Thursday, 30 September 2021

IKAN SEGAR DI PASAR NELAYAN PULAU GAJAH

 
Inisiatif Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mewujudkan Pasar Nelayan di Kampung Pulau Gajah, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan berjaya membantu nelayan tradisional tempatan, menjual hasil tangkapan terus kepada pelanggan tanpa melalui orang tengah. 
 
Cara itu sekaligus dapat meningkatkan pendapatan nelayan yang berniaga di situ. 
 
Kompleks ini lokasinya di muara Sungai Pengkalan Datu. Kedudukannya tidak jauh dari Masjid Ar Rahman yang terkenal dengan seni ukir kayu. Ia juga tidak jauh dari Pantai Nusuk yang cukup terkenal. 
 
Jadi, gabungan ketiga-tiga lokasi itu menjadikan ia saling memberi manfaat. Pengunjung ke Pantai Nusuk mahupun ke Masjid Ar Rahman dapat berkunjung ke PPN Pulau Gajah untuk mendapatkan bekalan ikan segar dan lebih murah. 
 
Beroperasi dari pukul 2 hingga 6 petang, ikan-ikan akan dijual secara terus kepada pembeli sejurus diperoleh daripada nelayan. Jeti mendaratkan ikan berada bersebelahan pasar berkenaan. 
 
Untuk sampai ke PPN Pulau Gajah tidak sukar kerana ada tanda pandu arah bermula dari Pengkalan Tok Kasim. 
 
Pasar yang dibina dengan kos 150 ribu ringgit ini, mula beroperasi sejak 25 Februari 2019. 
 
Penyediaan ruang niaga lebih selesa dilengkapi kemudahan awam seperti elektrik, air, tandas, surau dan ruang parkir menggalakkan nelayan dan penduduk tempatan menyertai bidang perniagaan dan keusahawanan. 
 
Pasar ini juga berupaya memendekkan rantaian pemasaran, membolehkan nelayan memperoleh margin keuntungan lebih baik manakala pengguna mendapat ikan segar pada harga berpatutan. 
 
Pasar Nelayan Pulau Gajah adalah pasar ke-5 ditubuhkan di Kelantan melalui Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) selepas di Bachok, Semerak, Kuala Besar dan Tumpat.      
 
 

No comments:

Post a Comment