Setiap
perkara ada baik dan buruknya. Begitu juga media sosial. Hukum asas dalam semua
perkara adalah harus. Namun kedudukan itu menjadi haram jika mendatangkan
keburukan.
Begitu
juga menggunakan media sosial. Harus atau dibolehkan menggunakan media sosial
jika untuk tujuan kebaikan. Sebaliknya haram jika disalah guna.
Mengumpat,
berbohong, memfitnah adalah prebuatan haram tidak kira dilakukan dengan medium
apa sekalipun. Jadi ia juga haram dilakukan dalam media sosial. Maka, jika
menggunakan media sosial untuk tujuan tersebut, maka adalah haram.
Dengan
kata lain, harus atau haram menggunakan media sosial bukan kerana sifat media
sosial itu, tetapi bergantung kepada tujuan penggunaannya. Jika untuk tujuan
kebaikan, maka harus dan begitulah sebaliknya.
Kesan
salah guna media sosial amat buruk. Contohnya dalam soal membuat fitnah. Kalau
dulu, jika fitnah dibuat terhadap seseorang, kesannya hanya di kalangan
kelompok yang kecil sekadar percakapan. Tetapi jika fitnah melalui media
sosial, ia boleh merebak cepat dan melibatkan kelompok yang ramai.
Lebih
buruk lagi apabila kisah fitnah itu dikongsi dan disebarkan oleh orang lain.
Sebarannya menjadi lebih meluas dan cepat.
Dosa
membuat fitnah bukan saja ditanggung oleh mereka yang mencipta fitnah, tetapi
juga orang yang menyebarkannya. Jadi berhati-hati sebelum menyebarkan sesuatu
berita yang tidak pasti kebenarannya.
Pada
asasnya, apa yang haram dituturkan maka haram juga hukumnya menulis. Jika
mengumpat, berbohong, memfitnah dan seumpamanya itu haram hukumnya dengan
lidah, maka menulis di Facebook, blog, Twitter, e-mel, WhatsApp, telegram dan
sebagainya juga haram hukumnya.
Kita
tidak perlu ada ilmu fikah yang berbeza untuk menetapkan hukum itu kerana apa
sahaja yang haram dibicarakan dengan lidah, maka hukumnya haram juga disebarkan
melalui penulisan atau di internet.
Kita
perlu ingat dan berhati-hati ada kala apa yang dituturkan atau ditulis yang
disangka seolah-olah perkara remeh, namun di sisi Allah SWT ia amat besar sama
ada diredai atau dimurkai.
Sabda
Baginda SAW bermaksud: "Seorang yang menuturkan satu perkataan yang
diredai oleh Allah SWT dengan menyangka ia remeh, namun di sisi Allah SWT ia
suatu yang amat diredai-Nya, nescaya Allah SWT akan mengangkat darjatnya dalam
syurga; manakala seorang lain menuturkan perkara yang disangkanya remeh, namun
menimbulkan kemurkaan Allah SWT nescaya Allah SWT akan mencampakkan ke dalam
neraka." (Riwayat Bukhari)
Menjadi
tanggungjawab kita menyiasat terlebih dahulu maklumat yang diterima supaya
dapat dipastikan kesahihannya. Jangan kongsi jika tidak pasti.
Firman Allah SWT bermaksud: "Wahai orang yang beriman, apabila datang
kepadamu orang fasik membawa berita, maka siasatlah terlebih dahulu supaya kamu
tidak menimpakan mudarat kepada orang lain atas kejahilan kamu dan kemudiannya
kamu menyesal." (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Banyak
individu yang ghairah menjadi 'orang pertama' menyebarkan berita (breaking
news) walaupun apa yang disebarkan itu mungkin tidak tepat dan palsu.
Gambar
bahkan video boleh dipalsukan, begitu juga dokumen boleh direka cipta bagi
menampakkan yang palsu itu benar, yang batil itu hak dan berfakta. Jaga adab
berurusan di alam maya untuk mengelak perkara buruk.
No comments:
Post a Comment