Apabila selesai, Rasulullah SAW
berkata, siapakah yang bertanya tadi dan sahabat itu menjawab: "Saya wahai
Rasulullah." Lalu Baginda SAW bertanyakan sahabat berkenaan, apa yang
sudah engkau siapkan untuk hari kiamat.
Ini bukti Rasulullah SAW tidak
mengetahui bilakah akan berlaku kiamat, justeru andai ada yang berkata mereka
mengetahui bila kiamat, golongan itu bercanggah dengan al-Quran dan sunah.
Bagaimanapun, Rasulullah SAW banyak
bercerita mengenai tanda kiamat yang terbahagi kepada dua, iaitu tanda zahir
dan maknawi atau maksud tersirat daripada apa disampaikan Baginda SAW.
Antara tanda fizikal ialah ucapan Nabi
SAW, umat akhir zaman akan berlumba-lumba membuat bangunan tinggi yang kini
sudah kita saksikan. Jika dahulu paling tinggi di Makkah ialah Jabal Abi
Qubais, iaitu bukit terletak di belakang bukit Safa, tetapi sekarang ia yang
paling rendah.
Seorang hamba melahirkan tuannya, juga
sudah nampak. Ketika umat Islam berkuasa dan menguasai satu tempat, perempuan
dulunya hamba melahirkan anak yang merdeka.
Namun, hadis ini condong kepada makna
seorang ibu melahirkan anak dan anaknya menderhaka sehingga seolah-olah ibu
menjadi kuda, manakala anak menjadi tuan.
Antara tanda kiamat seperti disebut Rasulullah
SAW ialah apabila ilmu dicabut oleh Allah SWT. Maskud dicabut di sini merujuk kepada
ketiadaan orang berilmu.
Sekarang muncul orang jahil yang
kemudian dianggap berilmu, pandai berbicara dan memakai pakaian ulama tetapi
dia sesat serta menyesatkan.
Apabila diberi satu perkara bukan
kepada ahlinya, maka tunggulah kiamat. Sebenarnya isi dunia sudah kiamat tetapi
alamnya belum lagi.
Di negara ini, masih ada ulama dan
mufti, maka hindari orang jahil yang tidak diketahui sanad ilmunya.
Tanda kedua kiamat ialah banyak
terjadi gempa, bumi digoncangkan dan keluar isi daripada alam. Persoalannya,
apakah kejadian itu membuat manusia merasa tertekan dan tidak beramal sedangkan
ia sepatutnya meningkatkan semangat untuk meningkatkan amal soleh.
Tanda ketiga ialah masa saling
mendekati hingga tidak terasa baru sahaja Jumaat dan esok sudah solat Jumaat
lagi. Jika diperhatikan, waktu tidak berkurangan, tetapi alat seperti gajet dan
teknologi membuatkan duduk lama tidak terasa, seakan masa yang cepat berlalu.
Sebagai peringatan, manusia akan
ditanya mengenai umur mereka di dunia, bagaimana ia dihabiskan dan adakah ini
akan dapat dijawab nanti.
Tanda keempat ialah banyak terjadi
fitnah, baik perkataan atau di media sosial seperti Facebook, WhatsApp atau
Twitter, begitu juga fitnah penyeksaan yang dihadapi umat Islam di Palestin dan
Rohingya sehingga hari ini.
Manakala tanda keenam ialah pembunuhan
yang banyak, bagaimana mereka memusnahkan kaum Muslimin antaranya penghapusan
etnik Bosnia, pembantaian di Iraq dan konflik di Palestin yang tidak nampak
kesudahannya.
Bilapun berlaku kiamat,
yang penting kita sentiasa meningkatkan amal soleh untuk dijadikan bekal di akhirat.
Ingatlah, kematian itu adalah kiamat untuk setiap orang.
No comments:
Post a Comment