para
sahabat, seterusnya diwarisi kepada generasi ulama seterusnya.
Waktu takbir muqayyad bagi Hari Raya
Aidiladha bermula pada waktu Subuh Hari Arafah dan berterusan sehingga tamat
waktu Asar pada Hari Tasyriq yang ketiga. Ertinya, apabila masuk waktu
Subuh 9 Zulhijjah, disunatkan bagi orang yang tidak pergi menunaikan haji untuk
bertakbir setiap kali selesai menunaikan solat fardu sehinggalah waktu Asar 13
Zulhijjah, menjadikan waktu bertakbir itu 5 hari 4 malam.
Adapun bagi mereka yang menunaikan haji,
mereka hanya disunatkan untuk bertakbir bermula gelincirnya matahari, yakni
masuk waktu Zuhur Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah) sehingga terbitnya fajar
sadiq, yakni masuk waktu Subuh pada 13 Zulhijjah. Namun sekiranya mereka sudah
selesai bertahallul yang kedua, maka mereka boleh bertakbir sehingga waktu Asar,
sama seperti orang lain.
Bagi Hari Raya Aidilfitri, waktu takbir mursalnya
bermula selepas terbenamnya matahari pada malam raya, yakni masuk waktu Maghrib
1 Syawal sehinggalah takbiratulihram bagi solat Hari Raya Aidilfitri.
No comments:
Post a Comment