Pokok pisang banyak ditanam di negara kita sama ada secara ladang mahupun sekadar pokok selingan antara pokok-pokok tanaman lain. Ada juga yang ditanam sekadar sepokok di kawasan laman rumah, tepi jalan dan kawasan lapang, kemudia membiak menjadi satu rumpun yang mengandungi beberapa pokok besar dan kecil.
Pokok pisang banyak jenis atau nama. Namun, cara menanam tidak ada bezanya. Umumnya pokok pisang mudah ditanam dan tidak memerlukan banyak penjagaan. Sebab itu, banyak orang suka tanam pokok pisang.
Pisang enak dimakan begitu sahaja atau boleh diproses. Selain dibuat kek, pencuci mulut, kuih, ia juga sangat enak dimakan selepas digoreng panas-panas.
Anak benih pokok pisang biasanya menggunakan susur pedang atau anak mata yang keluar pada bahagian umbi pokok dewasa atau indung. Selain anak benih digunakan untuk ditanam semula, ada juga anak susur pedang dibuang bertujuan agar tumbesaran pokok induk membesar dengan baik dan menghasilkan buah besar.
Pada amnya, terdapat dua jenis sulur iaitu sulur pedang dan sulur air. Sulur pedang terbentuk dari umbisi induk dan mengeluarkan daun runcing dan menirus ke atas. Sulur air terbentuk dari tunas utama umbisi induk dan tidak disyorkan kerana pertumbuhan kurang cergas.
Kebanyakan pekebun pisang yang dilakukan secara ladang atau dalam skala besar, akan menggunakan benih teknik belahan dan tisu didik. Anak benih yang dihasilkan dengan cara ini dapat dihasilkan secara banyak dan umur yang sekata.
Bagi sistem tanaman tunggal, jarak tanaman pisang adalah 2.5m x 2.5m dengan kepadatan 1,600 pokok/ha. Bagi sistem tanaman selingan pula, jarak tanaman yang sesuai adalah 3m x 3m dengan kepadatan 700 sehingga 900 pokok/ha.
Benih pisang ditanam dalam lubang berukuran 30sm x 30sm x 30sm bersama-sama dengan campuran baja fosfat, kapur, baja organik dan carbofuran.
Pelepah pisang yang tua dan berpenyakit perlu dicantas dari peringkat awal penanaman. Cantasan ini boleh dilakukan setiap dua minggu sekali.
Pisang boleh ditanam di pelbagai jenis tanah. Tetapi, tanah paling sesuai ialah sederhana gembur, berpasir dan peroi. Bagi penanaman komersial, penggunaan sistem pengairan adalah perlu. Pokok pisang tidak dapat bertahan dalam keadaan terendam yang melebihi 2 jam.
No comments:
Post a Comment