Tuesday 2 August 2022

HASIL TERNAK KELULUT DIGUNAKAN BANTU ASNAF

 
Pertubuhan Cakna Asnaf Kelantan (PCAK) mempelbagaikan aktiviti untuk mencari dana bagi membantu golongan asnaf. Selain mendapatkan sumbangan daripada orang ramai, PCAK juga berusaha melakukan aktiviti yang mendatangkan keuntungan kewangan biarpun secara kecil-kecilan. 
 
Pengerusi PCAK, Fazliyaton Daud menjelaskan antara usaha yang dilakukan ialah menternak kelulut. Buat permulaan 35 log kelulut atau rumah kelulut disediakan di sekitar kawasan rumahnya di Kampung Rusa, Jelawat, Bachok, Kelantan. 
 
Usaha santai itu yang kini mula membuahkan hasil apabila penternakan kelulut yang dimulakan kira-kira setahun lalu telah boleh disedut madunya. 
 
Kerja-kerja menyedut madu kelulut dilakukan setiap dua atau tiga minggu sekali dengan purata tuaian setiap log kelulut itu antara 700 hingga 800 gram. Madu yang dituai kemudiannya akan dimasukkan ke dalam botol untuk dijual kepada pelanggan secara runcit. 
 
Menurutnya, hasil jualan itu akan disalurkan kepada tabung PCAK yang kemudiannya diagihkan kepada asnaf yang memerlukan bantuan. 
 
Tambahnya lagi, aktiviti penternakan kelulut itu akan diperluaskan pula kepada asnaf untuk mereka jadikan sebagai sumber pendapatan sampingan. Asnaf yang berminat dan mempunyai kawasan yang sesuai akan dibekalkan dengan log kelulut dan akan diberi tanjuk ajar untuk menternak kelulut. 
 
Kelulut boleh diternak berhampiran kawasan rumah mahupun di dalam kawasan kebun. Apa yang penting, Di kawasan berhampiran perlu ada sumber makanan bagi keselesaan lebah kelulut menghasilkan banyak madu serta berkhasiat. 
 
Antara ciri-ciri kawasan sesuai untuk diternak kelulut ialah ada pokok-pokok yang disukai oleh lebah kelulut seperti bunga kelapa, bunga jambu, bunga rambutan dan bunga akasia kerana kualiti madu pula ditentukan oleh jumlah bunga yang dikunjungi oleh seekor lebah kelulut. 
 
Pokok bunga yang banyak menghasilkan bunga sepanjang tahun seperti bunga akar dani, bunga air mata pengantin dan bunga pagoda antara jenis bunga yang patut ditanam di kawasan penternakan kelulut. Selain untuk kelulut, ia juga menyerikan kawasan. 
 
PCAK merupakan NGO kebajikan yang berusaha membantu golongan asnaf. PCAK memerlukan lebih banyak sumbangan daripada orang ramai agar lebih banyak lagi asnaf dapat dibantu. 
 
Untuk maklumat lanjut boleh hubungi Pengerusi Pertubuhan Cakna Asnaf Kelantan, Fazliyaton Daud di talian 011-1941-3639. 
 
Pihak yang ingin menyumbang boleh dilakukan melalui akaun bank: 100-5055-000000-084 (MBSB). 
 
Pertubuhan Cakna Asnaf Kelantan adalah pertubuhan berdaftar. Nombor pertubuhan: PPM-006-03-30032021 
 

 

No comments:

Post a Comment