Saturday 19 October 2019

KISAH PENGAJARAN ERTI PERSAHABATAN


Ada sebuah kisah mengenai erti persahabatan dan mengenang jasa. Kisah yang wajar diambil pengajaran dan sama-sama diamalkan.

Kisahnya berlaku pada dahulukala. Seorang Raja memeliharan 10 ekor anjing yang garang. Anjing-anjing itu dijadikan sebagai pelaksana hukuman bagi sesiapa yang didapat berasalah.

Pesalah akan dimasukkan ke dalam kandang tempat anjing-anjing itu tinggal. Anjing akan menyerang dan menggigit sehingga pesalah tidak bermaya dan seterusnya meninggal dunia.

Pada suatu hari, Si Raja telah menjatuhkan hukuman terhadap seorang menteri yang telah melakukan kesalahan akibat kecuaian tidak disengajakan.

Si Menteri itu adalah antara menteri yang banyak berjasa selama 10 tahun dia diamanahkan dengan jawatan tersebut. Namun, disebabkan sedikat kesalahan, Si Raja menjatuhkan hukuman sama seperti pesalah lain.

Kebiasannya, apabila hukuman dijatuhkan, pelaksanaan terus dilakukan. Namun, Si Menteri merayu akan perlaksanaan ditangguhkan selama 10 hari sebagai balasan 10 tahun perkhidmatan setianya kepada Si Raja dan negara.

Lalu, Si Raja memperkenankan permintaan Si Menteri itu.

Setelah permohonannya diterima, Si Menteri telah pergi berjumpa dengan penjaga anjing garang itu. Diminta kebenaran untuk menjaga aning-anjng itu seperti memberi makan, membersihkan kawasan dan sebagai dengan ditemani penjaga anjing itu.

Setelah 10 hari tamat, maka Si Raja memanggil Si Menteri untuk dilaksanakan hukuman. Si Menteri telah dimasukkan ke dalam kandang anjing garang itu seperti kebiasaan perlaksanaan hukuman.

Si Raja terkejut apabila Si Menteri dimasukkan ke dalam kandang itu, anjing-anjing tidak menyerang dan menggigit seperti kebiasaannya. Sebaliknya, kelihatan anjing itu jinak dan bermanja dengan Si Menteri.

Melihatkan keadaan itu, Si Raja bertanya kepada Si Menteri apa yang telah dilakukan sehingga keadaan luar biasa itu berlaku.

Lalu, Si Menteri menjelaskan apa yang telah dilakukan selama 10 hari yang lalu. Diucapkannya bahawa jika anjing garang boleh memahami erti persahabatan dan kebaikan yang telah dilakukan selama 10 hari, mengapa pula manusia tidak boleh menilai erti pengorbanan dan kesetiaan selama 10 tahun.

Si Raja insaf dan menyesal terhadap apa yang telah dilakukan terhadap Si Menteri. Lalu Si Raja membebaskan Si Menteri.

Begitulah kisah pengajaran dalam menilai erti persahabatan. Dalam setiap persahabatan atau perhubungan, pasti ada sesuatu perkara yang tidak menyenangi kita.

Justeru, kita perlu berlapang dada dan menerima keadaan itu sebagai satu asam garam persahabatan. Jangan diikutkan hati marah sehingga menafikan segala kebaikan dan kegembiraan ketika bersama.

Jika anjing tahu menilai persahabatan dan pertolongan pihak lain, mengapa kita manusia yang mempunyai akal fikiran ini boleh terjebak dengan sikap yang lebih teruk berbanding anjing.

No comments:

Post a Comment