Banyak benda boleh dikitar semula,
antaranya surat khabar, kertas, kotak, tin, besi, plastik, minyak masak
terpakai dan bateri selain barangan e-waste seperti pencetak, televisyen, peti
sejuk, CPU dan skrin komputer serta ketuhar gelombang mikro.
Amalan kitar semula cara terbaik
menjimatkan tenaga dan memelihara alam sekitar. Contohnya, tenaga dapat
dijimatkan dengan mengitar semula satu botol plastik cukup memberi kuasa kepada
mentol 60 watt untuk menyala selama enam jam.
Kajian menunjukkan aluminium mengambil masa
400 tahun untuk terurai secara semula jadi. Dengan mengitar semula satu tin
aluminium dapat menjimatkan tenaga untuk menyalakan televisyen selama tiga jam
manakala satu botol kaca pula dapat menyalakan mentol 100 watt untuk tempoh
masa empat jam. Bayangkan, jika lebih ramai menghidupkan amalan kitar semula
maka lebih banyak tenaga dapat dijimatkan.
Di Jerman, 65 peratus bahan buangan dikitar
semula pada 2013. Laporan oleh Eurostat menyatakan 152.8 juta daripada 353 juta
tan bahan buangan dihasilkan di negara itu telah dikitar semula, 34 juta
berjaya ditukar untuk pemulihan tenaga, 11 juta dihantar ke insinerator
manakala 63.8 juta telah dihantar ke tempat pembuangan sampah.
Selain itu, harga barangan kitar semula
juga dibeli pada harga tinggi serta inisiatif seperti sistem deposit botol
menjadikan kadar kitar semula adalah tinggi di Jerman.
Sememangnya amalan kitar semula adalah
pendekatan untuk mengurangkan kuantiti sisa pepejal yang dilupuskan. Namun,
kadar kitar semula di Malaysia masih di tahap rendah. Namun, setiap tahun kadar
itu semakin meningkat sebagai tanda kesedaran rakyat terhadap kebaikan amalan
kitar semula.
Contohnya, Kadar Kitar Semula Kebangsaan
meningkat kepada 31.52 peratus tahun 2021 berbanding 30.7 peratus pada tahun 2020
dengan jumlah barangan kitar semula mencecah 4.3 juta tan. Peningkatan ini
memberi indikasi positif yang tahap kesedaran terhadap kitar semula di negara
ini semakin meningkat.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
(KPKT) sebelum ini menetapkan sasaran Kadar Kitar Semula Kebangsaan sebanyak 40
peratus pada 2025 sebagai usaha mengurangkan jumlah sampah di tapak pelupusan
awam.
No comments:
Post a Comment